Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Program Juara Rakyat Peringkat Negeri & Sambutan Aidilfitri Bersama Perdana Menteri Di Padang Bandaran Sandakan

Penghibur terkenal dari Indonsesia, Rossa Roslaina Sri Handayani atau Rossa adalah tunggak utama barisan artis terkenal menghiburkan kira-kira 50,000 orang pengunjung sempena Juara Rakyat Peringkat Negeri dan Sambutan Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Padang Bandaran Sandakan, 16 September (Rabu) ini.


Pengerusi Persembahan, Saddi Abdul Rahman berkata, kedatangan penghibur yang mempopularkan lagu 'Ayat-Ayat Cinta', aku bukan untuk mu, ' pudar' dan banyak lagi itu akan menyampaikan beberapa lagu daripada beberapa albumnya termasuk yang bertemakan lagu-lagu hari raya bagi menghiburkan orang ramai.


Turut serta mengiringi Perdana Menteri ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan isteri bersama sejumlah pemimpin kabinet dan orang-orang kenamaan tempatan.


Saddi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau berkata, ketibaan Rossa yang merupakan penerima anugerah artis wanita paling terkenal di Indonesia tahun 2002 ke Sabah adalah dijayakan oleh Suria Record dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan Julang Kemuncak Sdn Bhd.


Katanya, syarikat itu juga turut memainkan peranan untuk membawa beberapa orang lagi penyanyi terkenal tanahair bagi mengandinggi Rossa. Antaranya Anuar Zain, Misha Omar, Ampal, Shabi Saddi. Marsha dan beberapa orang penyanyi termasuk kelahiran Sabah. Anuar dan Misha adalah bekas juara Anugerah Juara Lagu terbitan TV3, manakala Marsha penyanyi kelahiran Akademi Fantasia. Sabhi dan Ampal merupakan penghibur tempatan yang sudah dikenali di tanahair.


Sebelum ini ada usaha untuk mengundang Juara Malaysian Idol, Jackelyn Victor.


Tetapi oleh kerana penyanyi itu telah mendapat tempahan mengadakan pertunjukan lebih awal di tempat lain dan sukar untuk dibatalkan, maka penyertaannya ditukar kepada Anuar Zain.


Katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman selaku pemimpin utama Sabah berpuas hati dengan persiapan penganjuran program itu termasuk dengan persiapan persembahan bagi menghiburkan rakyat jelata.


" Matlamat penganjuran ini tidak lain tidak bukan untuk membolehkan masyarakat khususnya di Sandakan untuk mendengar amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib berkaitan sambutan berkembar ini, diikuti amanat dari Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa," kata Adun Sukau itu


Kata Saddi, usaha mendapatkan penyertaan Rossa semenangnya sukar kerana penyanyi itu terus mendapat undangan dari banyak pihak di Indonesia dan Malaysia.


" Namun kerana beliau tertarik dengan konsep program ini dan julung-julung kali datang ke Sabah, khususnya di bandar ini, maka pihak beliau akhirnya sudi menerimanya. Saya sendiri terasa gembira dengan kesediaan ini yang merupakan satu penghormatan besar Penganjuran Juara Rakyat Peringkat Negeri," katanya.


Dalam pada itu, Saddi mengingatkan orang ramai supaya dapat datang lebih awal ke tapak pertunjukan untuk mempastikan kehadiran mereka tidak berasak-asak dan mudah mengambil tempat yang disediakan secara teratur dan lancar.


" Yang Penting juga saya mengharapkan orang ramai merasa amat selesa dan terhibur dengan apa yang kami usahakan sebelum ini,"