Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Wakil rakyat terkejut Jabatan Hutan tebang pokok sawit penduduk Kampung yang didakwa ceroboh hutan simpan


Saddi menunjukkan kelapa sawit yang ditebang oleh kakitangan jabatan hutan.


Saddi berbincang dengan para pekebun kecil berkaitan kawasan tanah di Kampung Perpaduan Datu Ogi.


SUKAU wakil rakyat kawasan ini terkejut dengan tindakan kakitangan jabatan hutan daerah Kinabatangan menebang sejumlah besar tanaman kelapa sawit di Kampung perpaduan Datu Ogi, Batu Putih di sini Jumaat lepas yang didakwa terletak dalam kawasan hutan simpan.

Saddi Haji Abdul Rahman hairan dengan keputusan jabatan itu yang mempertikaikan kepentingan penduduk serta penjelasan berhubung status tanah mereka, sebaliknya bertindak agresif memusnahkan ratusan pokok kelapa sawit yang sudah ditanam dan mengeluarkan hasil itu.

Saddi yang bergegas meninjau kawasan tanah kebun terlibat petang Jumaat, mendapati kawasan kebun kelapa sawit yang ditebang itu adalah milik Haji Payani Bte Kandam, 60an, Sandara Bte Darmansah 64, Nurni Payani dan Zainatun Bte Otoh, kesemuanya penduduk berbangsa Sungai.

Berdasarkan penjelasan para pekebun kecil terlibat kepada beliau, dianggarkan kerugian keseluruhan akibat tindakan itu mencecah RM34,000, dengan setiap dari empat lot rugi RM11,610.

“ Saya amat kecewa dan sedih ….. Sepatutnya kakitangan jabatan mendapatkan penjelasan lengkap berhubung kedudukan tanah itu sebelum bertindak, termasuklah daripada pihak saya.

“Penduduk di sini juga tidak boleh disalahkan. Kerana keseluruhan kawasan tanah di sini sudah mendapat kebenaran diduduki di bawah skim pekebun kecil daripada kerajaan negeri sejak 20 tahun lalu,” katanya yang terkilan melihat kesan kemusnahan kelapa sawit yang menjadi sumber ekonomi penduduk itu.

Tambah Saddi, kerajaan pada ketika itu telah membenarkan para pemohon pekebun kecil di situ memiliki tidak kurang dari 15 ekar bagi setiap keluarga untuk tujuan pertanian.

Bagaimanapun, Saddi menjelaskan, ketetapan kerajaan itu sudah ditegaskan semula menerusi surat bertarikh 4 Hb September, 2008 yang dikemukakan oleh Penolong Pemungut Hasil Tanah Kinabatangan kepada Pengarah Jabatan Hutan agar kerja-kerja menyukat persempadangan hutan simpan milik jabatan itu berdekatan dengan Kampung perpaduan Datuk Ogi, ditangguhkan dahulu sehingga selesainya kerja-kerja penyuakatan lot-lot tanah penduduk kampung berkenaan.

Katanya, keputusan itu yang dihantar sesalinan kepadanya berassaskan keputusan mesyuarat jawatankuasa penggunaan tanah (LUC) daerah Kinabatangan yang telah meluluskan 15 ekar setiap loti bagi pemohon terlibat.

Kata Saddi, sebagai wakil rakyat yang kerap menerima aduan masalah pekebun kecil terlibat, beliau sudah kerap kali menyuarakan perkara ini di Persidangan Dewan Undangan Negeri dan kerajaan negeri juga telah memutuskan usaha pengukuran semua tanah milik pekebun kecil di kawasan Sukau ini termasuklah di kampung Perpaduan, Datuk Ogi itu akan diselesaikan tahun ini,” katanya.

Tetapi samada pekara itu, difahami kakitangan Jabatan perhutanan terlibat atau tidak, tegas Saddi, hingga membawa kepada tindakan menebang kelapa sawit itu beliau masih tidak faham.

Menurut pekebun kecil berkaitan, jabatan itu dijangka akan meneruskan tindakan mereka menebang kelapa sawit yang dianggap memasuki kawasan hutan simpan di situ.

“ Saya juga sudah menghubungi salah seorang kakitangan jabatan berkenaan di Kinabatangan dan meminta operasi penebangan itu dihentikan sementara sehingga pengukuran tanah berkenaan selesai dilakukan.

“ Kerana mana mungkin pekebun kecil terlibat boleh meneruskan kehidupan mereka di sini jika tanah yang dimiliki tidak mencapai 10 ekar akibat tindakan jabatan itu,” katanya.

Beliau juga meminta penduduk terlibat bersabar dengan keadaan itu dan menyerahkannya kepada beliau dan kerajaan BN untuk menyelesaikannya.

Sandara yang ditemui melahirkan rasa sedih dengan keadaan itu berikutan tindakan jabatan itu turut memusnahkan rumah papan serta reban ayam miliknya untuk mendiami kawasan itu.

“ Saya sedih, berpuluh tahun sudah kami di sini berkebun kelapa sawit. Tiba-tiba kakitangan jabatan memusnahkan apa yang sudah kami lalukan dengan susah payah,” katanya.

Seorang guru, Asmat Ali yang pihak keluarga isterinya memiliki kebun kelapa sawit di situ juga merasa kecewa kerana kakitangan jabatan hutan yang terlibat dalam operasi itu sama sekali enggan bertolak ansur, walaupun dirayu supaya menangguhkan tindakan itu sementara penduduk meminta wakil rakyat yang ada campur tangan.

“ Saya sebalinya diherdik oleh salah seorang dari kakitangan jabatan itu ketika membuat rayuan.. bahawa mereka tidak perdulikan siapapun wakil rakyat kami kerana mereka menjalankan arahan jabatan,” kata Asmat.

Sedangkan, kata Asmat, banyak lagi alternatif boleh dilakukan jabatan itu daripada membuat tindakan terburu-buru tersebut termasuklah mengenakan caj sewa tanah kepada penduduk sehingga penanaman semula kelapa sawit itu menjangkau usia 25 tahun.