Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Penduduk Di DUN Sukau Diminta Manfaatkan Laman Blog Untuk Suarakan Masala











Orang ramai perlu memanfaatkan laman blog wakil rakyat yang berperanan sebagai media alternatif bagi menyuarakan permasalahan mereka bagi memudahkan kerajaan mencari jalan membantu mereka, kata Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

"Dengan wujudnya laman blog seperti ini maka ia akan dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat serta akan meningkatkan jumlah masyarakat luar bandar yang celik komputer" katanya ketika merasmikan Pelancaran Blog Anggota Dewan Undangan negeri (ADUN) kawasan Sukau di Dataran Kampung Paris, dekat sini.

Sementara itu, ADUN Sukau, Saddi Abdul Rahman mahu rakyat di kawasannya memanfaatkan peluang untuk berkomunikasi dan menyatakan permasalahan yang dihadapi mereka terus kepadanya dengan hanya mengakses laman blog yang telah dilancarkan itu.

"Saya mahu semua penduduk menghubungi saya dengan menyampaikan kepada saya permasalahan yang dihadapi walaupun anda jauh berada di dalam kampung dan saya mahu semua penduduk memanfaatkannya", katanya.

Melalui laman blog, ia menjadi media komunikasi berkesan yang dapat menjimatkan masa seseorang wakil rakyat untuk mengetahui sendiri permasalahan yang dihadapi, katanya.

"Hanya dengan membuka laman blog ini, kita sudah boleh mengetahui masalah dan boleh mengatasinya dengan lebih cepat," katanya.
Justeru itu, katanya, setiap pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang meliputi lapan mukim akan dibekalkan komputer riba dan modem jalur lebar untuk memudahkan mereka mengakses internet dan melayari laman blog itu.

"Untuk memastikan keberkesanan laman blog ini, kelas komputer dan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) akan diadakan agar semua wakil kampung ini dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan khususnya dalam bidang teknologi agar kita tidak ketinggalan walaupun tinggal di pedalaman," kata Saddi.

Saddi turut menyatakan harapan agar golongan muda mengambil kesempatan itu untuk mendekati pemimpin kerana beliau tahu golongan muda kini sinonim dengan kemajuan ICT.

Sumber: Bernama 11 Jun, 2009 18:12 PM




ADUN SUKAU CATAT SEJARAH BUKA LAMAN BLOG


SUKAU: Wakil rakyat di sini, Saddi Haji Abdul Rahman mencatat sejarah perkhidmatannya tersendiri apabila membekalkan semua pengerusi JKKK di kawasannya dengan peralatan jalur lebar sebagai akses kepada jaringan perkhidmatan dan maklumat pembangunan kepada rakyat diwakilinya.

Saddi menyalurkan peralatan itu kepada kesemua 42 orang pengerusi JKKK berkenaan yang disampaikan secara simbolik pada majlis Pelancaran Laman Blog Adun 48 Sukau yang berkonsepkan Khidmat Kasih, di Kampung Paris, salah satu mukim Dewan undangan negeri itu, malam Selasa.

Peralatan mudah alih itu bukan saja untuk membolehkan rakyat di kawasan masing-masing menyampaikan segala permohonan berhubung pembangunan dan rancangan ekonomi mereka secara maya (penggunaan internet), tetapi melaporkan secara pantas masalah penduduk termasuk berkaitan bencana alam dan sebagainya.

Berucap pada majlis pelancaran blog itu yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, Saddi berkata, kedudukan logistic kawasan Dun Sukau yang luas di luar bandar adalah antara keperluan kemudahan itu disalurkan.

“ Daripada alasan ini serta suasana kehidupan penduduk kampung yang berbeza-beza dari segi sumber ekonomi dan pembangunan, saya merasakan perlunya para pengerusi JKKK ini dibekalkan kemudahan jalur lebar bagi membolehkan mereka menghubungi saya secara penggunaan internet,” katanya.

Katanya, kemudahan itu hanya disematkan kepada komputer yang dimiliki oleh para pengerusi JKKK itu untuk melayari internet dan mengakseskannya kepada email Adun48 Sukau.com untuk menyampaikan keperluan serta rintihan mereka.

Menurut Saddi, pendaftaran dan penggunaan bulanan jalur lebar itu sekitar RM68 akan ditampung menerusi tabung kewangan JKKK di kawasan itu.

Berucap di hadapan hampir 5,000 orang yang hadir pada majlis itu, Saddi menegaskan, kemudahan tersebut membolehkan semua penduduk termasuk golongan belia membuat teguran dan kritikan membina berhubung sistem perkhidmatan beliau selaku wakil rakyat kawasan itu.

“ Malah saya cabar pada belia di kawasan ini supaya melakukan kritikan terbuka terhadap apa juga kekurangan dan kesilapan saya memberikan khidmat. Saya sedia mendengar dan memperbaikinya. Inilah cara kita, Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan khidmat, “ katanya.

Beliau menegaskan, penyediaan laman blog secara mudah dan ringkas penyampaian itu bukan suatu yang retorik atau kepuraan-puraan untuk memenangi hati rakyat.

“ Tetapi apa juga kesilapan dan kesalahan saya rakyat memang nampak, Allah Swt juga nampak. Saya mahu menyalurkan khidmat secara ikhlas semata-mata untuk rakyat. Bukan pula mahu menjatuhkan atau memburuk-burukan orang lain,” katanya.

Ada pihak, kata Saddi mendakwa, kononnya penyediaan laman blog oleh pihaknya hanya untuk tujuan mencari glamour untuk mendapatkan populariti dari rakyat.

“ Ini semua dakyah mahu menghasut rakyat. Apa yang saya lakukan ini untuk kebaikan sesuai dengan perkembangan cyber negara. Ramai pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri turut menyediakannya untuk tujuan yang sama. Kenapa pula saya dituduh sedemikian,” katanya yang mahu rakyat agar tidak terikut-ikut dengan dakwaan dan hasutan seperti itu.

Tambah Saddi lagi, fokus penyediaan perkhidmatan menerusi laman blog itu berasaskan kepada misi dan visi perkhidmatan Konsep Satu Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Kata Saddi, konsep itu sememangnya selari dengan harapan dan aspirasi menjayakan Halatuju Pembangunan Ekonomi Negeri yang diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman enam tahun lalu yang berpaksikan tiga sumber utama iaitu perladangan, pembuatan dan pelancongan yang sebahagiannya berkembang pesat di kawasan Dun Sukau.

Pelancaran blog yang turut menyaksikan pelbagai aktiviti sukan dan rekriasi bermula awal pagi kelmarin dilihat bermakna kepada penduduk yang hadir apabila perbualan vedio menggunakan sistem skype antara Saddi, Datuk Jainab dengan Ketua Menteri diwakili oleh Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Encik Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan di Kota Kinabalu berlangsung lebih 10 minit.

Tetamu jemputan iaitu Datuk Zakaria Haji Mohd Edris turut bersama-sama berpeluang menyertai pebualan itu.Pegawai Daerah, Abdul latif Kandok bersama-sama kakitangan Majlis Daerah Kinabatangan (MDK) diikuti seluruh pemimpin masyarakat di bawah pentadbiran UPKR Sukau dan Majlis Hal Ehwal Negeri dalam kawasan ini turut berpeluang menyaksikan perbualan vedio itu.Ketua Menteri, kata Nizam, menyatakan setinggi-tinggi tahniah kepada Saddi kerana berjaya menyediakan halaman blog sedemikian sebagai salah satu saluran penyediaan perkhidmatan dan maklumat yang lebih pantas kepada rakyat.

“ Saya diarah Ketua Menteri agar menyampaikan amanah kepada rakyat supaya terus memberikan sokongan padu kepada usaha-usaha pembangunan yang dilakukan Yb. Saddi demi untuk memperkasakan rangkaian khidmat kerajaan BN di negeri ini.“

"Juga menasihatkan rakyat khususnya golongan belia supaya tidak terikut-ikut dengan sikap pemimpin pembangkang yang sentiasa mencari jalan serta kesalahan pemimpin untuk tujuan menjatuhkan kerajaan,” kata Nizam yang turut memberi pujian kepada usaha pengwujudan laman Blog Adun 48 Sukau itu.

Terdahulu dari itu, Jainab ketika merasmikan majlis itu berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai program dan dana untuk mengembangkan bidang ICT di kalangan rakyat khususnya di luar bandar di negeri ini.

“ Antaranya kita memberikan kursus IT kepada para pemimpin BN di Sabah termasuklah wakil rakyat agar dapat mendalami bidang ICT. Kita juga menyediakan bersedia memperuntukkan sejumlah peruntukan kepada kawasan-kawasan tertentu untuk mengujudkan bangunan pusat ICT di kawasan masing-masing,” katanya.

Turut berbangga dengan kewujudan empat pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di kawasan Dun Sukau, Jainab berkata, pihaknya juga boleh mendapatkan pelbagai sumbangan daripada kerajaan persekutuan dalam membangunkan bidang ICT di Sabah.

“ Saya begitu menghargai peranan yang dimainkan oleh Saddi dan sudah tentu langkah ini akan dicontohi oleh ramai lagi wakil rakyat di Sabah dalam menyokong usaha pengembangan bidang ICT di Sabah,” katanya yang menambah keperluan itu amat memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi global.

Pelancaran laman blog itu turut diserikan persembahan tiga artis tanahair termasuk Abu Bakar Ellah atau Ampal, Farah Ashikin dan Boy, anak kepada Saddi, yang diselang selikan dengan cabutan tiket bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah kepada penonton.

Selesai.

Penduduk Di DUN Sukau Diminta Manfaatkan Laman Blog Untuk Suarakan Masalah


Jainab merasmikan laman blog adun48sukau sambil diperhatikan oleh Saddi, Zakaria dan Latif.



