Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

JAWATANKUASA PEMANDU DIWUJUDKAN DALAM MEREALISASIKAN PEKAN BARU SUKAU




SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Saddi Abdul Rahman mengingatkan supaya sebuah Jawatankuasa Pemandu yang diwujudkan bagi merancang pembangunan Pekan Baru Sukau sebelum ini digerakkan secara mapan bagi memenuhi misi dan visi pembangunan pekan itu.


Saddi yang juga Pengerusi jawatankuasa itu menegaskan mesyuarat awal jawatankuasa itu perlu diadakan selewat-lewatnya bulan depan bagi membolehkan semua bentuk penyediaan pembangunan kerajaan dan tuntutan rakyat di pekan baru itu dapat dikenalpasti.


“ Saya berharap semua jabatan di kawasan ini, khususnya Jabatan Perancang Bandar menyediakan cadangan bagi membolehkan Jawatankuasa Pemandu ini mencorakkan pembangunan pekan baru di Sukau ini secara berkesan,” katanya ketika menegaskan perkara itu pada Mesyuarat Tindakan Daerah di pejabat Daerah Kinabatangan di sini kelmarin.


Kata Saddi, beliau bersetuju dengan cadangan Pegawai Daerah berkenaan, Abdul Latif Kandok agar kawasan pekan baru itu diperuntukkan kawasan seluas 10,000 ekar untuk keperluan pembangunan masa depan.


Katanya, kemudahan tanah yang luas itu membolehkan mana-mana jabatan kerajaan mewakili negeri dan persekutuan merancang dan menyediakan pembangunan untuk keperluan rakyat, walaupun akhirnya pihak kerajaan terpaksa mendapatkan kembali tanah-tanah yang dimiliki secara individu.


Sebelum itu Abdul Latif menegaskan pada mesyuarat itu jumlah 120 ekar tanah yang disediakan kerajaan bagi mengwujudkan pekan baru Sukau itu agak kecil dan tidak menampung keperluan pembangunan rakyat di masa depan. Maka adalah wajar kawasan 10,000 ekar tanah dicadangkan untuk menepati sasaran pembangunan sebuah pekan baru di kawasan itu.


“ Namun pada saya, apa yang penting cadangan dari semua pihak perlu disampaikan dalam Jawatankuasa Pemandu yang diwujudkan ini sebelum ianya dianalisa dan dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk menjayakan misi pembangunan Pekan Baru Sukau,” katanya.


Untuk rekod, Pekan Baru Sukau yang diwujudkan di kawasan Kampung Sukau, terletak kira-kira 55km daripada Pekan Kota Kinabatangan dicadangkan kurang tiga tahun lalu dengan projek tersebut memasukkan pembabitan agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan berasaskan potensi pembangunan ekonomi setempat.


Cadangan tersebut menjadi kenyataan apabila harapan itu disuarakan semula Saddi di Dewan Undangan Negeri lepas dan mendapat riaksi kerajaan negeri menerusi keputusan penyediaan tanah khusus untuk pembinaan pekan baru itu di sidang dewan berkenaan.


Ketika ini beberapa agensi kerajaan negeri seperti Sedco, Jabatan-Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya sedang rancak melaksanakan tanggungjawab selari dengan cadangan pembangunan pekan itu.


Pada mesyuarat tindakan daerah tersebut, Saddi juga menggesa pihak pentadbiran Pejabat Daerah Kinabatangan supaya menyegerakan cadangan-cadangan program pembangunan, bidang-bidang pelaburan dan sosioekonomi masyarakat sebelum dikemukakan secara rasmi kepada pihak pelaksana Pembangunan Sabah (SDC).


Katanya, cadangan penyenaraian itu amat diperlukan bagi membolehkan kawasan ini menerima faedah di dalam perancangan pembangunan ekonomi kerajaan negeri yang berimpak tinggi itu.“ Di bawah SDC kawasan ini di khususkan dalam Zon Konservasi Biodiversiti.


