Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi menyampaikan bantuan KWAMP kepada salah seorang penerima, Puan Norhayati Ajak, sambil disaksikan oleh Jefri dan Azahari dan PKR Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman.

PEGAWAI KERAJAAN JANGAN BERSIKAP BERDOLAK-DALIH TERHADAP KELULUSAN BANGUNAN SEKOLAH

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, jangan ada sikap ‘berdolak dalih’ di peringkat pegawai kerajaan terhadap kelulusan membina bangunan kekal sekolah menengah dan rendah di kawasan Kampung Sukau di sini.

Katanya, sikap tersebut hanya akan mengambarkan kelemahan kerajaan dalam mempastikan kemudahan yang dituntut sekian lama oleh rakyat di sini tidak akan menjadi kenyataan, walaupun tapak seluas 30 ekar bagi tujuan itu sudah disediakan.

“ Kelulusan di peringkat kerajaan sudahpun dibuat terhadap kedua-dua kemudahan ini sekian lama. Mengapa mesti ada tolak menolak di peringkat kakitangan kerajaan terhadap kedudukan tanah yang disediakan oleh rakyat kawasan ini.“

"Sekiranya pegawai terlibat tidak berpuas hati dengan kadar tanah yang ditetapkan oleh pihak Koperasi Sukau, sebagai pemilik tanah berkenaan, rundinglah. Rakyat di sini bukan ambil kira pasal harga tanah, tetapi kemudahan ini perlu disediakan untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sukau di sini pada Ahad, Saddi berkata, rakyat di kawasan Dun Sukau sudah kerap mempersoalkan kepadanya bagaimana kedua-dua bangunan sekolah tersebut yang sudah dipohon berpuluh tahun dan diluluskan kerajaan pusat itu belum dimulakan pembinaannya.

“ Tanah bagi projek itu sudah disediakan dan telahpun diratakan sebahagiannya. Mana lebih utama soal harga tanah yang bersifat negotiable atau soal pentingnya pendidikan untuk kebaikan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Menurut Saddi, berdasarkan maklumat guru-guru dan pihak PIBG kedua-kedua sekolah terlibat, tidak kurang daripada 700 hingga 1,000 pelajar mendaftar masuk ke sekolah berkenaan bagi memasuki tahun satu dan tingkatan satu setiap tahun.

Tetapi memandangkan kedudukan sekolah rendah dan menengah itu memiliki bangunan yang kecil dan bersifat sementara, kedua-duanya dibina daripada kayu, diikuti asrama sekolah menengah SMK hanya mampu menempatkan 100 pelajar, kata Saddi, sebahagian pelajar tersebut ditolak ke sekolah lain jauh daripada kawasan tersebut.

Kata Saddi, soal mengutamakan pendidikan di kalangan rakyat tidak harus wujud soal birokrasi di kalangan kerajaan, apatah lagi Kementerian Pelajaran hari ini dipertanggungjawabkan kepada Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin selaku menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Dengan kerajaan yang ada hari ini mengutamakan konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, maka soal remeh temeh perlu diketepikan demi untuk kebaikan dan masa depan rakyat.

Mempertahankan cadangan pembinaan sekolah di kawasan tanah yang dicadangkan sebelum ini, Pengerusi Koperasi Sukau yang juga Yang Dipertua PIBG SMK Sukau, Azahari Ranggon berkata, soal pembinaan kedua-dua bangunan sekolah itu perlu diutama berbanding soal harga tanah.

“ Soal tanah kita boleh kira dengan kerajaan kementerian. Kalau mereka mahu kita jual satu sen satu ekar pun boleh. Tetapi mereka perlu berani berhadapan dengan rakyat. Kerana tanah ini milik rakyat dan hanya melalui tanah inilah mata pencarian mereka,” katanya.

Pengetua SMK Sukau, Jefri Abdul Hamat dalam ucapannya menegaskan, soal pembinaan sebuah bangunan sekolah menengah kekal dilengkapi pelbagai kemudahan pembalajaran, bangunan asrama bagi menampung lebih ramai pelajar dan kediaman guru amat diperlukan di kawasan itu.

“Saya rasa masyarakat di kawasan Sukau boleh tunggu lima enam bulan lagi asalkan bangunan kekal bagi SMK Sukau menjadi kenyataan,” katanya.

Selesai.