Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi Puji, Kritik dan Selar Pemimpin Semasa Bahas Bajet 2010


Saddi sebelum membahas Bajet Negeri 2010


::KOTA KINABALU:: (16hb November 2009)

“ Peranan saya disibukkan hanya untuk melayani tanggungjawab pentadbiran dua pejabat daerah, tapi rakyat yang saya wakili tidak terbela sepenuhnya.”

Itu antara kata kunci Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman, ketika membahas Bajet Negeri 2010 di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini Isnin.

Beliau menyatakan demikian sebagai menuntut pengstrukturan semula pentadbiran dalam persempadanan kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau, salah satu isu yang pernah dicadangkannya kepada persidangan dewan yang lepas.

Kata Saddi, kawasan Dun Sukau yang memiliki empat kawasan mukim, sejak sekian lama sebahagian darinya ditadbir oleh Pejabat Daerah Kinabatangan dan sebahagian lagi melibatkan kawasan persisiran pantai melibatkan kawasan kampung-kampung nelayan ditabir oleh Majlis Perbadanaran Sandakan.

Katanya, bentuk pentadbiran sedemikian menjadikan bukan saja usaha untuk mengurus pembangunan rakyat di dua kawasan sukar dilakukan, tetapi peranan yang boleh dimainkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan kerap bertentangan dengan kehendak penduduk dan persekitaran sosioekonomi dan politik kawasan itu.

Walhal, kata Saddi, kedudukan pejabat daerah Kinabatangan yang terletak di kawasan Pekan Bukit Garam yang ianya juga menduduki kawasan tanah pentadbiran Pejabat Daerah Tongod, terus memberikan faedah ekonomi dan pembangunan setempat, menjadikan kawasan itu secara langsung memiliki dua pejabat pentadbiran yang menguntungkan masyarakat luar, tetapi tidak banyak memberikan kebaikan kepada kawasan Dun Sukau.

Hakikat itu sudah difahami oleh semua pihak samada kakitangan pihak berkuasa tempatan Pejabat Daerah Kinabatangan, Majlis Perbandaran Sandakan dan rakyat di kawasan itu, kata Saddi.

“ Namun semua persoalan ini perlu dikembalikan kepada kerajaan agar hak pentadbiran dan usaha membangun rakyat ini dikembalikan kepada Pejabat Daerah Kinabatangan.

“ Saya percaya semua pihak bersetuju dengan penstrukturan pentadbiran ini saja memberi tumpuan penuh membangun kawasan Dun Sukau, dapat diterjemahkan sebaik mungkin atas kredibliti gagasan Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,” katanya yang memetik slogan baru dalam perkhidmatan rakyat masa kini dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ke arah memperbetulkan semula kedudukan pentadbiran Dun Sukau, kata Saddi, isu-isu seperti pembelaan kelompok masyarakat luar bandar Sukau yang terdiri dari masyarakat miskin, golongan petani dan nelayan, isu pemilikan tanah rakyat yang belum selesai, isu-isu berlakunya kegagalan projek-projek pembangunan infrastruktur rakyat, malah menjayakan rancangan ekonomi bidang pelancongan, pertanian dan perikanan yang boleh membawa pulangan Perkapita rakyat di sini, adalah antara ‘pakej’ perkhidmatan rakyat yang menuntut komitmennya, para pemimpin berkenaan dan kerajaan BN demi kemajuan kawasan ini.

Saddi memuji keupayaan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman kerana bukan saja mampu lagi menyediakan bajet berangkaikan usaha pembangunan rakyat yang lebih baik, bernilai RM3,304.38, 18 peratus daripada Bajet 2009, tetapi dapat diagihkan lebih tinggi ke kawasan luar bandar termasuk Sukau, yang amat memerlukannya.

Sebelum itu, Saddi menyifatkan pelbagai pengiktirafan yang diberikan badan-badan professional ke atas kejayaan dalam pentadbiran pengurusan kewangan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan itu, satu penghargaan tinggi kepada rakyat negeri ini kerana terus memberikan kepercayaan kepada tokoh yang sudah mendapat gelaran “Bapa Pembangunan Sabah’ itu.