KINABATANGAN : Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hajjah Jainab Haji Ahmad Ayid berkata kewujudan laman blog merupakan inisiatif positif di kalangan wakil rakyat untuk merapatkan jurang antara rakyat dan pemimpin justeru akan meningkatkan masyarakat celik komputer.


"Dengan wujudnya laman blog seperti ini maka ia akan dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat serta akan meningkatkan jumlah masyarakat luar bandar yang celik komputer" katanya ketika merasmikan Pelancaran Blog Adun N48 Sukau di dataran Kampung Paris, semalam.


Beliau menambah rakyat di kawasan luar bandar ini khususnya rakyat di Dewan Undangan Negeri DUN Sukau akan dapat melayari blog wakil rakyat ini dan akan lebih mengetahui tentang aktiviti serta maklumat tentang kerajaan.


Jainab turut memuji langkah yang dibuat oleh ADUN Sukau ini yang mempunyai pendekatan yang baik untuk berdamping dengan rakyat melalui pembukaan blog ini.


`Kerajaan negeri melalui kementeriannya memberi kursus-kursus teknologi maklumat kepada penduduk di luar bandar yang berminat', katanya sambil menjelaskan dimana usaha ini mampu memberi ilmu pengetahuan yang berguna kepada rakyat di luar bandar.


Sementara itu, melalui laman blog ini wakil rakyatnya, Saddi Hj. Abdul Rahman mahu penduduk menanfaatkannya untuk berkomunikasi dan menyatakan permasalahan yang dihadapi mereka terus kepadanya dengan hanya mengakses laman blog yang telah dilancarkan itu.


"Saya mahu semua penduduk menghubungi saya dengan menyampaikan kepada saya permasalahan yang dihadapi walaupun anda jauh berada di dalam kampung dan saya semua penduduk memanfaatkannya", katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau ini berkata ia merupakan satu komunikasi berkesan yang turut menjimatkan masa di mana wakil rakyat tidak perlu turun padang untuk menjenguk sendiri permasalahan yang dihadapi tetapi hanya dengan membuka laman blog ini beliau sudah boleh mengetahui masalah dan boleh mengatasi permasalahan tersebut dengan lebih cepat.


Justeru itu, setiap pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di setiap kampung yang meliputi lapan mukim akan diberikan modem jalur lebar (Sub: broadband) dan dibekalkan kemudahan komputer riba untuk mereka mengakses internet dan melayari laman blog tersebut.


"Untuk memastikan keberkesanan laman blog ini, kelas komputer dan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) akan diadakan agar semua wakil kampung ini dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan khususnya dalam bidang teknologi agar kita tidak ketinggalan walaupun tinggal di pedalaman", kata Saddi.


Saddi turut menyatakan harapannya agar golongan muda juga turut mengambil kesempatan ini untuk mendekati pemimpin kerana beliau tahu golongan muda kini sinonim dengan kemajuan ICT.
Turut hadir, ADUN Gum-Gum Datuk Zakaria Edris, Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Latif Kandok dan para pemimpin setempat di kawasan berkenaan.

Saddi diapit oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif kandok dan Timbalan Presiden MPS, Haji ABM Fazeer, diikuti Penolong Pegawai Daerah , Arisin, Haji Wahab Alpa, Amran Osman, Puan Norizah, Haji Sharif mewakili Jabatan Tanah dan Ukur, PKR Dun Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman dan CDOnya Amiruddin Mohd Damit.

PERANCANGAN PEMBANGUNAN PEKAN BARU SUKAU PERINGKAT AKHIR : YB SADDI

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, pelan pembangunan Pekan Baru Sukau sudah diperingkat akhir penyiapan Jabatan Perancang Bandar negeri dan akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat.

Saddi berkata, keputusan berhubung perkara itu sudah ditetapkan pada Mesyuarat peringkat akhir Jawatankuasa Pemandu pengwujudan pekan itu di pejabat beliau Jumaat lepas.

“ Pada perinsipnya pelan pembangunan pekan baru itu sudahpun siap. Cuma ada beberapa sedikit perubahan dari segi kesesuaian tapak bangunan tertentu. Namun ianya tidak mengambil banyak masa dikendalikan Jabatan Perancang Bandar daerah sebelum ianya dikemuakakan kepada pihak kerajaan,” katanya di sini.

Saddi berkata, beliau berpuas hati dengan sepanjang perjalanan mesyuarat jawatankuasa itu yang turut dihadiri oleh semua wakil jabatan kerajaan berkaitan termasuk Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Abdul Latif Kandok.

Kata Saddi, sekiranya siap pekan itu akan menyediakan bangunan wakil-wakil pejabat kerajaan yang akan memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan Dun Sukau, diikuti pelbagai kemudahan infrastruktur di sekitar kawasan asas penyediaan pekan seluas lebih 130 ekar itu.

“ Impian saya jika bangunan Pejabat Daerah Kinabatangan ditempatkan di sini yang sekaligus dapat berfungsi sebagai Pejabat Daerah Sukau di bawah pelan pengstrukturan semula pejabat-pejabat kerajaan di kawasan ini,” katanya.

Keseluruhan fungsi pekan itu akan juga menjadi pusat pentadbiran dan perhubungan masyarakat Dun Sukau yang bakal dilengkapi dengan kewujudan kemudahan seperti jambatan kedua Kinabatangan yang boleh menghubungkan kawasan berkenaan dengan daerah-daerah berhampiran.

“ Apapun kita berdoa ianya akan menjadi realiti yang sekaligus mendapat restu kerajaan dan rakyat di kawasan ini ke arah kejayaan konsep Satu Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mesyuarat Pengstrukturan semula kawasan pentadbiran dan sempadan Dun Sukau pusingan pertama melibatkan Pejabat Daerah Kinabatangan dan Pejabat Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sudahpun diadakan Khamis lepas di sini.

Katanya, hasil mesyuarat itu akan dikemukakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

“ Memang kita adakan banyak mesyuarat lagi. Ini turut melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan. Namun permulaan berkaitan dengan isu pengstrukturan ini sudah dimulakan secara baik,” katanya.

Katanya, turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Abdul Latif Kandok dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Haji ABM Fazeer dan kakitangan UPKR Dun Sukau.

Pada mesyuarat lebih dua jam itu, pelbagai perkara turut dibangkitkan kedua-dua pihak termasuk soal pembelaan kepada golongan masyarakat miskin dan kegiatan pembangunan, khususnya di kawasan persisiran pantai Dun Sukau melibatkan empat Mukim yang sebelum ini dikendalikan pihak MPS, diikuti isu-isu pentadbiran kawasan melibatkan sempadan Kinabatangan- Daerah Tongod.

Saddi turut membangkitkan soal pertikaian dalam perlantikan jawatan Ketua KampungIsu pengstrukturan semula pentadbiran kerajaan melibatkan kawasan Dun Sukau dibentangkan secara terperinci oleh Saddi pada Sidang Dewan Undangan Negeri semasa Pembentangan Bajet Negeri 2009 Oktober tahun lepas.

Isu itu yang gagal ditangani sekian lama telah mendapat riaksi positif daripada pemimpin dan rakyat di kawasan terlibat yang mengharapkan penyelesaiannya disegerakan.

Selesai.


PENDUDUK DUN SUKAU BERTEMU TIGA ARTIS SEMPENA PELANCARAN BLOG DUN SUKAU

SUKAU: Tiga penghibur yang dua darinya anak kelahiran ‘Orang Sungai’, Abu Bakar Ella (Ampal) dan Boy, anak kepada wakil rakyat Dun Sukau bakal menemui peminat mereka di Kampung Paris, salah satu mukim kawasan dewan undangan negeri (DUN) di sini, 9 Jun depan.

Seorang lagi penyanyi kelahiran Malaysian Idol, Farah Ashikin turut bersama-sama ‘berentap’ bagi menjayakan pertunjukan pentas itu, sempena Pelancaran Laman Blog Adun 48 Sukau di pentas terbuka Kampung Paris bermula pukul 7.30 malam.

Farah, 30, artis kelahiran Narathiwath, Thailand itu, cukup dikenali dengan lagunya Hello, Dari Sini Ke Bintang-Bintang dan banyak lagi bakal didendangkan pada pertunjukan pentas itu.Penyanyi ‘Sayangi Gila’, Boy dan penyanyi dan penulis lirik Lagu, ‘Khabar Dari Gunung’, yang mudah dikenali sebagai Ampal akan mengiringi rapat persembahan Farah.

Pertunjukan pentas seumpama ini julung-julung kalinya diadakan di dalam kawasan Dun Sukau, Kinabatangan.Hos utama bagi pertunjukan pentas dan pelaqncaran itu ialah Pembantu Menteri Pembaqngunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, manakala Saddi sendiri yang akan turut menjadi host penting pada majlis ini.

Program ini tentunya sebahagian daripada kaedah wakil rakyat Dun Sukau ini menjalankan tanggungjawab semasa beliau di kawasan ini, selain menyediakan penyaluran maklumat secara ‘on line’ kepada pelayarnya.

Empat pusat Jalur Lebar Komuniti di Kinabatangan (PJK) yang diwujudkan Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan diwujudkan sebelum ini amat menyokong kegiatan ICT itu.

Mengikut cadangan, Saddi juga dijangka akan mengadakan perbualan vedio dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman berhubung program itu seterusnya memberi peluang kepada pemimpin negeri itu menyampaikan kata-kata nasihat kepada rakyat dan para penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Para pegawai kanan kerajaan dan pemimpin masyarakat seluruh Dun Sukau akan turut diundang bagi memariahkan pertunjukan pentas pelancaran laman blog itu.

