Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

KEMAHIRAN ICT DALAM PJK JANA SOSIOEKONOMI DUN SUKAU

SUKAU: Pusat Jalur Lebar Komuniti atau PJK, satu gaya hidup baru mengangkat imej dan masa depan ilmu serta sosioekonomi masyarakat di kawasan ini.

Apa tidaknya, hanya dengan membayar RM5.00, setiap individu masyarakat bermula dari kanak-kanak, remaja, belia hinggalah surirumah atau siapa saja, boleh meneroka dunia luar serta menguasai maklumat dengan kemahiran Teknologi Maklumat atau ICT seumur hidup.

Dengan bayaran ahli PJK ini mereka boleh berkunjung ke pusat PJK berhampiran, empat darinya bakal dibuka dalam tempoh terdekat di kawasan Dun Sukau melibatkan Kampung Paris, Kota Kinabatangan, Bukit Garam dan di Kampung Sukau sendiri sudahpun beroperasi lebih sebulan lalu.
Kesemua ini adalah mesej penting sebuah projek kerajaan di bawah Suruhanjuaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dilaksanakan oleh Telekom Malaysia, di bawah sasaran Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Daripada enam diwujudkan di seluruh Sabah, empat dari pusat PJK ini berpihak kepada kawasan Parlimen Kinabatangan, yang sebahagian besarnya mendapat manfaat rakyat dalam kawasan Dun Sukau.

Dua lagi dari projek ini terletak di Pagulangan, Nabawan dan Mempakat Laut, Pitas.

Program menyedarkan masyarakat mengenai kemudahan ini melalui PJK Bersama Komuniti, diadakan di Pekan Sri Lamag, Kinabatangan pada Sabtu, dikendalikan bersama SKMM, TM dan empat gabungan PJK terlibat.

Program itu dirasmikan oleh Adun Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman melalui wakilnya, Amirudin Mohamad Damit, yang juga Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Dun Sukau.

Seperti apa yang dijelaskan oleh Abd. Ghafar Ismail, 27, Pengurus PJK Kampung Sukau yang diberi amanah sebagai Pengerusi Penganjur PJK Gabungan Daerah Kinabatangan kelmarin, penyediaan kemudahan program memperkasa ICT desa ini adalah ke arah mencapai inisiatif kebangsaan dalam merapatkan jurang digital di antara masyarakat Bandar dan luar Bandar, selaras matlamat digariskan di bawah Pelan Jalur Lebar Kebangsaan.

Mungkin kita masih tidak terlupa hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dulu mengujudkan Koridor Raya Multimedia yang kini tersergam indah di Puterajaya, kini gagasan, visi dan misi sudahpun mula dinikmati di Sukau.

Berkelulusan Ijazah dalam bidang Pengurusan Sistem Maklumat UITM di Shah Alam 2005, yang ini juga merupakan syarat utama sebagai ketua pengendali sebuah pusat PJK yang ditetapkan SKMM, Abd Ghafar anak ketiga dari enam beradik itu mahu, seluruh masyarakat di daerah Kinabatangan menjadi ahli PJK sebagai usaha membolehkan mereka menguasai ICT.

“ Dengan menjadi Ahli PJK, mereka boleh menggunakan kesemua pusat PJK di dalam daerah ini dan di luar Sabah untuk belajar asas penggunaan komputer mengenai Microsof Office serta aplikasi On Line seperti E Goverment, On Line Banking dan sebagainya.“ Tetapi menggunakan komputer untuk tujuan mendapatkan ilmu dan kemahiran dan mengetahui dunia luar secara maya,” katanya.

Setiap PJK termasuk tiga lagi disini yang beroperasi dalam tempoh terdekat akan dibuka bermula pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Jika peserta sesebuah PJK itu menjadi ramai bimbingan dan penggunaan komputer akan dibuat.secara bergilir.Lebih 100 orang hadir dalam program itu dan lebih 50 darinya telah menjadi ahli PJK.

Sebagai tambahan, terdapat 14 unit komputer, dilengkapi dengan mesin pengimbas dan mesin pendua disediakan di pusat PJK Kampung Sukau bagi menjayakan operasinya, manakala di PJK Bukit Garam 18 unit Komputer disediakan, diikuti Kota Kinabatangan 15 dan Kampung Paris 1, 17 unit, yang turut dilengkapi mesin pengimbas dan mesin pendua.

Penyediaan kesemua peralatan dan tapak projek ini ditaja oleh SKMM menerusi Universal Provision Service, sebuah agensi diperuntukkan di bawah suruhanjaya itu. Projek itu dianggarkan menelan belanja berjuta ringgit di sini.Encik Julius Derawading bertugas sebagai Pengurus untuk PJK BUkit Garam, manakala Cik Huda Mohamad dan Cik Cermilita Caneza masing-masing bertugas sebagai pengurus PJK Kota Kinabatangan dan Kampung Paris 1.

Amirudin ketika mewakili Saddi merasmikan majlis itu, mahu seluruh rakyat di kawasan Sukau bersedia merebut peluang itu bagi mencapai matlamat SKMM dan rancangan pembangunan ekonomi yang disasarkan wakil rakyat itu.

Katanya, kemahiran dalam bidang ICT boleh membantu matlamat Saddi dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneroka bidang-bidang kemajuan di kawasan itu, khususnya rancangan mengujudkan Pekan Baru Sukau, menjana ekonomi pelancongan berasaskan Gumantong Park, serta kemajuan di bidang ilmu dan pendidikan yang mampu menjana rankaian pendidikan dengan Hub Pendidikan yang diwujudkan di Kampung Sungai Batang, di Libaran. Ini sebuah projek yang diilhamkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Tambahnya, kedudukan Sukau sebagai distinasi pelancongan yang dikenali di merata Asia dan Eropah, menambah tarikan kepada para pelancong ke sini dengan kemudahan PJK itu membolehkan mereka berhubung dengan keluarga dan rakan di negara asal.

“ wakil rakyat kita amat berharap jika rakyat di sini menguasai ICT untuk mencari dan meneroka apa saja bidang pelaburan luar untuk menjayakan perusahaan yang berkaitan dengan ekonomi Sukau,” katanya.

Beliau berharap, kalangan ibu bapa, individu serta mereka yang mewakili pihak kerajaan dan swasta menyokong usaha SKMM itu untuk faedah yang disasarkan demi kebaikan setempat dan berterusan.

Selesai.