Tetapi Saddi turut tidak melepaskan peluang menyelar pemimpin tertentu di dalam BN kerana mengeluarkan cadangan agar jawatan Ketua Menteri itu digilirkan semula seperti sebelum ini, yang dianggap Adun Sukau itu sebagai satu penghinaan bukan hanya kepada parti Umno sebagai tunggak kepimpinan BN di Sabah, tetapi kalangan rakyat berbilang kaum yang telah memberikan mandat penuh kepada Musa memajukan negeri ini.

Saddi meminta agar peruntukan pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Luar bandar sebanyak lebih RM85 juta di bawah Bajet Negeri 2010 di tambah, manakala peruntukan di bawah Kementerian Pertanian iaitu RM 524.25 juta dan lebih RM112 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, diagih-agihkan secara kemas dan terancang untuk memberikan kepada dua sektor itu yang turut dimainkan rakyat di kawasan Dun Sukau.

“ Kalau boleh saya meminta dewan yang mulia ini mempertimbangkan cadangan saya agar nilai peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui wakil-wakil rakyat yang ditambah RM100,000 menjadi RM600,000 setahun pada bajet kali ini, ditambah lagi pada angka lagi agar ianya ‘viable’ (berdaya saing dalam konteks politik).

“ Jumlah yang ada ini sememangnya belum cukup. Inilah tanggungjawab dan iltizam kami sebagai wakil-wakil rakyat BN, mahu agar rakyat mendapat banyak kebaikan pembangunan ekonomi di bawah gagasan kepimpinan negara yang ada hari ini.

“ Inillah baru dikatakan menjuarai rakyat,” katanya yang memetik ucapan Perdana Menteri sebelum ini, juga ditegaskan lantang Datuk Seri Musa dalam visi dan misi bajet negeri 2010.

Memuji kepada keprihatinan BN negeri kerana memberikan elaun RM500 kepada setiap kakitangan awam negeri sebagai ganjaran terhadap komitmen dan ketulusan mereka berkhidmat kepada rakyat, Saddi berharap pemberian itu membantu menggalas usaha pembelaan terhadap rakyat di luar bandar.

Namun tiba-tiba nada suara Adun Sukau ini menjadi berubah apabila menyuarakan kepentingan masyarakat belia di negeri ini yang gagal ditangani kementerian terlibat.

Sambil memetik isi kandungan Bajet Negeri bahawa
terdapat 44 peratus atau 3.1 juta orang jumlah golongan belia di negeri ini, tetapi menggangap golongan itu telah diabaikan di Dun Sukau, Saddi mahu kementerian terlibat mengambil tindakan drastic dalam menyusun pentadbiran dan perancangan pembangunan belia di situ.

“ Apa tidaknya, sudahlah seorang kakitangan sokongan diletakkan di Kinabatangan bagi menjadikannya pegawai jabatan di sini, tetapi tidak pula diberi kemudahan logistik, tidak ada kenderaan khas, apalagi kakitangan sokongan yang boleh membantunya memajukan masyarakat belia di sini. Apa ertinya ini,” katanya.

Tidak mungkin seorang yang bertaraf pegawai berkenaan mampu menjalankan khidmatnya di sebuah kawasan yang luas di Kinabatangan, seluas negeri Pahang itu, kata Saddi, menggunakan ‘basikal’.

Tidak pernah dia sejak menjadi wakil rakyat, kata Saddi jabatan itu menganjurkan program-program kepimpinan belia serta dalam bidang-bidang pembangunan yang boleh memajukan masa depan masyarakat itu, sebagaimana dititikberatkan kerajaan dulu.

“ Demi kebaikan belia di kawasan ini dan di Sabah, saya sebagai wakil rakyat menuntut kepada menteri dan kementerian terlibat supaya mengatasinya dan melakukan perubahan,” kata Saddi sambil memuji kerangka kerja Ketua Menteri kerana memperuntukkan lebih RM80 juta kepada golongan itu termasuk membinan kompleks-kompleks sukan di beberapa daerah.