Satu jawatankuasa penganjur dipengerusikan Pengerusi Biro Sukan dan Kebudayaan UPKR Sukau, Samry Sher Mohamed sudah memulakan tanggungjawab bagi menjayakan program pelancaran laman blog berkenaan yang dijangka dihadiri ribuan penduduk seluruh Dun Sukau.

“ Kita tidak meletakkan jumlah sasaran. Namun jika seluruh rakyat ingin datang menyaksikan pelancaran Laman blog ini dan pertunjukan pentas itu, kita sentiasa mengalu-alukannya,” katanya.

Program berorentasikan khidmat wakil rakyat dan pertunjukan pentas ini sebahagian daripada aktiviti kelolaan Adun Sukau ini dalam misinya memberi kefahaman serta perkhidmatan kepada rakyat berhubung beberapa kempen pembangunan dan pembelaan rakyat yang dicetuskannya sejak mula menjadi wakil rakyat kurang 12 bulan lalu.

“ Maka penganjuran ini bukan sekadar melancarkan halaman blog berkenaan, tetapi lebih kepada rasa terima kasih dan penghargaan YB kita kepada rakyat di kawasan ini yang terus memberikan sokongan padu kepada gerak khidmat beliau selama ini, kata Samry.

Boy atau Sabhi Saddi, 20an, mendapat kepercayaan KRU Production sebelum ini menyanyikan lagu ‘Sayang Gila’, sebuah lagu latar bagi Filem Cicak Man 2 yang bakal menemui penonton. Ketika ini lagu berkenaan terus berkumandang dari radio dan talian media elektronik tanahair.

Ini kali pertama Boy berpeluang mempamirkan bakatnya kepada penduduk Sukau dan sudah pasti mereka menginginkan satu kejutan… Atas kehadiran Ampal dan Farah, peminat mereka akan bertambah gamat,” kata Samry.

Menurut Samry, beberapa tarian kebudayaan orang Sungai yang cukup dikenali di kawasan ini akan turut dipersembahkan pada pertunjukan pentas tersebut.

“ Pada sebelah petang satu perlawanan bolasepak persahabatan menemukan kakitangan media mewakili elektronik dan akhbar berpangkalan di Sandakan bertemu pilihan wakil rakyat di padang Kampung Paris.

“ Acara yang tidak kurang menariknya ialah pertandingan tarian Shuffle secara berkumpulan, diikuti dengan pertandingan membuat laman blok yang turut menawarkan hadiah wang tunai dan piala kemenangan,” kata Samry lagi.

Kata Samry, Farid 16, seorang lagi anak wakil rakyat itu yang pernah menjuarai kejuaraan tarian Shuffle Kebangsaan anjuran KFC Malaysia yang memenangi hadiah tiket ke Melbourne, Australia Disember lepas, mungkin dijemput bagi mengadili pertandingan itu seterusnya membuat persembahan.

Katanya, borang penyertaan bagi acara itu boleh diperolehi daripada pejabat UPKR Sukau, di Batu 7 Jalan Labuk Sandakan.. Telefon 089-211148. Hubungi Puan Masloh Sital selaku Setiausaha penganjuran.

Selesai.

Saddi menerima cenderhati daripada Awang Barin selepas merasmikan Pertandingan Juara Kugiran, Tarian Shuffle, tarik tali dan pertandingan karaoke di padang Bandaran Sandakan


PEGAWAI BELIA DAN SUKAN SABAH PERLU KOMITMEN AKTIVITI BELIA

SANDAKAN : Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mahu pegawai-pegawai Belia dan Sukan di Sabah supaya menunjukkan komitmen mereka dalam menjayakan aktiviti belia di daerah ini ke arah kelangsungan golongan itu sebagai aset penting negara di masa depan.

Beliau berkata, keengganan pegawai-pegawai terlibat menghadiri atau berkerjasama menjayakan setiap program anjuran belia bukan saja mencerminkan pengabaian terhadap tanggungjawab yang disandarkan terhadap mereka.

“ Tetapi menunjukkan sikap meminggir golongan itu yang memerlukan pembelaan dan perhatian. Apa lagi dalam soal menentukan halatuju mereka untuk terus memberikan sokongan kepada para pemimpin kerajaan yang memerintah,” katanya.

Berucap merasmikan Pertandingan Kugiran, Tarian Shufle, Tarik Tali dan Karaoke anjuran Persatuan Belia Taman Indah di Padang Bandaran Sandakan di sini pada Ahad, Saddi melahirkan rasa kecewanya kerana tidak keenganan pegawai Belia dan Sukan Negeri di sini hadir walaupun program itu dianjurkan secara bersama dengan badan terlibat.
“ Saya amat kecewa kerana sepatutnya masalah seperti ini tidak berlaku di pusat penganjuran program ini yang diadakan di kawasan bandar. Apa alasan pegawai ini enggan hadir sedangkan komitmen mereka amat diperlukan bagi menjayakan program seperti ini,” kata Saddi kepada hampir 1,000 orang mewakili golongan belia dan ibu bapa yang hadir menjayakan program itu.

Wakil Rakyat itu berkata, samada penyertaan atau apa juga bentuk kerjasama perlu dimainkan oleh jabatan itu ke arah pemantapan aktiviti belia di daerah ini agar ianya tidak berlaku sebagaimana di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, di mana kalangan golongan itu jelas menunjukkan sikap sudah membeci dan menentang kerajaan .

Jangan sampai sikap sedemikian rupa, tegas Saddi, merebak ke negeri ini dan kerajaan tidak mendapat sokongan penuh kaum belia pada musim pilihanraya, hanya kerana sikap sebilangan pemimpin kerajaan enggan menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sedangkan tambah wakil Rakyat itu, program seperti itu bukan saja dilihat praktikal dengan kehadiran pegawai terlibat, tetapi menunjukkan semangat keprihatinan mereka terhadap golongan belia yang sentiasa memerlukan panduan.

Saddi berkata, kerajaan melalui agensi itu sepatutnya boleh menggunakan ruang penganjuran seperti itu bagi menyebarkan dasar-dasar kerajaan seterusnya, menyedarkan golongan belia tentang perlunya perpaduan sesama mereka. Ini diikuti usahapadu dalam memerangi gejala najis dadah dan masalah moral di kalangan golongan tersebut.

Dengan memuji usaha yang ditunjukkan oleh Persatuan Belia Taman Indah menerusi inisiatif ditunjukkan penasihatnya, Awang Barin, Saddi mahu kegiatan seperti itu diadakan bagi meningkatkan kerjasama golongan tersebut.

Selesai.


IBU PERLU MEMAINKAN PERANAN DALAM MELAHIRKAN ANAK CEMERLANG

SUKAU: Ibu yang baik dan berkualiti akan melahirkan generasi bangsa yang berkualiti, berguna untuk menyahut cabaran bagi memajukan anak bangsa cemerlang, gemilang dan terbilang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman.
Wakil Rakyat itu menegaskan, dalam konteks memajukan masyarakat di luar bandar dan pedalaman, peranan ibu bukan saja diperlukan bagi mendidik anak-anak bagi menunaikan misi kemajuan keluarga, masyarakat dan negara.
“ Tetapi juga mempunyai hak dan tanggungjawab menggerakkan peranan mereka secara secara strategik dan berkelompok untuk menjayakan faedah-faedah berkaitan perpaduan, pembangunan ekonomi dan modal insan, soal tuntuan kemajuan ilmu dan akhlak, serta dasar-dasar kerajaan berkaitan kepada masyarakat, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Ibu anjuran Persatuan Ibu-Ibu Kawasan Kampung Sukau yang diadakan di Balairaya Kampung Sukau, di sini Ahad lepas.
Saddi berkata, kejayaan disebalik kewujudan Jawatankuasa Sambutan Hari Ibu Kampung Sukau yang telah berjaya menganjurkan program Hari Ibu sejak tiga tahun lalu, boleh diterjemahkan menjadi sebuah badan yang bertauliah yang boleh pengiktirafan pihak kerajaan.
Katanya, badan itu kelak bukan saja boleh mendapat perhatian pihak kerajaan seperti peranan dimainkan di bawah Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, tetapi pelbagai sokongan bagi menjayakan aktiviti masyarakat setempat.
“ Apa yang amat penting kepada saya, para ibu-ibu di kawasan ini sentiasa sedia menyahut cabaran bagi matlamat memajukan kawasan Dun Sukau.
“ Saya mahu dengan wujudnya pelbagai kemajuan di kawasan ini khususnya sebuah Pekan Baru Sukau menjadi realiti, para ibu juga dapat memainkan peranan ke arah kemajuan bersama-bersama golongan muda dan belia,” katanya dengan menambah pengetahuan serta pengalaman hidup golongan membesarkan anak-anak mereka merupakan aset penting ke arah kemajuan negara.
Golongan ibu bapa, kata Saddi, bukan saja berperanan bagi menghalang penglibatan anak-anak mereka dalam gejala yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, tetapi juga memperkasakan soal akidah dan pemantapan moral yang amat penting dalam menseimbangkan pembangunan negara.
Katanya, kaum ibu boleh memulakan pelbagai pendekatan mereka memajukan diri termasuklah mempelajari bidang berkaitan ICT dan apa juga aktiviti boleh memajukan ekonomi mereka di peringkat kecil-kecilan.
Kejayaan yang lebih besar, kata Saddi, tentu boleh dicapai oleh kaum ibu yang ada pada hari ini. Ia berikutan ramai dari kalangan ibu termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar sudah dari kalangan yang berpendidikan dan ramai juga dari mereka dari kalangan siswazah.
Untuk itu, beliau mahu golongan tersebut turut mengambil peluang menerapkan minat masing-masing dalam bidang ICT, khususnya melalui Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) yang diwujudkan di dalam Sukau bagi tujuan meneroka lebih banyak pengetahuan selain mendapatkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti kerajaan..
Pada majlis itu, Saddi menyatakan rasa gembiranya kerana jawatankuasa penganjur Hari Ibu kawasan itu bukan saja mendapat kerjasama masyarakat setempat, tetapi diberikan sumbangan oleh syarikat-syarikat pelancongan di kawasan ini bagi menjayakan Hari Ibu.
Kata Saddi, penghargaan tinggi diberikannya kepada Dr. Isabelle Lackmen Ancrenaz, Pengarah Urusan Kinabatangan Orang Utan Concervation Project kerana beliau sentiasa berdamping rapat dengan seluruh masyarakat di kawasan ini, seterusnya sudi menyumbangkan derma kepada kaum ibu di kawasan ini bagi menjayakan aktiviti berkenaan.
“ Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr. Isabelle kerana beliau sudah kerap memberikan sumbangan kepada program-program kemasyarakat di kawasan ini. Ini menunjukkan hubungan baik di kalangan penduduk dan pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan (ngos) di kawasan ini,” katanya.
selesai

