Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

KOMPUTER RIBA 1 MALAYSIA

salah seorang pelajar yang layak menerima sumbangan komputer riba. 



Para kakitangan TM dan pemimpin masyarakat Sukau sibuk mengagihkan Komuter Riba kepada pelajar yg layak 







Saddi menyampaikan komputer riba 1 Malaysia kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan Ahmad Nur dan Abdul Latif. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, Barisan Nasional (BN) berupaya menunjukkan kedudukannya sebagai kerajaan yang kuat menerusi pemberian 1 juta unit komputer riba 1 Malaysia secara percuma ke sekolah-sekolah menengah di negara ini.


Katanya, menerusi pemberian kemudahan itu rakyat khususnya di kawasan luar bandar amat terharu serta menunjukkan keyakinan yang lebih kuat untuk mengekalkan kerajaan ini dalam pilihanraya akan datang.


“Inilah jaminan yang disuarakan rakyat di kawasan ini. Mereka yang rata-ratanya ketinggalan dalam dunia bidang Teknologi Maklumat dan IKomunikasi (ICT) amat tidak menyangka apa yang dijanjikan kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Telekomunikasi dan Kebudayaan benar-benar satu realiti.


“Tapi lihatlah hari ini, pemberian 2,000 unit komputer riba kepada anak-anak kita ini telah menyebabkan laluan kenderaan ke kampung Perpaduan di mana letaknya lokasi pemberian komputer ini mengalami sekatan yang panjang sehingga lebih 7 km.


“Sayapun amat teruja dengan keadaan ini. Lebih-lebih ketika kita sedang menyambut sambutan Hari Kemerdekaan negara ke 53 ” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Komputer Riba 1 Malaysia anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Dewan Kampung Perpaduan Datuk Ogi di sini. Majlis Pelancaran Penyerahan komputer itu di sini telah dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sempena Pelancaran Pekan Baru Sukau 24 Julai lepas.


Saddi berkata, pemberian kemudahan itu menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam memberikan pembelaan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar bahawa keperluan tersebut bukan saja untuk meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap bidang ICT tetapi juga pendidikan.


Kata Saddi, rakyat di kawasan Dun Sukau merasa amat bertuah kerana dengan memiliki empat buah pusat jalur lebar yang dibangunkan SKMM sebelum ini iaitu di Kampung Sukau, Kampung Paris, Pekan Bukit Garam dan Kampung Bukit Garam, kawasan tersebut diagihkan 500 unit komputer setiap pusat yang menjadi 2,000 unit keseluruhannya.


Katanya, dengan kemudahan tersebut bukan saja untuk membolehkan rakyat khususnya golongan pelajar untuk melayari segala maklumat global serta pendidikan secara maya, tetapi membantu untuk mengetengahkan lagi kawasan pelancongan di dalam Dun Sukau ke merata dunia.


“Pemberian komputer riba kepada golongan pelajar ini amat bermakna kawasan ini apabila saya sejak bulan Jun tahun lalu telah melancarkan laman blog Dun48 Sukau untuk tujuan meningkatkan penggunaan ICT serta maklumat perkhidmatan E Kasih melalui Unit PKR kepada rakyat,” katanya.


Di bawah laman blog berkenaan, kata Saddi, rakyat bukan saja dapat berkongsi maklumat dalam menjayakan pembangunan sosioekonomi mereka, tetapi dapat menyuarakan pandangan bagaimana untuk memajukan perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat dengan lebih berkesan, sesuai dengan aspirasi dan matlamat pembelaan BN di kawasan ini.


Majlis itu turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif Kandik, Pengarah TM Berhad Wilayah Sabah dan Persekutuan Labuan, Ahmad Nor Hisham Mohd Yusof dan Wakil Pengurus Besar Operasi TM Berhad, Arif Haji Lagkura, wakil Jabatan Pelajaran Kinabatangan, guru-guru dan ibu bapa yang terlibat.


Dalam konteks negeri Sabah, kata wakil rakyat itu, SKMM akan mengagihkan komputer riba 1 Malaysia ke 19 kawasan terpilih melibatkan 9,500 unit bagi fasa pertama.


“Jika mengikut kaedah yang disediakan SKMM dalam pembahagian komputer ini, 65 peratus daripada penyalurkan kemudahan ini adalah kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang masih tidak ada langganan jalur lebar, dengan kerjasama Jabatan Pelajaran,” katanya.


Manakala 35 peratus lagi, kata Saddi, diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan yang kurang liputan (jalur lebar) dan disasarkan seperti kampung-kampung baru dan sebagainya.


Pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah kata Saddi, dirujuk sebagai penanda aras kurang berkemampuan dan layak menerima kemudahan itu.


“Ternyata kerajaan menerusi SKMM begitu serius dalam menyediakan keperluan ini kepada rakyat yang memerlukan. Ia dilaksanakan di bawah misi Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan atau NBI. Pelbagai lagi usaha untuk meningkatkan kadar pertumbuhan penggunaan jalur lebar dalam masyarakat,” katanya


Saddi menambah, kadar penembusan jalur lebar di Sabah kini adalah 17.3 peratus dan sasaran sehingga penghujung tahun 2010 adalah di tahap 30.1 peratus sebagai memenuhi tuntutan keperluan ICT itu di peringkat nasional.


Sehubungan itu, Saddi menggesa ibu bapa supaya terus memperkasakan institusi keluarga masing-masing dalam menjana pembangunan pendidikan dan ICT di kawasan ini, sesuai dengan matlamat penyaluran kemudahan itu.


“Saya merayu semua ibu bapa di kawasan ini supaya dapat memimpin anak-anak mereka agar menggunakan kemudahan ini untuk meningkatkan pendidikan. Lihatlah kawasan kita yang terus memerlukan perubahan khususnya matlamat mengujudkan Pekan Baru Sukau yang memerlukan tenaga-tenaga mahir.


“Elakkan kemudahan ini serta ICT daripada menjadi alat untuk meruntuhkan moral dan institusi keluarga. Tetapi jika demi kebaikian, insyaalah kita akan berjaya,” katanya.