Kembali kepada keperluan pembangunan khusus di Sukau, Saddi kemudian mengulangi cadangannya agar satu lagi jambatan yang merentasi Sungai Kinabatangan di Kampung Sukau dapat dibina, bagi menggantikan perkhidmatan feri yang diuruskan pihak swasta di situ, demi faedah rakyat yang akan menjadi pemangkin pengujudan Pekan Baru Sukau.

“ Dengan adanya jambatan ini ianya ianya bukan saja menyingkatkan lagi masa perjalanan ke kampung-kampung dalam kawasan Dun Sukau yang terletak bersempadan Daerah Lahad Datu, di kawasan Ulu Sungai Segama, tetapi satu anjakan ekonomi yang boleh menjana kedudukan rakyat khususnya Pekan Baru Sukau kelak.

Dalam soal tuntutan rakyat berkaitan perkhidmatan pihak kerajaan di sini, Saddi meminta supaya jumlah doktor perubatan dapat ditambah di Hospital Daerah Kinabatangan berbanding hanya tiga orang ketika ini termasuk berjawatan Pengarah Hospital, bagi menampung keperluan lebih 70,000 penduduk Dun Sukau (banci penduduk 1999).

Beliau juga mahu pembinaan semula kelinik kesihatan Kampung Sukau yang musnah terbakar beberapa tahun lalu bagi mengimbangi perkhidmatan tersebut di kawasan yang bakal menerima pembangunan baru, khususnya Pekan Baru Sukau itu.

Saddi turut meminta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) supaya mengujudkan sebuah sekolah pendidikan agama Islam di dalam Dun Sukau, diikuti usaha menaiktarafkan bangunan sekolah rendah dan menengah Kampung Sukau yang tertangguh pembinaannya di kawasan yang dicadangkan.

“ Dua keperluan ini memang penting. Bayangkanlah walaupun kawasan pantai timur Sabah ini sudah menerima kedatangan ajaran Agama Islam sejak awal kurun ke 18, tetapi daerah ini belum ada sekolah agama sendiri.

“ Demikian juga jika usaha mencari tapak bangunan sekolah rendah dan menengah itu sukar, saya menawarkannya dilakukan di kawasan tapak Pekan Baru Sukau. Saya meminta Jabatan Pelajaran Negeri memandang serius perkara ini,”katanya.

Selesai.

Saddi meneliti sesuatu bersama bersama Adun Tanjung Kapor, sebelum pembentangan Bajet Negeri 2010 Jumaat lepas.


Oleh Awang Ahmad (16hb November 2009)


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menyifatkan Pengumuman Bajet Negeri 2010 bernilai RM, 304.38 juta oleh Menteri Kewangan merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman Jumaat lepas sebagai belanjawan terancang.

Beliau berkata, bajet berkenaan bukan saja berupaya memberikan pembelaan yang lebih baik kepada rakyat, tetapi menampung keperluan pihak kerajaan dan agensi-agensinya untuk mengurus kewangan negeri untuk memperolehi pendapatan yang lebih baik dalam masa yang ditentukan.

“ Saya merasa gembira bajet ini yang jelas mendahulukan kepentingan rakyat. Walaupun ianya digerakkan secara berperingkat-peringkatkan berasaskan keupayaan kewangan negeri, tetapi menerusi langkah pelaburan yang lebih baik oleh agensi-agensi dipertanggungjawabkan, ia mampu menyediakan pulangan yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Mengulas Bajet Negeri yang dibentangkan oleh Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman Jumaat lepas, Saddi berkata, kakitangan kerajaan yang selama ini memberikan komitmen memajukan rakyat negeri mendapat faedah daripada bajet itu dengan elaun RM500 seorang.

Pemberian peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 menjadi RM600,000 setahun kepada peruntukan wakil-wakil rakyat, mampu memberikan dorongan khususnya tambahnilai perkhidmatan kepada kalangan rakyat yang terus memerlukan pembelaan.

“ Inilah bajet yang membuktikan keupayaan sebenar kemampuan kepimpinan Kerajaan BN di Sabah.. Datuk Seri Musa bukan saja seorang pemimpin politik yang baik. Tetapi membuktikan keupayaannya sebagai bekas ahli korporat yang berjaya dengan kemampuan mencari ruang pelaburan, selain mencorakkan pendapatan negeri mengikut kehendak dan keperluan kerajaan,” katanya.