NAIKKAN PERUNTUKAN PEMBANGUNAN DI DUN SUKAU : SADDI
SUKAU: Wakil Rakyat Dun Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman merayu kerajaan negeri supaya meningkatkan jumlah peruntukan pembangunan lima tahun kerajaan ke dalam kawasan ini demi kebaikan dan faedah rakyat.
Beliau menegaskan, peruntukan itu bukan saja bagi menaik taraf kemudahan asas rakyat tetapi meningkatkan nilai ekonomi keseluruhan penduduk Sukau yang amat memerlukan pembelaan.
“ Mana mungkin kawasan ini yang suatu ketika dulu sebagai pengeluar kayu balak terbesar dan kini menjadi pengeluar minyak kelapa sawit dalam negara hanya memperolehi peruntukan RM10.4 juta sepanjang tahun 2008 dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
“ Sepatututnya berasaskan kepada asas dan kemampuan kawasan ini sebagai sumber ekonomi negeri, Sukau menerima peruntukan pembangunan yang lebih besar,” kata Saddi ketika berucap merasmikan Program Jalinan Gabungan Empat Kawasan Jawatankuasa Rukun Tetangga dalam kawasan Dun Sukau di Dewan Serbaguna Kampung Sentosa Jaya di sini, kelmarin.
Saddi berkiata demikian sebagai memetik laporan soal jawab yang dikemukakannya pada Sidang dewan udangan negeri ke 13 baru-baru ini.Kata Saddi, berasaskan laporan sidang dewan itu jumlah peruntukan berkenaan adalah kecil jika dibandingkan dengan keperluan rakyat di kawasan ini yang amat memerlukan pembelaan dan perubahan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
“ Saya sudah tegaskan di dalam dewan agar peruntukan kali ini ditambah. Namun rakyat harus membuktikan sokongan yang benar-banar padu kepada kerajaan BN supaya harapan kita ini dapat direalisasikan,” katanya.
Kira-kira 500 orang penduduk yang menganggotai badan empat gabungan itu hadir. Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Abdul Latif kandok, ialah Pegawai Jabatan Perpaduan Negara Sandakan, Jamri Giau, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman dan Pegawai-Pegawai Rela mewakili kawasan Sandakan dan Kinabatangan.
Saddi berkata, sesuai dengan konsep Satu Malaysia, Rayat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagaimana diilhamkan Perdana Menteri dalam misi kepimpinannya, kerjasama yang wujud dalam Jawatankuasa Rukun Tetangga itu harus diterjemahkan untuk mempastikan BN bukan saja sebuah kerajaan pilihan rakyat, tetapi mencapai kemajuan yang pantas dan berkualiti.
“ Kalau kita bersatu padu kita bukan saja mampu menyokong semua dasar kerajaan secara mantap tetapi menikmati kemajuan yang kita harapkan,” katanya.
Beliau memberi jaminan masalah asas seperti bekalan air bukan saja sedang dalam peringkat penyelesaian berikutan pembinaan Loji Air Di Kampung Mengaris lebih RM13 juta dalam pembinaan.
“ Tetapi masalah penting seperti soal pemilikan tanah oleh penduduk di kawasan ini bakal diselesaikan sebagaimana yang sudah dimaklumkan pihak kerajaan negeri pada sidang dewan undangan negeri baru-baru ini,” katanya.
Saddi berkata, pencapaiannya membangunkan rakyat di sini hanya dalam tempoh baru lebih setahun tidak harus dinilai begitu singkat oleh rakyat.“ Rakyat boleh nilai apa yang sudah saya lakukan selama lima tahun. Yang pasti saya tidak duduk diam. Saya terus merayu kepada kerajaan negeri khususnya di sidang dewan undangan negeri agar rakyat di kawasan ini terus diberikan pembelaan dan segala kebaikan untuk kemajuan mereka, apalagi soal tanah, keperluan pembangunan dan sebagainya,” katanya.
Menurut Saddi, beliau kini amat memperjuangkan soal kewujudan pekan baru di kawasan Dun Sukau yang bukan saja bakal menempatkan pusat pentadbiran baru kerajaan yang dicadangkan distrukturkan semula yang turut memiliki sistem perhubungan yang lebih baik.
“ Azam saya untuk mengujudkan sebuah jambatan kedua merentasi Sungai Kinabatangan bagi menghubungkan rakyat di kawasan ini dengan daerah berhampiran turut saya perjuangkan,” katanya.
Pada majlis itu Saddi turut menyarankan agar para pemimpin JKKK di kawasan ini mengujudkan program-program bersifat gabungan seumpama anjuran itu untuk faedah sosioekonomi rakyat.
Selesai.

YB SADDI MELUANGKAN MASA KE MAJLIS PERKAHWINAN RAKYAT







SUKAU: Walaupun pada ketika sibuk menyelesaikan masalah rakyat di kawasan Dun Sukau, YB. Saddi Haji Abdul Rahman terus memberi perhatian terhadap aktviti-aktiviti masyarakat diwakilinya.


Ketika dalam lawatan ke Kampung Paris, rombongan wakil rakyat ini melihat ada kegiatan beramai-ramai penduduk meraihkan Majlis Perkahwinan antara Saudara Azli Bin Malak, 37 dan Arbayah Bte Tangoh.


Kedua-duanya adalah penduduk Kinabatangan.Walaupun sudah melepasi kediaman tersebut kerana kenderaan dipandui laju, YB. Saddi mengarahkan rombongannya agar singgah menghadiri majlis itu walaupun tidak mendapat jemputan.


Kehadiran YB. Saddi bersama PKR Sukau, Saudara Sharin Abdul Rahman, CDO Amirudin Awang Damit, Penyelia Masyarakat, Saudara Nasran Salim dan para Pemaju Mukim, Bahri Haji Omarmaya, Abdullah Japar, Melda Imang, Saudara Nasrah, Samry Sher Mohamed, Pemaju Masyarakat Saudara Omar dan tidak lupa, Pegawai Perhubungan Adun Sukau, yang juga Setiausaha Eksekutif Ko-Tanikan, Awang Ahmad disambut mesra oleh tuan rumah, Encik Tangoh dan Saudara Ghani Midi yang merupakan penyambut tetamu majlis itu.Turut serta pada majlis itu, ialah Pak Kamman yang merupakan pengiring kanan bagi keluarga pengantin lelaki serta sahabat handai yang lain.


Rombongan ini bukan saja dijamu mengikut adat masyarakat di kawasan ini, tetapi YB. Saddi diberi penghormatan untuk mendendangkan sebuah lagu kepada penduduk di kawasan itu.


Wakil Rakyat ini tidak dapat menyumbang lagu kerana ‘Lupa Lirik’. Tetapi memberikan ucapan tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada pasangan serta keluarga kedua pihak.


Beliau memberi jaminan dalam tempoh terdekat beliau akan sedaya upaya menghafal satu dua lagu menarik untuk dihadiahkan kepada rakyat pada majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya..Yang menariknya, Saddi diberi penghormatan menyaksikan Majlis Pernikahan kedua-dua mempelai.


selesai
Saddi turut meluangkan masa melihat blognya yang bakal dilancarkanSaddi menyampaikan penghargaan kepada Insp. Faiz Zainuddin sebagai penceramah Program Keluarga Bahagia Tanpa Dadah di Sukau, sambil disaksikan Sharin dan Nasrah.

TANGANI SECARA SERIUS PENAGIHAN DADAH : YB SADDI

SUKAU : Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, gejala penagihan najis dadah perlu ditangani secara serius dan berterusan sesuai dengan ancamannya sebagai musuh nombor satu dalam negara.

Kata Saddi, setiap gerakan dan pendekatan memerangi gejala itu tidak harus bersifat retorik atau “ sengaja melepas batuk ditangga’ kerana fenomena social itu sedang merebak secara serius di kalangan masyarakat.

“ Keadaan ini turut tidak terkecuali di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau kerana najis dadah seperti syabu, ganja dan pil-pil khayal sudah merebak ke kawasan seperti Kampung Sukau, Gumantong Jaya, Batu Putih, Kampung Paris, Bukit Garam dan banyak lagi di kawasan ini,” katanya.

Berucap merasmikan Pelancaran Majlis Keluarga Bahagia Tanpa Dadah Peringkat Daerah Kinabatangan anjuran Pemadam Daerah di Kampung Sukau di sini hari ini, Saddi berkata, bagaimanapun beliau kecewa kerana pihak pimpinan Tertinggi Pemadam Daerah tidak menyertai program penting seumpama itu.Kata Saddi, teguran itu tidak bermaksud bahawa Naib Pengerusi Pemadam Daerah yang mewakili badan itu pada majlis berkenaan tidak penting.
“ Tetapi yang paling penting di sini ialah penyertaan kalau tidak orang nombor satu, tetapi nombor dua selaku Timbalan Pengerusi Pemadam Daerah. Ini kerana soal dadah adalah perkara paling serius dihadapi negara,” katanya.