Tetapi berasaskan potensi ekonomi yang ada, kawasan ini sebahagian kawasan Pantai Timur Sabah, kita juga tidak terkecuali daripada bidang Industri Marin dan Pelancongan, malah bidang agro makanan bersepadu.


“ Maka sudah waktunya Pejabat Daerah Kinabatangan mengkaji kesesuaian pembangunan ekonomi ini untuk dinikmati rakyat di dalam SDC. Demikian juga tuntutan terhadap keperluan pembangunan prasarana yang melibatkan kepentingan lebih 70,000 penduduk tempatan dianggarkan menidami kawasan Kinabatangan,” katanya.


Saddi menambah, pemesatan terhadap bidang-bidang berasaskan perladangan, pelancongan dan perikanan boleh meningkatkan tambah nilai sektor itu untuk dijayakan secara berkelompok menerusi kegiatan Industri Kecil Sederhana berkonsepkan matlamat pembangunan Sabah, “ Satu Kampung Satu Produk.”Beliau kemudian mencadangkan kakitangan kerajaan dalam daerah ini supaya mempertingkatkan lagi iltizam dan paradigma masing-masing dalam memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat.


Sesuai dengan penyediaan Bajet Negeri 2009 yang tinggi dan bersejarah, malah turut memberi banyak kebaikan kepada kakitangan awam di negeri ini, Kata Saddi, adalah amat bermakna jika setiap kakitangan awam itu menyempurnakan tanggungjawab masing-masing demi keuntungan pihak kerajaan dan rakyat di negeri ini.


“ Kita sama-sama akan bersetuju tidak guna kita menyediakan sebuah bajet negeri yang tinggi dan bersejarah setakat ini, malah dianggap punya wibawa dan pintar, jika perlaksanaannya dalam bentuk sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak selari.“ Saya rasa sudah waktunya, selepas kakitangan kerajaan termasuklah di peringkat kawasan ini menerima kritikan kerana kelalaian-kelalaian tertentu akibat perancangan memperkasakan perkhidmatan tidak selari dari segi kos dan sebagainya, maka kini waktunya untuk kita sama-sama membuktikan kejayaan ini demi seluruh rakyat yang kita bela.


“ Keberkesanan kita menjalankan tanggungjawab bukan saja menampung kehendak tanggungjawab perkhidmatan, sosial, malah yang lebih penting tanggungjawab agama yang membuktikan sejauhmana keberhasilan kita kelak, samada cepat ataupun lambat,” katanya.


Selesai.






SADDI : LAPORAN RASMI CADANGAN MENGSTRUKTUR SEMULA SEMPADAN & PENTADBIRAN DUN AKAN DIKEMUKAKAN OLEH PEJABAT DAERAH


KINABATANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, pejabat daerah ini akan mengemukakan satu laporan rasmi kepada kerajaan negeri berhubung cadangan mengstruktur semula sempadan dan pentadbiran kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau sebagaiman disuarakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.


Beliau berkata, laporan itu akan memuatkan kesemua maklumat dan kaedah diperlukan sekaligus memperakukan kesesuaian Dewan Undangan Negeri Sukau untuk memiliki pejabat daerah sendiri dan tidak lagi berkongsi perkhidmatan dengan daerah- daerah bersempadan .


“ Laporan rasmi ini akan juga memperjelaskan kepada kerajaan tentang keperluan Dun Sukau untuk memiliki entiti pentadbiran tersendiri bagi menjayakan pelbagai sektor ekonomi utamanya seperti perladangan, perikanan, pelancongan, pembangunan infrastruktur dan memperkasakan modal insan,” katanya.


Bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Kinabatangan di sini, Saddi berkata, keputusan itu yang disokong sebulat suara dalam mesyuarat tersebut akan turut menyenaraikan pembabitan mana-mana agensi kerajaan negeri dan persekutuan untuk dimasukkan dalam pembentukan sebuah pejabat daerah itu.


