Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pusat Pemulihan dan Pembiakan hidupan liar hampir pupus diwujudkan di Sukau pertama di Asia Tenggara


Gajah jenis Pigmy yang terbunuh akibat keracunan dan cedera akibat perangkap hutan



Gambar Gajah Pigmy yang dipulih oleh pihak Jabatan Hidupan Liar
Saddi bergambar (duduk dua dari kanan) bersama  Arisin, Laurintius, Basri, Ir Frank dan Seiji bersama  kakitangan Hidupan Liar dan SESB Daerah Kinabatangan


Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata,  hasrat mengujudkan sebuah pusat pemulihan dan pembiakan spesis hidupan liar yang hanya ada di Borneo dan hampir pupus seperti Gajah Pigmy, Badak Sumbu dan Seladang (tembadau) di kawasan kira-kira 3,000 ekar di kawasan Lot 8 Hutan  Simpan In Situ di sini bakal menjadikan Sabah lonjakan baru dalam kalender perlancongan antarabangsa masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dun Sukau itu berkata, program melibatkan kerjasama  beberapa badan penting diketuai Jabatan Hidupan Liar Sabah, Zoo di Asahiyama, Jepun, badan-badan pemuliharan hidupan liar dan badan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa itu, akan bakal dibuka di kawasan Hutan Simpan In Situ, kira-kira 20km dari Pekan Bukit Garam di sini dengan pembinaannya mengambil masa lebih setahun.

“ Berdasarkan taklimat Pengarah Hidupan Liar, (Dr. Laurintius Ambu) dan rakan-rakannya, saya dapati pusat yang pertama diujudkan di Malaysia dan rantau Asia Tengara ini bakal memberi nafas barukepada usaha melindungi hidupan liar yang hampir pupus, selain ianya satu anjakan baru kepasda sektor pelancongan negara pada masa depan.

“ Saya yakin jika pusat ini diwujudkan, sudah tentu kehadiran pelancongan  dari merata dunia ke Sabah yang kini mencapai lebih 3 juta orang dan lebih 50,000 orang ke kawasan Dun Sukau tahun lalu akan berlipat kali ganda dalam tempoh itu, “ katanya.

Bercakap kepada wakil media selepas menerima taklimat ringkas Jabatan Hidupan Liar di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kinabatangan di sini, Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) itu merasa amat kagum dengan cadangan itu yang terletak di tengah-tengah tumpuan pelbagai distinasi pelancongan di Dun Sukau yang juga di pertengahan daerah Kinabatangan  dan Lahad Datu serta Tawau,”

“ Saya teruja kerana pusat ini hampir kepada beberapa distinasi eko pelancongan menarik meliputi kawasan hutan hujan yang menyimpan rahsia bio diversity, tumpuan pesat pengunjung ke Gua Gumantong, kawasan tanah lembab dan Ramsar yang diiktiraf  sebagai antara khazanah warisan dunia, kuburan lama, serta kawasan hidupan kepada populasi monyet bangkatan,  burung-burung borneo, orang utan, spesis buaya di Sungai Kinabatangan serta habitat sungai yang kini  menjadi pelengkap kepada penubuhan  pusat kajian  dan sekolah perhutanan bertaraf antarabangsa yang sudah wujud lama,” kata wakil rakyat itu.

Turut serta dalam taklimat itu ialah Pegawai Daerah Kinabatangan,  Encik Arisin Haji Arifin, Basri Haji Osman mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan, Pegawai Kemajuan Masyarakat Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit, Kakitangan SESB  dan Kakitangan Jabatan Hidupan Liar kawasan ini. 

Saddi juga menyokong usaha menaikkan taraf kemudahan asas di tapak projek itu seperti menaiktaraf jalan raya, kemudahan bekalan elektrik dan air yang akan dikemukakan permohonannya kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

“Apa saja dipohon demi pusat ini, saya sedia membantu dan boleh dihubungi bila-bila masa,” katanya yang mensifatkan hasrat itu membangkitkan semangatnya  bagi meningkatkan ekonomi rakyat melalui sektor itu.

Saddi sebelum ini memasukkan bidang pelancongan sebagai agenda perkhidmatan beliau. Beliau  pernah mensyorkan kepada Sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengujudkan sebuah taman Gumantong yang berfungsi sebagai pusat rekreasi dan perhotelan  bertaraf antarabangsa,   di kawasan kira-kira 20km dari takan Pekan Baru Sukau, Bandar Bio Diversiti yang  dirancang beliau,  membabitkan kos pembangunan melebihi  RM 200 juta sebelum dapat dinikmati rakyat menjelang tahun 2020.

Dr Laurintius dalam taklimatnya berkata,  berpuluh ekor daripada lebih 2,000 populasi Gajah Borneo atau Pigmy, diikuti hanya 11,000 ekor orang utan, sebahagian kecil monyet bangkatan,  kelompok kecil badak sumbu, seladang di hutan simpan di sekitar Pantai Timur di sini perlu selamatkan daripada kepupusannya menerusi pengujudan pusat itu.

Katanya, sebahagian kos pembiayaan projek itu bakal dibiayai oleh beberapa badan seperti Taisei Corporation, sebuah badan perancang dan Pentadbiran mengenai persekitaran berpusat di Jepun, syarikat-syarikat swasta dan pertubuhan sukarela termasuk daripada Sabah , selain pihak Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan badan-badan berkaitan Hidupan Liar serta alam sekitar di peringkat antarabangsa.

Dr Laurintius turut menyebut peralatan penting bagi melengkapkan projek itu  seperti sejinis pagar besi diperbuat daripada  keluli hanya direka khas di negara matahari terbit itu akan dibawa ke sini bagi memagari sebahagian besar kawasan operasi  rawatan dan pemuliharaan di pusat itu.

“ Pusat ini memerlukan pembiayaan sekurang-kurang RM5 hingga 6 juta dalam tempoh lima tahun pertama dan langkah ini dan sememangnya kita mempunyai perancangan menjadikan  pusat itu sebagai pusat pemuliharaan bertaraf dunia pada masa depan dan ianya bergantung dari kemampuan pembiayaan, “ katanya.

Selain bermatlamat menyelamatkan kepupusan hidupan liar, pusat itu bertujuan memberikan kesedaran kepada seluruh masyarakat tentang kesungguhan matlamatnya,  sesuai harapan badan-badan antarabangsa yang sebelum ini menuduh Sabah dan negara ini lebih  mengutamakan sektor perladangan  berbanding isu  kepupusan hidupan liar seperti Gajah Pigmy.

Menurutnya lagi, WWF dan badan penyiaran antrabangsa  mengenai perlindungan hidupan liar, National Geografi telah  melakukan rakaman mengenai isu ancaman kepupusan Gajah  Pigmy di negeri ini untuk dihebahkannya di mata dunia, sekaligus menjadikan tanggapan luar itu sebagai suatu yang perlu ditangani secara bersama dan konsisten.

Menjawab satu soalan terhadap kedudukan  pusat itu  yang bakal terbatas kerana menghimpunkan kepelbagaian jenis hidupan liar di kawasan sekitar 3,000 ekar itu,  Dr. Laurintius dan Saddi sependapat pusat perhentian hidupan liar itu  hampir dengan sebuah lagi kawasan hutan simpan Pin Supu  berkeluasan lebih 20,000 hakter.

Turut Serta dalam taklimat itu ialah Ir.Frank C.S.Fan dan Seiji Tange yang mewakili Taisei Corportion, sebuah badan sukarela mengenai projek itu yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan di Tokyo bagi menjelaskan langkah perlaksanaan, keperluan teknikal serta fungsi projek itu.