Saddi berkata, beliau yang akan berusaha membahas bajet negeri itu hari ini, amat yakin perancangan dalam bajet itu mampu dilaksanakan mengikut jadual dan perancangan kerajaan negeri dan memberikan pulangan dari segenap ruang.

Apa yang penting, kata Saddi, kestabilan politik dan ekonomi negeri terus dalam keadaan terkawal dan matlamat itu hanya akan mampu dicapai jika seorang pemimpin yang diberikan tanggungjawab beramanah, sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Panglima Musa.

“ Saya sendiri mencadangkan kepada rakyat di negeri ini akan terus memberikan sokongan padu dan keyakinan yang tinggi kepada beliau dan tidak terpedaya dengan cakap-cakap pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencari kepentingan tertentu,” katanya.

Selesai.
.

Loji air yang mampu menampung lebih 2000 rumah di Kg Menggaris bakal siap tahun hadapan

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, projek pembinaan loji pengepam dan rawatan bekalan air di Kampung Menggaris, Sukau bernilai RM13.5 juta dijangka siap sepenuhnya bulan Mac tahun depan.




Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, loji berkenaan yang mula dibina bulan September tahun lepas itu dijadualkan beroperasi dalam tempoh empat bulan lagi.


“ Apabila beroperasi kelak, loji ini mampu membekalkan keperluan itu kepada lebih 2,000 buah rumah yang mendiami kawsasan kampung berhampiran. Ia termasuk Kampung Batu Putih, Kampung Paris 1, 2 dan 3, Kampung Perpaduan dan Kampung Gumantong Jaya, “ katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman pada sesi soal jawab Dewan Undangan Negeri pada hari pertama persidangan di sini.


Kata Datuk Joseph, projek tersebut disediakan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia, sedang dikendalikan oleh sebuah syarikat kontraktor tempatan.


Datuk Joseph berkata, penyediaan loji itu bakal menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air yang terus dialami penduduk di kawasan terlibat sejak merdeka.


Sebelum ini Saddi meyambut baik kehadiran projek berkenaan dan meminta ianya dipercepatkan demi kebaikan penduduk di kawasan terlibat.


Sebelum ini, katanya, sumber bekalan air di kawasan ini hanya diperolehi melalui sumber air hujan dan air sungai Kinabatangan yang kerap berhadapan pelbagai masalah termasuk pencemaran air sungai itu.


Bercakap kepada media kemudian beliau meminta masyarakat setempat supaya bersabar dan memberikan kerjasama kepada kerajaan sebaik saja operasi penyaluran bekalan air itu dilaksanakan. .


16hb November 2009
.

SIARAN TV RTM “ LAMBAI LIMBAI ” KE DUN SUKAU

Mencangkul tanah bagi penuaian ubi manis di Kampung Tanjung Aru Ulu


membuka pelan Bersama Suaran Singh di tapak cadangan Pekan Baru Sukau di Kampung Sukau.



Lawatan Saddi ke Kampung Semangat Payau dalam pengambaran crew Lambai Limbai.


::SUKAU::

Pukul 3 petang, Hari Selasa bersamaan 13 Oktober ini. Ribuan mata bakal tertumpu kepada Rancangan mingguan kelolaan RTM Sabah di TV 1, Lambai Limbai,

Siaran ke udara seluruh negara melalui slot temubual secara langsung itu diterbitkan anak muda dari Lahad Datu, Aris Arapah dan dihoskan Saudara Suaran Shah, kali ini bakal menemui penonton dengan perkembangan semasa rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau, sebagai salah satu bahannya..

Ahli Dewan Undangan Negerinya Saddi Haji Abdul Rahman dijangka akan menjadi tetamu khas dalam rancangan itu bertemakan, Ke Arah Membasmi Kemiskinan Rakyat, dipancarkan secara langsung ke udara daripada pusat siaran, RTM Kota Kinabalu, pada hari dan waktu ditetapkan.

