Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

KEPERLUAN RAKYAT SUKAU AKAN CUBA DICAPAI DALAM RMK10



HARIAN EKSPRES : Rabu/ 10hb November,2010.


Sukau : Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, soal pengstrukturan daerah kawasan ini, diikuti oleh pendekatan menangani isu tanah dan kemudahan asas rakyat serta pembangunan Pekan Baru Sukau merupakan 'makmal' penting baginya menentukan kejayaan petunjuk prestasi (KPI) sebagai wakil rakyat kawasan ini.


katanya, berasaskan sokongan rakyat dan kepercayaan pihak kerajaan, semua halatuju keperluan rakyat kawasan itu akan berusaha dicapai sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK10) yang bermula tahun depan. " Malah saya mengharapkan agar sebuah kawasan Gumantong Jaya yang termasuk di dalam kawasan Gumantong Park yang saya cadangkan menjadi sebuah destinasi perlancongan penting di kawasan ini akan turut dipertimbangkan kerajaan dan menjadi suatu realiti,"katanya.


Berucap pada Majlis Kesyukuran sempena penganugerahan gelaran 'Datuk' kepadanya anjuran penduduk Gumantong Jaya di sini pada Ahad, Saddi berkata, impian membangunkan masyarakat berkenaan turut diseiringkan dengan cadangan mengujudkan sebuah kawasan masyarakat nelayan moden yang tinggal di persisiran pantai kawasan Dun itu.


Saddi menegaskan, hanya dengan keselarasan sistem pentadbiran daerah Kinabatangan dengan melibatkan kepentingan masyakat di daratan dan persisiran tersebut di bawahsatu bumbung akan mampu mentransformasikan kehidupan seluruh rakyat di kawasan itu mencapai pembangunan yang diharapkan kerajaan. Turut hadir pada majis itu para pemimpin akar umbi Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat di kawasan tersebut, ketua masyarakat mewakili pelbagai kaum serta lebih 200 orang penduduk di sekitar Gumantong Jaya.


Saddi berkata, perpaduan antara penduduk serta sokongan rakyat kepada kerajaan merupakan kunci utama kemajuan di kawasan Dun Sukau dapat diperkasakan. " Sokongan padu yang diberikan rakyat di kawasan ini kepada saya merupakan kekuatan penting di sebalik pemberian gelaran ini. Gelaran ini bukan kepada saya semata-mata, tetapi kepada seluruh masyarakat Dun Sukau yang sanggup memberikan sokongan dan setia kepada kerajaan Barisan Nasional', katanya.


Bagaimanapun, tegas Saddi, pemberian gelaran yang tinggi sedemikian hanya akan menyukarkan imejnya sebagai seorang wakil rakyat jika tidak menerima kerjasama rakyat, apalagi masyarakat masih tidak mahu merubah sikap dan pemikiran untuk maju sebagaimana yang sudah dinikmati di kawasan lain. Mengenai soal tanah dan serta keperluan kemudahan asas yang diperlukan rakyat di kawasan ini, kata Saddi, beliau akan terus menyuarakannya kepada kerajaan selagi mendapat peluang.


Segala keperluan pembangunan rakyat di kawasan ini sudah beliau ketengahkan secara jelas pada Sidang Dewan Undangan Negeri dan pertemuan di peringkat pegawai-pegawai kerajaan dan para pemimpin BN. Beliau juga menggesa penduduk supaya tidak mempersia- siakan nilai kemajuan yang diberikan kerajaan kepada mereka, sebagai contoh memandu kenderaan terlalu laju di sepanjang jalan Sukau yang sudah diaspal sehingga akhirnya telah mengorbankan banyak jiwa di kalangan penduduk khususnya pelajar-pelajar sekolah.