Tegas Saddi, dalam kontek Konsep Satu Malaysia, Rakyat Dahulukan dan Pencapaian Diutamakan, samada ianya melibatkan kepentingan pegawai-pegawai kerajaan atau kerana soal najis dadah adalah perkara paling serius untuk ditangani secara berkesan, sikap dan pendekatan memerangi gejala itu secara serius perlu diubah dan diperbaiki.

Katanya, konsep kepemimpinan yang menjadi slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak perlu diterjemahkan secara ideal dan pragmatik dalam memerangi masalah dadah di negara ini.

Dalam mengatasi soal dadah di kawasan Dun Sukau, kata Saddi, beliau amat mengharapkan agar gejala itu tidak mencemarkan tempat-tempat pelancongan menarik yang wujud di kawasan ini.

“ Sudahlah rakyat di kawasan ini miskin ekonomi, ditambah lagi gejala najis dadah ini, sudah tentu ianya akan memburukkan lagi keadaan. Maka saya mahu semua pihak terutamanya jawatankuasa Pemadam Daerah memainkan peranan yang bukan saja aktif, tetapi proaktif dalam mengubah imej sosial yang lebih baik di daerah ini,” katanya.
Beliau mahu pada masa akan datang, program seumpama itu disemarakkan dengan aktiviti-aktiviti berkesan bagi mempastikan rakyat di kawasan ini bukan saja dilihat bebas dari dadah tetapi terbukti mencapai kemajuan dalam segala aspek pembangunan rohani dan jasmani.

Tidak guna jika kawasan ini maju dari aspek pembangunan tambah wakil rakyat itu lagi, jika golongan muda yang merupakan pelapis kepada peimpinan negara dan kawasan ini diulit oleh masalah moral termasuk gejala dadah.

Dalam pada Saddi mahu pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan mana-mana agensi yang terlibat memainkan peranan memajukan golongan belia dalam pelbagai bidang memperhebatkan program turun padang ke Dun Sukau demi mencapai kebaikan rakyat.

“ Saya juga nasihatkan ibu bapa dan belia bersatu padu bukan saja dalam konteks sebuah keluarga yang cemerlang, gemilang dan terbilang tanpa dadah, tetapi menjayakan aktiviti-aktiviti sihat. Saya sentiasa sedia berkerjasama untuk kebaikan ini dalam memerangi najis dadah sebagai musuh utama negara,” katanya.

Selesai.


TARIK BALIK KEPUTUSAN BERHENTIKAN KHIDMAT KETUA KAMPUNG SUAN LAMBA : ADUN SUKAU

KINABATANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mahu tindakan memberhentikan khidmat Ketua Kampung Suan Lamba oleh Majlis Hal Ehwal Anak Negeri sebelum ini ditarik balik kerana keputusan itu tidak ada kaitannya dengan isu tanah anak negeri yang sekian lama wujud di kawasan itu.
Arahan itu dikeluarkan Saddi pada Mesyuarat Tindakan Daerah yang diadakan di pejabat Daerah Bukit Garam di sini kelmarin.

Saddi berkata, perlantikan Ketua Kampung berkenaan, Asmadin Bin Eli tidak ada kaitan dengan kedudukan Tanah Anak Negeri Sekang, berikutan kawasan tanah berkenaan bukan merupakan sebuah kampung berdaftar di bawah Suruhanjaya Pilihanraya Dun Sukau.
“ Walaupun dalam pewartaan tanah berkenaan oleh kerajaan negeri sebelum ini, setiap Ketua Kampung adalah salah seorang pemegang amanah kawasan tanah tersebut, tetapi kedudukan tanah itu bukanlah sebagai sebuah kampung yang boleh menafikan perlantikan Saudara Asmadin,” katanya.

Apa lagi, tegas Saddi, Asmadin kini sudah digantikan oleh seorang Ketua Kampung baru yang dilantik mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Sekong.

Saddi hairan bagaimana pemberhentikan serta lantikan baru itu boleh berlaku sedang kawasan Sekang yang terletak di kawasan Suan Lamba itu bukan terletak dalam kawasan Dun Sekong.. Kawasan itu adalah termaktub dalam kawasan Dun Sukau.

“ Untuk itu saya meminta supaya Pengerusi Majlis Hal Ehwal Anak Negeri perlu meneliti dan bertindak terhadap perkara tersebut secara jelas. Beliau tidak sewenang-wenangnya mengambil keputusan memberhentikan Ketua Kampung Suan Lamba yang saya pilih untuk kebaikan kawasan berkenaan..

“ Jika mereka ingin mengbembilkira kepentingan tanah anak negeri berkenaan. Ianya adalah isu berbeza. Ianya tidak ada kaitan dengan soal perlantikan yang saya lakukan, apalagi keputusan mengenainya boleh dipertikaikan oleh wakil rakyat dari kawasan lain.Sedangkan pemimpin yang saya pilih itu adalah untuk menjalankan tanggungjawab dalam kawasan Suan Lamba, Sukau,” katanya.

Pada mesyuarat tersebut, Saddi juga mencadangkan agar sebuah jawatankuasa pemberian anugerah bintang-bintang terhadap kampung-kampung yang maju di Sukau diwujudkan di bawah pejabat daerah berkenaan.

Katanya, di bawah peranan itu, mana-mana kampung yang memiliki kemajuan dari segi pembangunan dan sosioekonomi akan menerima sehingga lima bintang di bawah seliaan jawatankuasa itu.Mana-mana kampung yang masih tidak mencapai tahap itu akan diperbaiki prestasinya, termasuk akan menerima beberapa program pembangunan yang dilaksanakan oleh wakil rakyat dalam tempoh beliau berkhidmat.
Selesai.
Saddi cuba membuka paip air Loji Air Felcra di Sukau tetapi masih tidak berfungsi.

MASALAH BEKALAN AIR : ADUN MINTA KERAJAAN SELESAIKAN

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman mendesak pihak kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air yang masih ditahap kritikal dihadapi rakyat di kawasan ini.

Katanya, walaupun pihak Felcra sudah mengujudkan sistem penyaluran bekalan air di sini dengan kos melebihi RM1.2 juta berhampiran kampung Sukau, tetapi bekalan tersebut masih gagal berfungsi dan tidak memberikan faedah kepada masyarakat setempat.

“ Saya masih keliru kenapa kemudahan seperti ini diwujudkan Felcra sejak lebih setahun lalu padahal ianya tidak berfungsi ketika rakyat amat dahagakan bekalan air. Adalah lebih baik agar kemudahan ini bukan saja diperbaiki tetapi dinaikkan taraf untuk menampung keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau loji bekalan itu di sini, Saddi berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur boleh mencari jalan mengujudkan kerjasama bagi memperbaiki kemudahan penting itu.

Katanya, rancangan kerajaan negeri mahu membina sebuah loji air di kawasan Kampung Sukau dalam Rancangan Malaysia Ke10 (RMK10) bukan saja terlalu lewat tetapi amat menyeksa kehidupan rakyat di kawasan ini yang mengharapkan bekalan air melalui air hujan dan aliran sungai Kinabatangan.

“ Pembinaan loji air itu boleh diteruskan dengan sasaran kos dan penggunaan yang besar. Tetapi ketika ini, wajar jika loji air milik Felcra ini diperbaiki dan dinaiktarafkan untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Saddi yang ditemani kakitangan Unit PKR Sukau dan penduduk kampung turut menguji paip air yang diwujudkan berhampiran loji pengepam bekalan itu tetapi langsung berfungsi.

Katanya, menjelang tempoh tiga tahun akan datang penggunaan bekalan air di kawasan ini akan lebih meningkat berikutan pertumbuhan pembangunan di kawasan itu termasuk Pekan Baru Sukau yang kini diperingkat pertimbangan terakhir untuk pembinaannya.

“ Saya percaya jumlah penduduk dan pelancong juga bertambah dan ini sudah tentu meningkatkan lagi kedudukan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Kata Saddi beliau akan menemui pihak Kementerian Pembangunan Luar bandar yang bertanggungjawab terhadap Felcra dan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri bagi menyelesaikan masalah bekalan air tersebut.

Beliau juga mengharapkan beberapa kampung strategik di kawasan persisiran Pantai Dun Sukau turut menikmati bekalan itu menerusi tindakan-tindakan pragmatic yang boleh dilakukan kerajaan pusat dan negeri.

Selesai.
Saddi meluangkan masa berbual dengan penduduk kawasan PPMS Sukau bagi mendapat pandangan serta rintihan mereka bagi memajukan kawasan itu.

PENDUDUK PELIHARA KEMUDAHAN DISEDIAKAN OLEH KERAJAAN

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mahu pengujudan Pusat Pertumbuhan Masyarakat Setempat (PPMS) yang diwujudkan di kampung ini dipelihara dengan mengaktifkan gerakan ekonomi dan kemasyarakatan di kawasan tersebut.

Beliau mahu agar masyarakat di kawasan itu bukan saja menggunakan kemudahan-kemudahan seperti dewan serbaguna, masjid dan bangunan kedai di situ sentiasa terpelihara dan diisikan dengan kegiatan memberi faedah.

“ Namun apa yang penting kerjasama dan keindahan ini diperhebatkan. Kerana kawasan ini adalah sebahagian daripada barisan depan pertumbuhan desa Sukau untuk diperkenalkan kepada pelancong asing yang sentiasa mengunjungi kawasan kampung ini,” katanya.