Lambai-Limbai diwar-warkan sebagai program mingguan dari Sabah yang mendapat rating penonton tertinggi kelolaan TV 1 ketika ini. Selain Dun Sukau, siri kali ini turut memaparkan kehidupan masyarakat mundur di Pulau Bangi dan Sebatik Tawau.

Namun Sudah tentu tema itu rasanya memang amat sinonim dengan persekitaran sosio-ekonomi di Dun Sukau ketika ini.

Maka sebaik saja, Saddi dimaklumkan berhubung pembabitan Dun Sukau dalam rancangan TV yang diwujudkan kurang setahun itu, hasrat untuk mengetengahkan segala perkembangan ekonomi di kalangan rakyat pelbagai latar belakang dan sumber, diikuti pendekatan dan usaha penyelesaiannya cuba untuk digambarkan dalam rancangan ini.

Lapan buah kampung, dalam Dun Sukau, di mana empat darinya dibawah pentadbiran terus Pejabat Daerah Kinabatangan dan selebihnya lagi di bawah kendalian Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang meliputi kawasan Zon Persisiran Pantai dilibatkan dalam program ini.

Antaranya, melibatkan program penternakan Kambing Bour di Kampung Lipong Hidayat, Suan Lamba, pengambaraan melibatkan kegiatan pelancongan homestay di Kampung Sukau, kegiatan penternakan itik telor di Kampung Sentosa Jaya, kegiatan menjalankan aktiviti pelancongan oleh Koperasi Pelancongan di Kampung Menggaris, kesemuanya pada hari pertama.

Tapak cadangan bagi Pekan Baru Sukau, Jambatan Kedua Kinabatangan dan tapak rumah kedai Sedco yang kesemua di Kampung Sukau yang disifatkan sebagai penjana ekonomi rakyat kawasan itu masa depan turut dikunjungi krew Lambai Limbai.

Hari Kedua, tumpuan tinjauan krew Lambai Limbai dihala ke kegiatan penanaman tembikai di Baungun Tengah, penanaman tembikai, halia dan ubi manis di Kampung Tanjung Aru Ulu, kegiatan pemuliharaan Ikan dalam sangkar di Kampung Semangat Payau dan acara perusahaan industri makanan laut di Kg. Tanjung Aru Kuala.

Turut serta sepanjang dua hari dalam liputan program itu ialah Pengawai RTM Sandakan Fm, Razali Baba, kakitangan UPKR Sukau yang diketuai, Sharin Haji Abdul Rahman dan para Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung yang berkaitan dalam rancangan itu.

Lambai Limbai, antara lain akan cuba mengetengahkan suasana kepayahan ekonomi rakyat di dalam kawasan Dun Sukau, salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri yang disenaraikan sebagai yang termundur dalam negara, dan kedudukan logistiknya yang luas digambarkan separuh daripada negeri Pahang.

Begitupun kegigihan penduduknya menjayakan program-program ekonomi keluarga, ditambah dengan perancangan-perancangan jangka pendek dan jangka panjang termasuk menerusi langkah dan sokongan yang diberikan kerajaan negeri dan persekutuan, bakal merubah lanskap sosio-ekonomi rakyat di kawasan ini secara berperingkat peringkat.

“ Saya berterima kasih kepada RTM, penerbit dan krew Lambai Limbai kerana sekurang-kurangnya rancangan ini menjadi satu agen informasi penting untuk rakyat kawasan ini mendapat perhatian diperlukan, sekaligus satu mekanisma perancangan jangka pendek dan janga panjang, bagi memulih serta merubah masyarakat menerusi langkah dan pendekatan diharapkan,” kata Saddi.

Saddi turut menyifatkan program seperti itu memenuhi gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan di Sabah ianya disambut oleh Halatuju Pembangunan Negeri yang diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Selesai.
,

Hari Raya Batu Putih

Kenangan Saddi bergambar bersama jawatankuasa sambutan Aidilfitiri di Batu Putih.



Saddi memerhatikan bahagian stor Sk Batu Putih bersama Salamah dan Hairin.


Saddi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan aidilfitri daripada pihak Sekolah SK Batu Putih, sambil diperhatikan Salamah dan Hairin.


