Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Perasmian Majlis Berkhatan Dan bergunting

saddi menyampaikan ucapannya sempena merasmikan program itu.



saddi menyiram sebahagian daripada kanak-kanak yg mengambil bahagian acara berkhatan di kg Tg Aru,pada ahad.

Saddi melakukan majlis mengunting salah seorang kanak-kanak yang mengambil bahagian pada majlis mengunting dilakukan di Masjid Tanjung Aru.

SUKAU: 14/03/2010/Ahad
Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, kerajaan tidak semata-mata menumpukan soal pembangunan infrastruktur rakyat demi memenuhi tanggungjawabnya tetapi turut memfokuskan soal penjanaan modal insan agar rakyat sentiasa bersedia berhadapan kemajuan sejagat.

Katanya, dalam memenuhi Gagasan Konsep Satu Malaysia, soal pembangunan modal insan adalah salah satu elemen yang diberikan penekanan utama dimasukkan di bawah fungsi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), melibatkan peranan enam kementerian di bawah kerajaan pusat.

“ Ini kerana kerajaan sudah tentu mahu melihat rakyat bukan saja dilengkapi dengan kemajuan pembangunan yang selesa. Tetapi menguasai ilmu dan berkemahiran serta sedia membuat perubahan untuk mencapai kemajuan.

“ Malah paling penting, rakyat sedia berkerjasama serta berterima kasih dengan segala daya usaha kerajaan membangunkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Berkhatan dan Bergunting kawasan Persisiran Pantai Mukim Tanjung Aru, Mukim Lubukan dan Mukim Mumiang di Dewan SK Kampung Tanjung Aru di sini, pagi kelmarin.

Program sehari itu turut dianjurkan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Sukau dengan kerjasama Biro Agama Pergerakan Wanita Bahagian Kinabatangan dengan kerjasama Pusat Zakat Sabah Cawangan Sandakan.

Berucap di hadapan lebih 300 penduduk yang hadir majlis perasmian itu Saddi berkata, kesediaan pihak kerajaan menjayakan program berkhatan dan bergunting itu, melibatkan penduduk tiga mukim itu amat berkaitan dengan mesej pembangunan modal insan di kawasan ini.

Walaupun perjalanan aktiviti seperti itu agak kecil pada pandangan masyarakat, tetapi ianya amat berimpak besar dalam mencapai sasaran kerajaan menjelaskan kepada rakyat, khususnya berkaitan dasar-dasar baru kerajaan seperti tuntutan mencapai Gagasan Satu Malaysia dan NKRA yang perlu difahami dan disertai oleh rakyat di luar bandar.

Seramai 66 orang kanak-kanak mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai dan 20 lagi menyertai majlis bergunting.

Turut serta pada majlis itu ialah Pegawai Pentadbiran Kawasan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Awang Sataria Abdullah, Wan Zikri Wan Yusop, mewakili Pusat Zakat Sabah dan Pengawal RTM Sandakan, Razaligh Haji Baba dan Awang Kasim selaku pengerusi penganjur program itu.

Saddi berkata, program seumpama itu tidak saja mahu meringankan beban keluarga bagi mengendalikan aktiviti bergunting dan berkhatan melibatkan anak-anak mereka.

“ Tetapi inilah cara kita mahu membantu rakyat, sambil ianya satu kaedah memberikan penerangan berhubung dasar-dasar kerajaan yang terkandung dalam Gagasan Satu Malaysia dan berkaitan NKRA yang turut menjurus kepada kemajuan modal insan rakyat,” katanya.

Berkaitan keperluan pembangunan di kawasan Tanjung Aru, kata Saddi, rakyat di kawasan pulau itu bakal menikmati kemudahan air bersih dengan kesediaan kerajaan negeri meluluskan Projek penyambungan paip air dasar laut daripada Bandar Sandakan dengan kos hamper RM15 juta baru-baru ini.

Demikian juga berkaitan penyaluran bekalan elektrik ke kawasan itu, kerajaan BN sedang mempertimbangkan penyaluran projek seumpama itu dalam tempoh yang terdekat.

“ Sebagaimana keperluan bekalan air, saya akan turut mendesak pihak SESB supaya menyalurkan bekalan elektrik ke kawasan ini demi untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat. Itulah perlunya program seperti ini untuk kita jelaskan usaha-usaha yang sudah kita lakukan,” kata Saddi.

Sehubungan itu, Wakil rakyat Sukau itu agar jumlah penyertaan kanak-kanak yang mengambil bahagian ditambah, selain konsep program itu diperkasakan.

Katanya lagi, kefahaman mendalam rakyat terhadap dasar-dasar dan usaha kerajaan bukan saja boleh membantu mempercepatkan proses pembangunan di kawasan Dun Sukau.

“ Namun yang lebih penting kita dapat mempastikan menerusi program seperti mampu menyatukan rakyat untuk terus berkerjasama demi kemajuan kawasan Dun Sukau,” katanya.

Selesai.