Sebagai sebahagian nadi pelancongan negeri, kata Saddi, Kampung Sukau perlu memiliki keaslian dan kecantikan kawasan kampung penduduk, apatah lagi seperti kawasan PPMS itu direka persekitarannya atas peranan dan inisiatif Felcra.

Katanya, penduduk di kawasan itu boleh menghidupkan usaha pengindahan persekitaran lanskap perkampungan agar lebih menarik seperti penanaman bunga-bungaan, taman-taman rekriasi dan banyak lagi yang boleh memberi menafaat kepada mereka.

“ Saya juga setuju jika diwujudkan satu tamu minggu di kawasan ini. Sudah tentu ini boleh memberikan faedah ekonomi bukan saja kepada masyarakat PPMS tetapi juga seluruh penduduk di Kampung Sukau,” katanya.

Dalam pada itu beliau mahu agar kemudahan bangunan untuk kelas tadika yang diwujudkan Felcra di kawasan tersebut dibaiki dan diserahkan kepada pihak kerajaan untuk menjayakan program pendidikan kanak-kanak tersebut.

Beliau juga mahu kemudahan cermin dewan serbaguna yang sudah rosak diperbaiki, manakala dua unit rumah kedai yang masih kosong di kawasan bangunan kedai empat pintu itu diberikan kepada mereka yang benar-benar berminat menjalankan perniagaan.

Kawasan PPMS yang didiami lebih 600 penduduk terletak kurang suku KM daripada kawasan Tapak Pekan Baru Sukau dan kurang 2km sebelum tiba ke Kampung Sukau yang merupakan distinasi pelancongan negeri itu.

“ Saya menyarankan agar jawatankuasa khas penduduk yang sudah diwujudkan di kawasan ini diaktifkan agar berperanan memelihara dan melindungi kawasan ini. Buatlah aktiviti yang berfaedah. Jika memerlukan bantuan saya, ajukan saja untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau mengarahkan agar Majlis Daerah Kinabatangan yangd ipertanggungjawabkan terhadap pengawasan dan pemuliharaan kawasan itu memainkan peranan proaktif menyelesaikan beberapa masalah yang sudah sekian lama berlaku di kawasan itu.

Selesai.
Saddi menyampaikan bantuan KWAMP kepada salah seorang penerima, Puan Norhayati Ajak, sambil disaksikan oleh Jefri dan Azahari dan PKR Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman.

PEGAWAI KERAJAAN JANGAN BERSIKAP BERDOLAK-DALIH TERHADAP KELULUSAN BANGUNAN SEKOLAH

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, jangan ada sikap ‘berdolak dalih’ di peringkat pegawai kerajaan terhadap kelulusan membina bangunan kekal sekolah menengah dan rendah di kawasan Kampung Sukau di sini.

Katanya, sikap tersebut hanya akan mengambarkan kelemahan kerajaan dalam mempastikan kemudahan yang dituntut sekian lama oleh rakyat di sini tidak akan menjadi kenyataan, walaupun tapak seluas 30 ekar bagi tujuan itu sudah disediakan.

“ Kelulusan di peringkat kerajaan sudahpun dibuat terhadap kedua-dua kemudahan ini sekian lama. Mengapa mesti ada tolak menolak di peringkat kakitangan kerajaan terhadap kedudukan tanah yang disediakan oleh rakyat kawasan ini.“

"Sekiranya pegawai terlibat tidak berpuas hati dengan kadar tanah yang ditetapkan oleh pihak Koperasi Sukau, sebagai pemilik tanah berkenaan, rundinglah. Rakyat di sini bukan ambil kira pasal harga tanah, tetapi kemudahan ini perlu disediakan untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sukau di sini pada Ahad, Saddi berkata, rakyat di kawasan Dun Sukau sudah kerap mempersoalkan kepadanya bagaimana kedua-dua bangunan sekolah tersebut yang sudah dipohon berpuluh tahun dan diluluskan kerajaan pusat itu belum dimulakan pembinaannya.

“ Tanah bagi projek itu sudah disediakan dan telahpun diratakan sebahagiannya. Mana lebih utama soal harga tanah yang bersifat negotiable atau soal pentingnya pendidikan untuk kebaikan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Menurut Saddi, berdasarkan maklumat guru-guru dan pihak PIBG kedua-kedua sekolah terlibat, tidak kurang daripada 700 hingga 1,000 pelajar mendaftar masuk ke sekolah berkenaan bagi memasuki tahun satu dan tingkatan satu setiap tahun.

Tetapi memandangkan kedudukan sekolah rendah dan menengah itu memiliki bangunan yang kecil dan bersifat sementara, kedua-duanya dibina daripada kayu, diikuti asrama sekolah menengah SMK hanya mampu menempatkan 100 pelajar, kata Saddi, sebahagian pelajar tersebut ditolak ke sekolah lain jauh daripada kawasan tersebut.

Kata Saddi, soal mengutamakan pendidikan di kalangan rakyat tidak harus wujud soal birokrasi di kalangan kerajaan, apatah lagi Kementerian Pelajaran hari ini dipertanggungjawabkan kepada Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin selaku menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Dengan kerajaan yang ada hari ini mengutamakan konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, maka soal remeh temeh perlu diketepikan demi untuk kebaikan dan masa depan rakyat.

Mempertahankan cadangan pembinaan sekolah di kawasan tanah yang dicadangkan sebelum ini, Pengerusi Koperasi Sukau yang juga Yang Dipertua PIBG SMK Sukau, Azahari Ranggon berkata, soal pembinaan kedua-dua bangunan sekolah itu perlu diutama berbanding soal harga tanah.

“ Soal tanah kita boleh kira dengan kerajaan kementerian. Kalau mereka mahu kita jual satu sen satu ekar pun boleh. Tetapi mereka perlu berani berhadapan dengan rakyat. Kerana tanah ini milik rakyat dan hanya melalui tanah inilah mata pencarian mereka,” katanya.

Pengetua SMK Sukau, Jefri Abdul Hamat dalam ucapannya menegaskan, soal pembinaan sebuah bangunan sekolah menengah kekal dilengkapi pelbagai kemudahan pembalajaran, bangunan asrama bagi menampung lebih ramai pelajar dan kediaman guru amat diperlukan di kawasan itu.

“Saya rasa masyarakat di kawasan Sukau boleh tunggu lima enam bulan lagi asalkan bangunan kekal bagi SMK Sukau menjadi kenyataan,” katanya.

Selesai.
Saddi antara wakil Rakyat bersama-sama Musa selepas berakhirnya Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah

NAIKKAN ELAUN WAKIL RAKYAT : YB SADDI SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KERAJAAN NEGERI

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk menaikkan kadar bayaran elaun wakil-mencapai wakil rakyat sebagaimana yang diumumkan Ketua Menteri di akhir pengulungan Sidang Dewan Undangan Negeri di sini kelmarin.

Saddi berkata, dengan kenaikan kadar elaun tersebut bukan saja memudahkan lagi perkhidmatan wakil-wakil rakyat terutamanya kepada penduduk di kawasan luar bandar tetapi dalam konteks menyimbangkangkannya dengan bayaran elaun wakil-wakil rakyat di luar Sabah yang jauh lebih tinggi.

“ Saya amat berterima kasih dengan pengumuman Ketua Menteri di sidang dewan kelmarin. Walaupun cadangan ini dikemukakan oleh hampir semua ahli-ahli dewan termasuk saya, tetapi pertimbangan terhadapnya merupakan satu gagasan baru Datuk Seri Musa dalam memantapkan tugas dan khidmat wakil rakyat di negeri ini, sesuai denganKonsep Satu Malaysia,” katanya.

Mengulas berhubung perkara itu, Saddi menegaskan, meningkatkan bayaran elaun wakil-wakil rakyat merupakan sesuatu yang perlu, khususnya yang mewakili kawasan luar bandar yang bukan saja dibebani keperluan logistik berkaitan pengangkutan udara, darat dan laut, tetapi kalangan rakyat yang mundur yang memerulkan perkhidmatan dan penampilan yang kerap .

Kata Saddi, ketika ini Sabah adalah yang terendah bayaran elaun wakil rakyat berbanding lain-lain negeri di negara ini termasuk Sarawak yang dibayar pada kadar RM10,000 sebulan.

Difahamkan, kadar elaun wakil-wakil rakyat DUN Sabah setakat ini hanya RM3,000 dan ditambah dengan elaun tambahan (perkhidmatan) melebihi RM2,000 yang dilulsukan kerajaan negeri tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman yang juga Menteri Kewangan memberitahu dewan kelmarin, kenaikan kadar elaun itu sudah dipertimbangkannya tetapi jumlah bayaran tersebut belum ditetapkan.

Mengenai dengan keberhasilan persidangan dewan empat hari itu, Saddi berpuas hati dengan isu-isu penting yang disampaikannya berkaitan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan Dun Sukau mendapat perhatian dewan.

“ Walaupun sebenarnya banyak lagi perkara yang ingin saya sampaikan dalam konteks keperluan dan tuntutan Sukau tidak dapat dinyatakan kerana masa perbahasan cukup terhad antara 15 minit hingga 20 minit kepada ahli-ahli dewan berbuat demikian. Tetapi saya gembira kerana masalah utama iaitu soal masalah dalam sistem penyampaian segelintir kakitangan perkhidmatan awam di kawasan ini diberi perhatian kerajaan.

“ Demikian juga soal tanah dan harapan memperkasakan wakil-wakil rakyat untuk memberi pembelaan dan memperbaiki taraf pembangunan dan ekonomi rakyat diberi perhatian kerajaan,” katanya.

