Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi cuba membuka paip air Loji Air Felcra di Sukau tetapi masih tidak berfungsi.

MASALAH BEKALAN AIR : ADUN MINTA KERAJAAN SELESAIKAN

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman mendesak pihak kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air yang masih ditahap kritikal dihadapi rakyat di kawasan ini.

Katanya, walaupun pihak Felcra sudah mengujudkan sistem penyaluran bekalan air di sini dengan kos melebihi RM1.2 juta berhampiran kampung Sukau, tetapi bekalan tersebut masih gagal berfungsi dan tidak memberikan faedah kepada masyarakat setempat.

“ Saya masih keliru kenapa kemudahan seperti ini diwujudkan Felcra sejak lebih setahun lalu padahal ianya tidak berfungsi ketika rakyat amat dahagakan bekalan air. Adalah lebih baik agar kemudahan ini bukan saja diperbaiki tetapi dinaikkan taraf untuk menampung keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau loji bekalan itu di sini, Saddi berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur boleh mencari jalan mengujudkan kerjasama bagi memperbaiki kemudahan penting itu.

Katanya, rancangan kerajaan negeri mahu membina sebuah loji air di kawasan Kampung Sukau dalam Rancangan Malaysia Ke10 (RMK10) bukan saja terlalu lewat tetapi amat menyeksa kehidupan rakyat di kawasan ini yang mengharapkan bekalan air melalui air hujan dan aliran sungai Kinabatangan.

“ Pembinaan loji air itu boleh diteruskan dengan sasaran kos dan penggunaan yang besar. Tetapi ketika ini, wajar jika loji air milik Felcra ini diperbaiki dan dinaiktarafkan untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Saddi yang ditemani kakitangan Unit PKR Sukau dan penduduk kampung turut menguji paip air yang diwujudkan berhampiran loji pengepam bekalan itu tetapi langsung berfungsi.

Katanya, menjelang tempoh tiga tahun akan datang penggunaan bekalan air di kawasan ini akan lebih meningkat berikutan pertumbuhan pembangunan di kawasan itu termasuk Pekan Baru Sukau yang kini diperingkat pertimbangan terakhir untuk pembinaannya.

“ Saya percaya jumlah penduduk dan pelancong juga bertambah dan ini sudah tentu meningkatkan lagi kedudukan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Kata Saddi beliau akan menemui pihak Kementerian Pembangunan Luar bandar yang bertanggungjawab terhadap Felcra dan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri bagi menyelesaikan masalah bekalan air tersebut.

Beliau juga mengharapkan beberapa kampung strategik di kawasan persisiran Pantai Dun Sukau turut menikmati bekalan itu menerusi tindakan-tindakan pragmatic yang boleh dilakukan kerajaan pusat dan negeri.

Selesai.