Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pemasangan paip bekalan air bernilai lebih RM100 juta seperti sengaja dihentikan




Nama Jabatan Kerja Raya  (JKR) di sini bakal meniti dibibir rakyat kawasan ini sebagai ‘penghalang’ kepada pembangunan rakyat apabila jabatan itu dilihat seperti sengaja menghentikan perlaksanaan beberapa projek pemasangan paip bekalan air yang bernilai lebih RM100 juta di empat buah kampung utama di sini sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Mesyuarat Pembangunan Daerah di sini kelmarin melaporkan, empat projek berkenaan ialah pemasangan paip di sepanjang kawasan Kampung Sukau melibatkan RM44.753 juta,  pemasangan paip di sekitar Kampung Paris – Sentosa Jaya melibatkan RM 22.923 juta,  perlaksanaan projek Bekalan Air Zon 5 Kinabatangan melibatkan lebih RM9,988 juta, Projek Bekalan Air Zon 5B Kinabatangan RM24.882 juta, diikuti beberapa projek pembaikan jalan dan lampu-lampu jalan di sepanjang kawasan terlibat sehingga kini.

Pergantungan pihak Pejabat Daerah Kinabatangan kepada jabatan itu yang berpusat di Sandakan juga menyukarkan kedua-dua pihak menangani beberapa isu pembangunan di kawasan Dun Sukau  dan Kinabatangan sekian lama, walaupun menerusi mesyuarat pembangunan Daerah yang diadakan sebulan sekali.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman yang turut menghadiri mesyuarat tersebut amat kecewa dengan perkembangan tersebut.

“Apa yang amat menyedihkan saya, pihak JKR kerap tidak menghadiri mesyuarat pembangunan Daerah Kinabatangan untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini. Akhirnya projek penyaluran bekalan air luar bandar, diikuti beberapa projek pembangunan lain tergendala ekoran tindakan birokrasi kakitangannya,” katanya.

Pegawai Daerah, Arisin Haji Arifin juga menyatakan rasa hairan berhubung tindakakan pihak JKR menghentikan pemasangan paip air di beberapa kampung terlibat, selain berkaitan projek projek pembaikan lampu jalan serta pembaikan jalan yang rosak.

Bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah menegaskan, alasan  pihak JKR berbuat demikian kerana pihak kontraktor yang diberi tanggungjawab membina Jalan-jalan utama dalam kawasan terlibat belum menyerahkan secara rasmi projek penyiapan jalan-jalan berkenaan kepada pihak jabatan itu sejak ianya disiapkan hampir dua tahun lalu.

Projek pembinaan jalan yang dimaksudkan pihak JKR kepada agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Air dan Sabah Elektrikcity Sdn Bhd (SESB)  ialah pembinaan jalan ke Kampung Sukau sejauh 42km yang siap lebih dua tahun lalu, diikuti jalan Suan Lamba - Sukau melebih 20km yang siap pertengahan tahun lalu.

“Alasan ini amat tidak masuk akal. Kerana sama ada pihak JKR atau kontraktor yang terlibat mempunyai masa yang cukup untuk menilai perlaksanaan projek pembinaan jalan terlibat sebelum ianya dapat dinikmati rakyat, diikuti kemasukan projek-projek pembangunan seperti bekalan air dan elektrik di kawasan berkenaan,” kata Saddi.

Beliau berharap pihak JKR melalui Juruteranya dapat tampil pada mesyuarat pembangunan Daerah Kinabatangan akan datang bagi memberikan penjelasan sebenar berhubung penahanan beberapa projek pembangunan yang dimaksudkan.

Pada mesyuarat tersebut Saddi turut mempertikaikan tindakan pihak Majlis Daerah Kinabatangan mengenakan caj pengangkutan RM200 bagi setiap sebuah lori yang membekalkan lebih 3,000 liter air ke kampung Sukau yang mengalami kemarau sejak lebih dua minggu lalu.

Menurut Saddi, kadar caj pengangkutan yang dikenakan pihak majlis itu agak tinggi kerana setiap sebuah lori yang mempunyai muatan sedemikian hanya mampu menampung keperlukan antara tiga hingga empat buah rumah di kawasan PPMS Sukau sebelum ianya diperlukan semula dalam jangkamasa seminggu

“Caj ini agak tinggi bagi masyarakat kampung berkenaan. Padahal mereka adalah rakyat yang memerlukan pembelaan pihak kerajaan,” katanya.

Saddi kemudian turut mencadangkan agar bil bagi setiap caj pengangkutan bekalan itu  diserahkan kepada pihaknya untuk diselesaikan.

Sementara itu, Arisin turut mempertahankan tindakan mengenakan caj yang dikenakan pihak MDK itu dengan menegaskan pihak bomba juga dikenakan caj yang sama bagi mendapatkan bekalan air di pili bomba yang terdapat di kawasan daerah itu.

Bagaimanapun mengenai soal bekalan air kepada penduduk kampung di Sukau, katanya, ianya akan dirujuk kepada Tabung Bencana Alam yang disediakan pihak Jabatan Keselamatan Negara untuk diselesaikan.

“Saya harap jangan kerana tidak ada bayaran, pihak MDK tidak menghantar bekalan air ke kawasan Kampung Sukau dan penduduk yang memerlukan bekalan ini. Pihak saya sedia untuk menyelesaikan bayaran berkenaan jika ianya diperlukan,” katanya.

Pada mesyuarat tersebut,  turut dicadangkan penubuhan jawatankuasa pembangunan Kampung Pesisiran Pantai DUN Sukau yang melibatkan peranan pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Pejabat Daerah Kinabatangan bagi memantau segala perjalanan pembangunan ekonomi 16 buah kampung di kawasan itu.

Saddi menyambut baik cadangan itu dan berharap ianya memberikan impak yang berkesan kepada masyarakat di kawasan berkenaan yang jauh ketinggalan.

Pada mesyuarat itu beliau juga meminta pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (Jaheins ) Daerah di sini supaya aktif mengatasi masalah pembangunan ibadah di kawasan Dun Sukau khususnya Projek pembinaan Masjid Tun Juhar bernilai RM 5 juta yang masih belum dapat dimulakan.

29 Jun 2012