Kata Saddi, perhatian kerajaan memberi lebih ruang kepada beliau untuk menggalas beberapa tanggungjawab termasuk dalam soal menjayakan program-program pembangunan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (TMK9), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), usaha penujudan Pekan Baru Sukau yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan perkhidmatan serta menstrukturkan semula sistem persempadanan dan perkhidmatan pejabat-pejabat kerajaan di kawasan Dun Sukau agar memiliki Pejabat Pentadbiran Daerah sendiri.
Soal memperkasakan kemudahan ekonomi rakyat termasuk cadangan untuk membina jambatan kedua merentasi Sungai Kinabatangan di Kampung Sukau, menyedia dan menaik taraf jalan, bekalan elektrik dan air di kampung-kampung disasarkan, kata Saddi.

“ Namun semua ini memerlukan gabungan dan jaringan perkhidmatan berkesan di peringkat kerajaan dan pemimpin akar umbi agar menepati Konsep Satu Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, sebagaimana slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” katanya.

Selesai.
Saddi (tengah) berbual bersama Datuk Radin Malek, Datuk Zakaria Edris dan Datuk Jainab Ahmad diluar dewan selepas persidangan dewan tamat hari kedua.

DUN SUKAU PEROLEHI RM 10.44 JUTA PROJEK PEMBANGUNAN RAKYAT DALAM BAJET NEGERI 2008

KOTA KINABALU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau memperolehi RM 10.44 juta untuk menampung beberapa projek pembangunan rakyat di kawasan itu di bawah peruntukan Bajet Negeri 2008.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Taufik Haji Abu Bakar Titingan, memberitahu sidang dewan undangan negeri hari ini berkata, RM 1 juta dari peruntukan itu adalah untuk membiaya projek pembangunan Pekan Baru Kinabatangan.

Manakala sebahagian lagi, katanya, untuk tujuan membina bangunan Mahkamah Syariah melibatkan peruntukan setengah juta ringgit, pembinaan Jalan Gua Gumantong RM3.24 juta, dan pembinaan Jalan Luang Manis RM5.7 juta.

Menjawab soalan dewan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman, Datu Nasrun berkata, sebahagian daripada peruntukan sedang dan akan disalurkan.

Menjawab satu lagi soalan tambahan Adun berkenaan berkaitan masalah banjir yang turut berlaku di kawasan ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, kemudahan jalanraya yang kerap terjejas teruk akibat banjir perlu dipindahkan ke kedudukan yang sesuai demi mengelakkan kerosakan kepada kemudahan awam itu berterusan.

Katanya, sekiranya kedudukan kediaman penduduk juga terjejas akibat masalah banjir kawasan kediaman itu perlu diubah ke kawasan penempatan rakyat yang lebih selamat.Bagaimanapun, katanya, tindakan menangani masalah seumpama itu memerlukan pernilaian beberapa pihak kerajaan bagi tujuan pernialaian dan ianya bergantung kepada peruntukan termasuk daripada kerajaan pusat.

“ Sekiranya memerlukan, kita boleh mendapat bantuan peruntukan yang yang besar daripada Jawatankuasa Bencana Alam Negara untuk mengatasinya. Namun saya meminta semua pihak khususnya pegawai-pegawai daerah dan wakil rakyat supaya bekerjasama bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi rakyat,” katanya.

Sebelum itu, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Datu Masrun Datu Mansor memberitahu, sejumlah RM30, 215 ribu diagihkan kepada mereka yang mengalami kemusnahan akibat banjir, diikuti bantuan makanan kepada 109 penduduk mewakili 21 buah keluarga.

Saddi kemudian menyatakan penghargaan dan terima kasih di atas perhatian yang diberikan oleh kerajaan negeri berkaitan masalah pembangunan di kawasan itu.

“ Bagaimanapun kita mengharapkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan kedua Kinabatangan yang boleh menghubungkan kampung-kampung bersebelahan Kampung Sukau serta daerah berhampiran, sebaik-baiknya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke10 (RMK10),” katanya.

Katanya, kewujudan jambatan kedua itu bukan saja meningkatkan lagi kedudukan Sukau sebagai pusat pertumbuhan masyarakat yang memiliki pelbagai kemudahan dan ekonomi rakyat. Tetapi kedudukan kawasan ini sebagai pusat pelancong yang terpenting di negeri ini,” katanya.

Selesai.
YB SADDI BANGKITKAN ISU KEGAGALAN SISTEM PENYAMPAIAN KAKITANGAN AWAM

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman hari ini menarik perhatian sesi perbahasan dewan Undangan Negeri dengan memfokuskan kegagalan sebahagian sistem penyampaian kakitangan awam yang menyebabkan beberapa isu berbangkit di Dun berkenaan gagal ditangani sekian lama.

Saddi berkata, isu berkaitan pemilikan dan pertindihan tanah rakyat beberapa kampung, soal menjayakan pembangunan dan ekonomi yang disasarkan kerajaan di kawasan itu masih berlarutan, ekoran keengganan segelintir pegawai dipertanggungjawab menjalankan tugas berkesan, manakala penduduk terus ketinggalan dalam arus ekonomi dan pembangunan.

” Walaupun semua ini ini khususnya soal tanah kerap kali saya bawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah (LUC), kakitangan diharapkan gagal menyelesaikannya. Bila saya rujuk mereka buat sambil lewa. Yang mengecewakan ada sikap pegawai yang gemar menghantar wakil bermeyuarat tetapi tidak berupaya membuat keputusan, menyebabkan semua persoalan terus tergendala,” katanya.

Membahas ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri sewaktu merasmikan pembukaan sidang dewan khamis lepas, Saddi berkata, keengganan segelintir kakitangan awam negeri mengiktiraf keistimewaan dan institusi wakil-wakil rakyat di negeri ini menjadi sebahagian fenomena di dalam perkhidmatan awam itu sudah dilihat sebagai lumrah.

Padahal, tambahnya, banyak lagi rancangan pembangunan di bawah beliau melibatkan soal penyediaan pekan baru, pembangunan di bawah SDC dan soal pengstrukturan jabatan-jabatan kerajaan yang membolehkan Dun Sukau agar memiliki pejabat daerahnya tersendiri.

Namun ia bergantung kepada keupayaan dan kecekapan kakitangan awam.Menurut Saddi, beberapa lagi kes berkaitan keperluan beliau termasuk kegagalan mendapatkan kemudahan helikopter bagi meninjau bencana banjir di dalam kawasan Sukau untuk meninjau keselamatan dan kebajikan rakyat, diikuti urusan berkaitan pembangunan dan ekoomi rakyat kebanyakannya ditolak atas sebab-sebab tertentu.

Sebagai wakil rakyat yang mempastikan kemajuan kawasan Sukau, beliau kerap tidak diundang menghadiri Mesyuarat Majlis Daerah yang diadakan hanya membabitkan kalangan ahli-ahli majlis dan wakil kakitangan awam,Wakil rakyat itu tidak menolak kemungkinan ada sikap segelintir kakitangan kerajaan dei situ yang hanya memilih pemimpin tertentu dan berjawatan penting di peringkat kerajaan bagi membolehkan mereka sedia menghulurkan khidmat diperlukan.

“ Di manakah kedudukan Institusi kami sebagai wakil rakyat sesudah dipilih oleh rakyat. Kami bukan mahu dihormati. Kami sudah mengabdikan diri kepada rakyat. Maka rakyat terus menilai prestasi berkerja kami setiap lima tahun. Kalau kami gagal, kerajaan BN akan menjadi mangsa kepada kegagalan ini,” katanya.

Tegas Saddi, di bawah kepimpinan baru Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, konsep satu Malaysia dengan mendahulukan rakyat serta mengucatamakan kepada kepada pencapaian negara, konsep itu perlu dilihat secara mendalam oleh kakitangan kerajaan di negeri ini.

“ Di bawah gagasan beliau, rakyat adalah perkara utama kepada kejayaan kerajaan. Semua tanggungjawab di peringkat menteri dan wakil-wakil rakyat direvolusikan. Tetapi ianya tidak akan bermakna jika kakitangan awam tidak diperkasakan, “ tegasnya.

Saddi bersetuju jika mekanisma untuk memperbaiki kelemahan sistem penyampaian kakitangan kerajaan di negeri ini menerusi Konsep dengan pengujudan Pusat Serenti Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan sendiri Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dikembangkan ke daerah-daerah, sekaligus mengantikan atau memansuhkan terus sistem mesyuarat LUC.

Sambil memetik maksud Surat Al-Imran Ayat ke 26, Saddi berkata kerajaan BN yang dipilih oleh rakyat dan sudah terbukti mampu menunaikan tanggungjawab kepada kemajuan dan kebajikan negara hanya akan kekal jika kakitangan awam mampu menggalas tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

Terdahulu, Saddi mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, anggota-anggota kabinet negeri dan pemimpin GLC kerana berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri yang mencapai RM3.34 bilion sepanjang tahun lalu.Saddi turut yakin beberapa peruntukan yang turut disalurkan kerajaan pusat ke negeri ini termasuk di bawah SDC dan kementerian-kementerian sehingga akhir RMK9 akan mampu meningkatkan pembangunan ekonomi khususnya di kawasan luar bandar.

selesai
SADDI : PM KE 6 SIMBOL PEMIMPIN NEGARA ERA BARU

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menyifatkan perlantikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ke 6 sebagai simbol kecemerlangan kepimpinan negara memasuki era negara maju.

Beliau berkata, selain kelangsungan mandat itu memberi imej baru kepada pemerintahan Barisan Nasional (BN), slogan ‘Satu Malaysia’ yang menjadi gagasan beliau bakal menyerlahkan nilai perpaduan berbilang kaum di negara ini sebagai satu pasukan mengharungi cabaran global, sekaligus menggunakan segala sumber yang ada untuk kebaikan dan masa depan rakyat.

