Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pembetulan berhubung isu sekatan projek pemasangan paip bekalan air...




Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan N.48 Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman hari ini menjelaskan,  isu sekatan projek pemasangan paip bekalan air oleh Jabatan Kerja Raya di kawasan ini  melibatkan sepanjang jalan Suan Lamba-Sukau dan Kampung Bilit-Sukau, bukan sepanjang jalan Sukau seperti yang dilaporkan semalam.

Datuk Saddi berkata,  kedua-dua projek pembinaan  Jalan Suan Lamba - Sukau dan Bilit - Sukau masing-masing disiapkan antara empat bulan hingga dua tahun lalu yang membolehkan pihak JKR daerah memiliki cukup masa  untuk mendapat sebarang pengesahan berkaitan pembinaan projek-projek jalan terlibat daripada kontraktor berkenaan.

“Yang mengecewakan saya tempoh yang ada tidak digunakan oleh pihak Jurutera JKR Daerah Kinabatangan menilai sebarang prestasi dan kelemahan projek-projek jalan berkenaan bersama kontraktor yang dipertanggungjawabkan, sehingga ianya menghalang perlaksanaan projek pemasangan paip air ke kampung-kampung terlibat berikutnya,” katanya.

Mengulas laporan Mesyuarat Tindakan Daerah Kinabatangan semalam,  tindakan JKR menyekat perlaksanaan projek pemasangan paip ke beberapa buah kampung atas alasan agensi itu tidak menerima secara rasmi projek pembinaan dua jalan kampung itu daripada kontraktor terlibat, mengecewakan wakil rakyat itu.
Difahamkan sekatan projek pembangunan bekalan air dan kemudahan asas lain melibatkan nilai lebih RM100 juta termasuk melibatkan sepanjang Kampung Sentosa Jaya – Kampung Paris itu bakal menghalang sasaran menyediakan kemudahan  asas rakyat yang dimatlamatkan Jabatan Air  dan Sabah Elektrikcity Sdn Bhd , sesudah ianya  sekian lama dipohon rakyat.

“Saya bagi pihak rakyat merayu pihak JKR supaya mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah pembangunan di kawasan ini dan menyampaikannya pada Mesyuarat Tindakan Daerah pada masa depan,: katanya di sini.

Merujuk kepada mesyuarat semalam, Saddi juga mengharapkan agar pihak Felcra, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah supaya mengagihkan secara adil bantuan perumahan kepada masyarakat yang terlibat di kawasan Litang bulan depan.

“Melihat kepada senarai penerimanya, saya merasa tidak puas hati kerana ada kalangan satu keluarga menerima  sehingga lima unit. Sepatutnya ianya diagih-agihkan secara adil meliputi kepentingan semua penduduk di kawasan teribat. Saya mahu senarai ini diubah sesuai dengan dasar pembelaan Kerajaan BN,” katanya

Beliau juga mengharapkan agar Jabatan Belia dan Sukan Daerah di sini menyediakan dokumen lengkap berhubung permohonan membina sebuah mini kompleks sukan daerah bagi memudahkannya mengajukan kepada pihak kerajaan negeri dan persekutuan.

“Saya mengharapkan terbinanya sebuah kompleks Sukan di daerah ini bagi membolehkan Kinabatangan terus memberikan sumbangan melahirkan jaguh-jaguh sukan  peringkat negeri dan kebangsaan di masa akan datang.

“Saya sedih apabila melihat kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Daerah dua hari lalu masih ada lagi atlit yang bertanding berkaki ayam. Maka saya mahu rakyat dapat menganjak satu perubahan baru dalam bidang sukan,” katanya.

Saddi juga mengharapkan pihak Pejabat Daerah Kinabatangan dapat menyediakan sebidang tanah bagi pembinaan sebuah sekolah menengah baru di kawasan ini selaras dengan harapan Jabatan Pelajaran Daerah bagi meningkatkan pembangunan modal insan di kawasan ini.

01 Julai 2012