::SUKAU::
Perkampungan Batu Putih di sini bakal menerima cadangan pembangunan di bawah perlaksanaan program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun menerusi penyelarasan program itu di kawasan luar bandar seluruh negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman.

Katanya, di bawah NKRA, Batu Putih salah satu daripada 42 kampung dalam Dun N. 48 Sukau dijangka menikmati peningkatan infrastruktur persekolahan, keperluan asas yang lebih baik bagi menjana sosio ekonomi serta beberapa keperluan kemudahan asas rakyat berbanding sekarang.

“ Saya yakin dan percaya dengan keseriusan kerajaan pusat dan negeri yang melaksanakan NKRA di seluruh luar bandar di Sabah, Kampung Batu Putih tidak akan terkecuali dari menikmati pembangunan sebelum menjelang Pilihanraya Umum ke 13 dijadualkan tiga tahun lagi.

“ Saya sudah memasukkan tambahan permohonan peruntukan untuk fasa ke 2 melebihi RM60 juta, berbanding lebih RM8 juta pada permohonan fasa pertama. Kita harap ianya dipertimbangkan untuk kelulusan sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hairaya Adilfitiri dianjurkan bersama oleh Tiga Kampung di sini, Batu Putih, Kampung Mengaris, Kg. Perpaduan, Koperasi pelancongan (Kopel) dengan kerjasama PIBG S.K. Batu Putih di perkarangan sekolah itu, Sabtu lepas.

Saddi berkata, penyediaan cadangan peruntukan pembangunan yang lebih besar itu selaras dengan kehendak pembangunan rakyat sekian lama, seiring dengan penyediaan program NKRA yang dicadangkan kerajaan pusat untuk membangunkan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Berasaskan Gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kata Saddi, beliau amat yakin rayuan pembangunan yang sekian lama disuarakan rakyat ini dapat didengar dan dipertimbangkan kelulusannya.

Kata Saddi lagi, peningkatan pembangunan di semua kampung dalam kawasan Dun Sukau sememangnya amat significant terhadap perancangan memajukan kawasan itu, khususnya Pekan Baru Sukau yang sedang dicadangkan kepada pihak kerajaan.

Katanya, lagi usaha memperkasakan taraf pendidikan adalah sebahagian agenda meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat di kawasan ini secara jangka panjang, sebelum anak-anak tempatan di kawasan ini mewarisi bidang perkhidmatan dan ekonomi Dun Sukau.

“ Maka segala permintaan pihak PIBG S.k. Batu Putih untuk membangunkan sekolah ini menarik perhatian saya ke arah memenuhi segala harapan yang kita sama-sama sandarkan,” tegasnya kepada lebih 400 penduduk dan pemimpin setempat yang hadir pada majlis itu..

Apa yang diperlukan, kata Saddi, azam serta usaha untuk memperkasakan prestasi pendidikan anak bangsa di kawasan ini digiatkan lagi seiring dengan idealisma dan falasafah pendidikan negara ketika ini ke arah sebuah negara maju dan berteknologi tinggi dalam semua bidang.

“ Saya bersetuju dengan seranan Guru Besar SK Batu Putih, Puan Salamah Ismail tentang keperluan alat penghawa dingin di bilik mesyuarat sekolah ini, saya putuskan segera memberinya dua unit, kalau inilah boleh mendorong melancarkan prestasi pembelajaran anak-anak di sekolah ini.

“ Mengenai permohonan yang bukan di bidang kuasa saya, ia segera sampaikan kepada pihak kerajaan dan moga-moga ianya mendapat perhatian di bawah NKRA seperti yang saya sebutkan,” katanya.

Beliau kemudian bersama-sama Salamah dan Pengerusi PIBG, Hairin Tangkala dan bersama pemimpin masyarakat terlibat melawat persekitaran sekolah S.K. Batu Putih untuk meninjau permasalahan yang timbul.


Selesai.

Hospital Kinabatangan Kekurangan Doktor


Saddi menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Dr. Isma pada Hari Keluarga Kakitangan Hospital Daerah Kinabatangan.