“ Perinsip beliau yang sedia memberikan keutamaan kepada rakyat untuk memajukan negara, selain keutamaan kepada parti dan kerajaan, jelas mengambarkan bahawa beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat, sebagaimana diwarisi Allahyarham ayahanda beliau, Tun Badul Razak, Perdana Menteri ke 2.

“ Bagi kita di Sukau dan Sabah umumnya, perinsip ini amat mengembirakan. Kerana berasaskan kepada kerja kuat dan penghayatan mendalam sajalah, kawasan mundur dan rakyat yang diketegorikan sebagai termiskin dan miskin dapat dimajukan.

“ Sudah tentulah, gandingan beliau bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin dan dalam konteks Sabah yang dipimpin, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan rakan-rakan pimpinan lain akan menyaksikan rangkaian pemerintahan dalam negara yang lebik berkesan dan dinamik, seiring dengan harapan dan cita-cita rakyat,” katanya.

Saddi juga mendoakan agar mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sekian lama menabur bakti dan berkorban demi negara diberikan kesihatan dan kegembiraan berserta isteri, Tun Janne Bte Abdullah serta seluruh keluarga.

Selesai..


PENDUDUK LUAR BANDAR MASIH DIBELENGGU KEMISKINAN

Pulau Lubukan, SUKAU; “ Sebagai Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan ini, saya amat berdukacita dan malu jika dua tahun dari sekarang masih banyak rumah penduduk beratap bocor, bertiang rapuh dan tidak berdinding, manakala sumber ekonomi mereka masih tidak terbela”.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, fenomena kemiksinan rakyat di kawasan ini perlu diselesaikan secara agresif, memandangkan tahun 2010, kerajaan Sabah sendiri mensasarkan bebas dari kemsikinan.

Ke arah penyelesaiannya, tegas Saddi, kualiti kehidupan rakyat bukan saja diatasi dengan menekankan soal nilai kesejahteraan dan kesihatan dan kediaman penduduk diperbaiki, tetapi mempastikan sumber ekonomi mereka sebagai punca utama penyelesaian masalah kemiskinan perlu ditangani bermula dari sekarang.
“ Tidak ada soal terlambat. Apa lagi menuding jari kepada mana-mana pihak untuk penyelesaian ini. Apa yang penting, pengorbanan semua pihak perlu disatukan."

“ Umum tahun Dun Sukau adalah kawasan pilihanraya negeri dalam daerah Kinabatangan diketahui sebagai daerah nombor dua yang termundur di dalam Malaysia, termasuk di Sabah selepas Daerah Pitas. Program mengesan rakyat termiskin di sini seharusnya dilakukan sejak 15 tahun lalu ke arah misi negeri miskin sifar tahun 2010,” katanya.

Berucap merasmikan Program Cari (Rakyat Miskin), anjuran Biro Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Unit PKR Sukau di Kampung Lubukan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia Peringkat Zon Persisiran Pantai Sukau, di sini pagi kelmarin,

Saddi berkata, program berkenaan perlu dirancakkan di sini bermula sekarang.

Turut hadir pada Majlis itu, Penolong Pegawai Jabatan berkenaan, Bahrin Dahlan, PKR Sukau, Shahrin Haji Abdul Rahman, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Amiruddin Mohd Damit dan Pengerusi biro berkenaan, Puan Melda Imang.

Kata Saddi, demi memenuhi hasrat kerajaan negeri itu serta menjadikan Sabah sebuah negeri maju tahun 2015, program menjejaki rakyat berpendapatan di bawah paras kimikinan tegar secara teliti dan berkesan di kawasan ini perlu diperhebatkan.

“ Untuk di kawasan ini, usaha ini tidak terlalu sukar, di mana-mana kampung dan mukim, ramai rakyat yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Itulah sebabnya saya mencadangkan kepada pegawai yang turut serta hari ini (Bahrin), supaya Program Cari ini tidak berakhir pada bulan April tahun ini. Tetapi diteruskan sehingga tahun 2010,” katanya.

Katanya, usaha menamatkan kakitangan sambilan jabatan itu yang juga berakhir bulan depan wajar diteruskan bagi mencapai matlamat itu.

Beliau juga meminta pihak kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan di Kinabatangan mempergiatkan usaha menyenarai penduduk termiskin dalam Dun Sukau agar ianya menjadi satu statistik penting kepada kerajaan sebelum golongan sasaran mendapat bantuan kebajikan dari kerajaan BN.

Kata Saddi, di bawah kepimpinan UPKR Sukau sendiri, pelbagai pendekatan beliau sarankan bagi membantu menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat.Antara lain mengujudkan program pemberian bintang satu hingga lima, kepada kampung-kampung yang mampu yang mencapai kemajuan dari segi program pembangunan serta ekonomi, yang sekaligus boleh menyelesaikan masalah kemiskinan yang ditanggung setiap rakyat.

Di bawah program itu, jelas Saddi, kampung yang mencapai kemajuan dari segi pembangunan, statistic pemulihan yang terus meningkat dari segi kemajuan ekonomi keluarga yang sebelumnya hidup miskin akan menerima anugerah sehingga lima bintang. Kampung terlibat akan menjadi kampung contoh dengan diberikan geran pembangunan bagi memaksimakan tuntutan kemajuan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menggerakkan program mengesan penduduk miskin di kawasan pesisir pantai melibatkan masyarakat nelayan dan kampung-kampung di kawasan ini, sebelum mereka menerima bantuan yang termampu di bawah peruntukan wakil rakyat.

“ Ini sebab saya menegaskan berulang kali kepada kakitangan UPKR agar memperhebatkan beberapa usaha ekonomi yang sudah dirancang. ”

Ia seperti program penanaman padi di Kampung Abai, usaha menjayakan bidang perikanan dan pertanian dan banyak lagi, mengujudkan Gumantong Park, kemudahan bekalan elektrik dan air serta mengujudkan jambatan kedua merentasi Sungai Kinabatangan di Kampung Sukau. Kita amat berharap pihak kerajaan terus memberikan bantuan,” katanya.
Dengan menyatakan penghargaan tinggi di atas usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat itu, Saddi mahu masyarakat sasaran supaya mematuhi syarat dan peraturan yang disediakan bagi melayani permohonan bantuan mereka dalam program tersebut.

Di akhir ucapannya, Saddi memperuntukkan bantuan RM10,000 bagi memperbaiki kawasan ruang legar Dewan Serbaguna Kampung Lubukan dan memperuntukkan 100 unit kerusi bagi kemudahan tersebut.

Sebelum itu, Bahrin menegaskan, di bawah Program Cari itu, pihaknya akan menyediakan bantuan pembiayaan di bawah beberapa ketegori seperti balu, ibu tunggal serta keluarga yang tidak mampu menyara anak ramai dan pelbagai lagi. Manakala hal-hal berkaitan kemudahan asas rakyat termiskin akan dirujuk kepada jabatan berkenaan.

Selesai.
KEKWA TONJOLKAN BUDAYA DI SABAH MENERUSI PROGRAMNYA


SANDAKAN: Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS), Saddi Haji Abdul Rahman melahirkan rasa bangga atas usaha gigih Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKWA) menonjolkan semua budaya suku kaum di negeri ini untuk terus dikenali rakyat menerusi programnya, Merakyatkan Seni dan Budaya peringkat negeri di sini.

Katanya, program itu bukan saja memberi banyak pendedahan terhadap warisan seni dan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini, tetapi mampu merapatkan perpaduan antara kaum baik dari kalangan setempat maupun di luar Sabah.

“ Program anjuran KEKWA ini mampu menghidupkan suasana berbudaya di kalangan masyarakat berbilang kaum dan in amat memberi kesan yang mendalam kepada golongan muda agar mengenali budaya suku kaum masing-masing,” katanya ketika mengulas berhubung penganjuran program berkenaan dua hari bermula Sabtu lepas.

Program dua hari itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang diwakili timbalannya, Datuk Raymond Shu Kiah.

Katanya, sebagai pemimpin kanan dalam SABAS beliau menyatakan penghargaan kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal dan KEKWA atas daya usaha mengetengahkan budaya suku kaum sungai, sebagai salah satu suku kaum terbesar di Sabah.

Setidak-tidaknya, kata Saddi, samada budaya berkenaan dan persatuan itu diletakkan sebagai salah sebuah suku kaum penting yang terdapat di negara ini.

“Malah bagi pihak persatuan, kami sentiasa menyatakanh kesediaan untuk berkerjasama dengan KEKWA dalam menjayakan program budaya melibatkan kaum Sungai, samada di peringkat negeri dan kebangsaan untuk dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Suku kaum Sungai, salah satu suku kaum terbesar di Sabah dengan populasinya mencapai lebih 270,000 orang yang sebahagiannya masih mendiami tebing-tebing sungai utama di negeri ini, khususnya di Kinabatangan, Labuk dan Sugut, Kota Marudu, Lahad Datu dan sekitar pedalaman bawah seperti Beaufort dan Sepitang.

Kata Saddi, antara langkah awal yang sedang digiatkan SABAS ialah berusaha memperkenalkan beberapa tariannya seperti Titikas dan Runsai, diikuti persembahan muzik tradisionalnya yang kini sudah giat dipersembahkan merara negeri, termasuk majlis-majlis kenamaan.

“ Namun di bawah kepimpinan baru persatuan ini, di bawah Presidennya, Datuk Zakaria Edris dan turut dianggotai oleh beberapa orang wakil rakyat mewakili suku kaum ini, kita berusaha untuk menjenamakan semula Sabas dan aktivitinya, agar budaya suku kaum Sungai bukan saja dikenali di negeri ini tetapi mencapai peringkat lebih jauh,” katanya yang menambah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman adalah Penaung bagi persatuan wujud sejak pertengahan tahun 70an itu.

Selesai.