Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

YB SADDI MELANCARKAN BANGUNAN PRT SUKAU

Saddi bersama akmalina menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena majlis perasmian bangunan PRT di Kg sentosa Jaya Sukau.

Majlis penyerahan bangunan.



Saddi menarik kain pemidang papan tanda sebagai simbolik Majlis Perasmian Bangunan Pusat Rukun Tentangga Kampung Sentosa Jaya.


SUKAU:


Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman menyambut baik hasrat Jabatan Perpaduan Negara Cawangan Sabah untuk mengujudkan sebuah kompleks Perpaduan dalam kawasan Daerah Kinabatangan bagi memenuhi hasrat jabatan tersebut.


Kalau perlu, katanya, beliau menawarkan diri supaya kompleks tersebut di bina dalam kawasan Dun Sukau, berhampiran dengan Pejabat Pusat Rukun Tetangga (PRT) yang terletak di Kampung Sentosa Jaya, dalam kawasan Dun Sukau di sini.


“ Saya menawarkan kalau boleh kompleks tersebut dibina dalam kawasan Pekan Baru Sukau, di Kampung Sukau. Berapa keluasan tanah yang dikehendaki jabatan ini, pihak saya memberi jaminan untuk menyediakannya di kawasan tapak pekan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri sempena perasmian Bangunan Pusat Rukun Tetangga Daerah Kinabatangan bernilai lebih RM200,000 di Kampung Sentosa Jaya di sini pada Sabtu.


Saddi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pekan Baru Sukau itu berkata, pelbagai kebaikan dengan terbinanya bangunan seumpana itu di pekan berkenaan, khususnya dalam menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat setempat, golongan pelabur di bidang perladangan serta perlancongan, diikuti masyarakat luar berbilang kaum yang terus berkunjung ke kawasan itu.


Katanya, kewujudan sebuah kompleks Perpaduan di kawasan tersebut bukan semata-mata memfokuskan soal perpaduan di kalangan golongan sasaran itu, tetapi ianya amat bermakna dalam menjana pembangunan sosioekonomi masyarakat terlibat, selaras dengan dasar dan matlamat kerajaan.


“ Kerana nilai perpaduan yang tinggi dan berkualiti, akan membentuk masyarakat bukan saja harmoni dan sejahtera dalam konteks perpaduan, tetapi bekerjasama dalam menjana pembangunan ekonomi sejagat.


“ Aspirasi ini terkandung dalam dasar Tranformasi Nasional yang menjadi intipati Gagasan Satu Malaysia dan turut menjadi elemen penting Model Baru Ekonomi. Sebagaimana yang kerap ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, perpaduan nasional amat berkesan dalam soal pembangunan ekonomi, keselamatan dan kejayaan pendidikan serantau,” katanya.


Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri, Puan Nurul Akmalina Haji Samsudin, pegawai-pegawai di bawah jabatan tersebut di Kinabatangan dan Sandakan dan kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat yang diketuai PKRnya, Sharin Haji Abdul Rahman.


Ketika menyampaikan ucapan di majlis itu Akmalina berkata, jabatannya sudah mempunyai cadangan untuk membina kompleks Perpaduan sedemikian di Sabah.


Katanya, kompleks seumpama itu boleh diwujudkan di Kinabatangan sekiranya ada pihak menawarkan sebidang tanah bagi pembinaannya.


Saddi berkata, selain kawasan ini menjadi tumpuan pelancongan masyarakat luar dan berbilang kaum di negara ini, kawasan ini sendiri didiami oleh masyarakat berbilang kaum dengan majoritinya dari kalangan etnik masyarakat Sungai, diikuti kepelbagaian etnik Bugis, dusun, iban dan banyak lagi.


Mengenai kewujudan Pusat Rukun Tetangga di Sentosa Jaya itu, Saddi berharap kewujudannya dapat meningkatkan nilai perpaduan yang sedia ada di kalangan masyarakat daerah ini.


Dengan pelbagai aktiviti masyarakat yang diadakan, diikuti komitmen yang tinggi di kalangan kakitangan dan petugas jabatan itu, kata Saddi, beliau percaya isu berkaitan keselamatan, masalah sosial khususnya penyalahgunaan dadah dan pergaulan bebas di kalangan remaja di kawasan ini dapat dibendung secara berperingkat-peringkat.


Ianya bukan saja, kata Saddi, dapat membantu kerajaan mengatasi pelbagai masalah yang timbul di kalangan remaja masa kini, tetapi yang tidak kurang penting dapat meningkatkan imej kemajuan terhadap rakyat di kawasan Dun Sukau.


“ Sebagaimana yang saya tegaskan, saya dan Unit PKR Dun Sukau akan sentiasa berkerjasama dengan Jabatan ini. Kalau ada aktiviti yang memerlukan penyertaan saya, sudah tentu demi rakyat dan kawasan ini saya tidak akan menolaknya,” katanya sambil memberikan mesej Sambutan Hari Raya kepada masyarakat Dun Sukau.
Selesai.