“ Samada kita masih menggunakan bangunan pejabat daerah sekarang atau sebuah pejabat daerah di tempatkan di kawasan Pekan Baru Sukau, itu soal kedua.Yang penting, katanya, usaha menyusun semula masyarakat, memperkasakan program pembangunan ekonomi setempat, sesuai dengan tuntutan globalisasi bagi menjayakan hasrat Sabah menjadi sebuah negeri maju 2015 untuk membolehkan sebuah pejabat Daerah Sukau diwujudkan .


Saddi memberi jaminan, di bawah pengurusan sebuah pejabat daerah baru itu hubungan kerjasama antara kakitangan awam dan rakyat akan lebih berkesan dan mantap berasaskan kepada persekitaran ekonomi dan pembangunan yang kondusif menerusi penyediaan sistem penyampaian perkhidmatan yang seiring dengan aspirasi dan cita-cita kerajaan.


Tambahnya, rakyat bukan saja tidak akan terkeliru dan dihimpit soal kerenah birokrasi di bawah pentadbiran sektor awam yang bercelaru dan sentiasa padat, tetapi memberi lebih galakan kepada sektor swasta melabur dalam banyak bidang-bidang ekonomi berpotensi di Dun Sukau.


Untuk rekod, sebahagian kawasan Dun Sukau melibatkankampung-kampung nelayan di persisirian pantai dan pulau-pulau di sini masih dimasukkan dalam pengawasan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), manakala di peringkat kawasan tanah besar Kinabatangan penduduk dalam Dun ini berkongsi pentadbiran di Pejabat Daerah Kinabatangan (PDK) dengan masyarakat mewakili Daerah Tongod.


Kedudukan pentadbiran yang wujud sejak awal tahun 90an itu terus menyukarkan penduduk menyelaraskan program ekonomi mereka, manakala di peringkat kakitangan kerajaan hinggalah wakil-wakil rakyat dihantui oleh pertindihan tugas dan mesyuarat tindakan daerah yang adakalanya berjalan serentak.


Masalah ini juga dipercayai mengurangkan minat pelabur untuk melibatkan diri dalam pelbagai bidang ekonomi berdaya maju di kawasan ini.


Pada mesyuarat itu, kata Saddi, pegawai daerah yang juga merupakan pengerusi Majlis Daerah Kinabatangan, Abdul Latif Kandok sependapat dengan beliau sejak dulu untuk mengemukakan laporan rasmi itu kepada kerajaan.


Pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru, kata Saddi, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan ketika mengulas cadangan beliau terhadap usul pengstrukturan itu beranggapan masalah di kawasan ini sama sebagaimana di hadapi beberapa kawasan lain di Sabah.


“ Tetapi apa yang saya ingin tegaskan di sini, isu pengstrukturan daerah ini tidak harus disamakan dengan kawasan lain. Pertama kerana Kinabatangan mempunyai kedudukan yang luas seperti Pahang, antara negeri terbesar di Semenanjung Malaysia.


“ Selainnya, kerana kawasan ini termasuk Sukau memiliki kelebihan kepelbagaian ekonomi dan berdaya maju berasaskan Perladangan, Pelancongan, maupun perikanan yang boleh dimasukkan di bawah Koridor Pembangunan Sabah.


Soalnya, kata Saddi adakah perubahan pentadbiran daerah sedemikian, hanya akan diubah sehingga kerajaan BN yang disayangi ini tumbang dan bertukar pentadbiran akibat kelalaian menjalankan tanggungjawab.


Menjawab satu soalan media, kata Saddi, tidak timbul soal penyisihan kawasan dan rakyat atau soal ketidakkemampuan melaksanakan perubahan pentadbiran itu kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) baik di peringkat negeri dan persekutuan mempunuyai pelbagai kemamuan dan kecekapan.


Dalam pada itu, beliau berharap seluruh rakyat di kawasan Sukau termasuklah dikalangan pimpinan masyarakat akar umbi sedia berkerjasama dalam menjayakan misi mengujudkan sebuah pembangunan kawasan terancang dan berjaya di masa depan.