Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV


PERKASA REALITY SDN BHD BERI JAMINAN RUMAH KEDAI DI PEKAN BARU SUKAU SIAP SEPTEMBER 2009

SUKAU: Perkasa Reality Sdn Bhd, salah sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (SEDCO) memberi jaminan projek pembinaan rumah kedai enam pintu yang tertangguh penyiapannya lebih setahun di sini dijadualkan siap bulan September ini.


Jaminan itu diberikan oleh Pengurus Besarnya, Haji Kassim Salleh kepada Menteri Perindustrian Negeri, Datuk Dr. Ewon Ewin dan Wakil Rakyat Dun Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman yang melakukan lawatan kerja tapak pembinaan projek itu, pagi Jumaat.

Projek berkenaan dibina di kawasan lebih seekar di kawasan tanah milik Koperasi Sukau Berhad, kawasan yang bersebelahan bagi projek penyediaan Pekan Baru Sukau yang melibatkan lebih 120 ekar, kira-kira 50km daripada Pekan Kota Kinabatangan.
“ Sebahagian besar punca kelewatan projek ini adalah berkaitan urusan pengambilalihan tanah untuk tujuan pembinaan projek ini dan kita yakin perlaksanaan akan berjalan lancer,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Sedco, Datuk Haji Ariffin Arif, Pengerusi Sedcovest, Datuk Awang Sham Haji Amit dan Pengurus Besar Sedco Maisuri Haji Besri.Difahamkan, projek pembinaan rumah kedai enam pintu yang pertama dibina di kawasan ini, dilaksanakan secara dua fasa.

Fasa pertama yang melibatkan pembinaan bangunan yang kini ditahap 70 peratus pembinaan bernilai lebih RM830,000 dan fasa kedua berkaitan penyediaan kemudahan asas membabitkan kos lebih RM650,000.Dengan adanya kemudahan itu kelak ianya akan memberi faedah ekonomi jangka panjang kepada rakyat di kawasan ini, khususnya seiring dalam penyediaan lanskap ekonomi pekan baru itu.

Datuk Ewon selepas menerima penjelasan itu, mengarahkan agar projek berkenaan siap mengikut jadual.“ Kalau bangunan ini dapat disiapkan lebih awal, sudah tentu membolehkan wakil rakyat Dun Sukau menjalankan peranannya membangunkan ekonomi kawasan setempat. Kedudukannya bangunan kedai ini yang strategik juga memberikan faedah kepada Sedco dan kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Saddi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kunjungan menteri berkenaan melawat tapak projek tersebut yang amat dinanti-nantikan penyiapannya oleh rakyat di kawasan ini.

“ Saya berterima kasih kerana Menteri Perindustrian (Datuk Dr. Ewon Ewin) sanggup turun padang menyahut seranan kami bagi mempastikan projek ini berjalan lancer dan memenuhi harapan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sesuai dengan peranan Sedco dan anak syarikatnya, Perkasa Realty dalam membangunkan pusat ekonomi negeri, kawasan yang masih mundur seperti Sukau amat memerlukan peranan tesebut demi faedah rakyat.

Bagi tujuan itu, kata Saddi, Sedco dan anak syarikatnya sudah diperuntukkan sejumlah besar kawasan pembangunan kedai-kedai dalam penyediaan kawasan Pekan Baru Sukau untuk dimajukan.

Dalam lawatan menteri itu, kata Saddi, Datuk Dr Ewon sudah memberikan jaminan untuk memasukkan beberapa projek pembangunan di pekan itu dalam program pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), termasuk pusat bagi menjayakan pusat industri hiliran berasaskan sarang burung dan jambatan kedua yang boleh berhubung dengan ladang-ladang dan kampung terpencil, tanpa perlu menggunakan laluan Sukau-Lahad Datu.

“ Sepatutnya projek pembangunan ini sudah dilakukan 10 tahun lalu untuk kebaikan rakyat. Tetapi inilah cara kita bekerja dalam sebuah kerajaan BN. Jika kita merasakan sebuah projek pembangunan itu sesuai untuk rakyat, maka pastikannya ditangan bersama demi kebaikan setempat,” katanya.

Selesai.