Saddi menyampaikan Sijil Penghargaan kepada kakitangan terbaik bulanan Hospital Daerah Kinabatangan, sambil diperhatikan oleh Dr. Isma dan Hajah Aminah.


SUKAU ::

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mengharapkan agar usaha menempatkan lebih ramai doktor pakar di Hospital Daerah Kinabatangan di sini diperhebatkan, sebagai sebahagian azam pihak hospital berkenaan meningkatkan khidmatnya kepada rakyat.

Saddi berkata, Kementerian Kesihatan perlu diberikan kefahaman yang lebih berhubung kekurangan doktor di hospital itu dan ianya perlu ditangani segera bagi menghadapi pelbagai situasi berkaitan permasalahan kesihatan rakyat termasuk kesan dari penularan wabak HINI yang sedang melanda dunia.

“ Saya terima ikrar yang diberikan Pengarah Hospital, Dr. Isma Abdul Hamid berhubung tekad pihaknya meningkatkan khidmat hospital kepada rakyat. Walaupun ini bukan suatu yang mustahil dengan kekuatan tiga orang doktor berkhidmat termasuk beliau, namun matlamat menambah doktor pakar di Kinabatangan dipandang serius.

“ Keadaan sosio ekonomi rakyat di kawasan ini yang belum begitu terurus dan jauh ketinggalan berbanding daerah-daerah lain di negara ini, memerlukan penjagaan serta pengawsan kesihatan lebih padu,” katanya.

Berucap pada Majlis Hari Keluarga dan Kualiti Bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Daerah Kinabatangan sempena Aidilfitri, Saddi berkata, rakyat di kawasan ini khususnya Dun Sukau kecewa berikutan kekurangan doktor di hospital tersebut sekian lama.

“ Kita difahamkan jumlah doktor di sini pada suatu masa dulu empat orang tapi kini berkurang menjadi tiga orang termasuk Pengarah Hospital. Keadaan ini menyukarkan rakyat pada waktu-waktu puncak perkhidmatan doktor diperlukan. Apalagi dengan penularan pelbagai wabak penyakit yang kini melanda dunia,” katanya.

Keadaan bangunan hospital daerah itu yang begitu besar, ditambah dengan kemudahan asas untuk kakitangan yang baik, agak janggal dengan jumlah doktor yang amat kecil.

Saddi yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital berkenaan berkata, peranan lembaga terlibat serta pihak pengurusan hospital tersebut perlu diaktifkan lagi sebagai sebahagian daripada pendekatan bersama menangani isu kekurangan doktor di hospital itu.

Sehubungan itu, Saddi mahu pihak urusetia lembaga itu di hospital berkenaan mengaktifkan lebih banyak mesyuarat bagi menggerakkan tugas-tugas berkaitan.

Mengenai Majlis Hari Keluarga serta usaha peningkatan kualiti kakitangan yang dianjurkan hospital itu, Saddi berkata, ianya amat baik dalam menanamkan minat kakitangan di situ berkhidmat secara lebih berkesan kepada rakyat.

“ Pada saya, khidmat ini akan lebih berkesan jika ianya seiring dengan perancangan kerajaan meningkatkan pembangunan sosio ekonomi rakyat, khususnya dalam kawasan Dun Sukau, katanya,

Dengan peningkatkan taraf kesihatan rakyat, tegasnya, ianya adalah sebahagian jaminan untuk meningkatkan lagi pelaburan ekonomi di kawasan ini khususnya berkaitan dengan industri pelancongan, perladangan dan bidang-bidang urbanisasi di kawasan Sukau.

Katanya, dengan nilai etika perkhidmatan yang tinggi di kalangan kakitangan hospital itu ianya sekaligus mencerminkan disiplin tinggi dan kecekapan bertugas yang akan memberikan keyakinan rakyat dan masyarakat luar untuk terus berada lebih lama di daerah ini.

Saddi kemudian menyampaikan Sijil Penghargaan Kualiti kepada sejumlah kakitangan tersebut bersama-sama timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat, Hajah Aminah Haji Johan, diikuti penyampaian hadiah beberapa acara sempena program tersebut.

Selesai.