Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

JENAMAKAN SEMULA PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN PERINGKAT AKAR UMBI - YB SADDI





Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, para pemimpin di peringkat akar umbi terutama Pengerusi JKKK wajar ‘menjenamakan semula’ (rebranding) peranan dan tanggungjawab mereka agar usaha membangunkan rakyat di kawasan ini masih tidak berada ditakuk lama.

Saddi berkata, usaha memperbaiki taraf perkhidmatan serta tanggungjawab pemimpin sasaran itu amat penting agar usaha menjayakan program pembangunan setempat, di samping mampu mencapai sasaran membebaskan kemiskinan rakyat di Sabah menjelang tahun depan (2010) boleh menepati sasaran.

“ Soalnya bagaimana kita boleh mencapai misi ini, sedangkan sesetengah para pemimpin yang dimaksudkan masih lagi bergantung kepada kerajaan.

“ Ada sesetengah pemimpin JKKK belum begitu bersedia melaksanakan tanggungjawab penting mereka dengan merangka program-program ekonomi di kawasan masing-masing bagi memberikan pulangan pendapatan kepada rakyat,” katanya.

Saddi berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan 42 orang Pengerusi JKKK seluruh Adun N.48 Sukau di Dewan Masyarakat Sandakan di sini kelmarin.

Saddi berkata, usaha menjayakan matlamat pembangunan infrastruktur di suatu kawasan itu semata-mata akan menjadi tidak lagi berkesan, jika masyarakat setempat sebagaimana yang berlaku di beberapa kawasan ini, berada di tahap kedaifan.

Sebaliknya, tegas beliau, kebanyakan projek pembangunan yang diwujudkan badan JKKK itu boleh saja menjadi projek gajah putih kerana bukan saja gagal menepati sasaran keperluan rakyat, tetapi kerana dibina atas kepentingan tertentu.

“ Hasilnya ada kalangan rakyat hanya menjadi penonton kepada kemajuan. Tetapi mereka tidak mampu meraih pulangan ekonomi yang boleh dijadikan asas kemajuan keluarga dan pendidikan anak-anak,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan Kinabatangan, Arisin Arifin dan Penolong Pegawai Pembangunan Luar Bandar Majlis Perbandaran Sandakan, Amran Osman. Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Amiruddin Mohd Damit turut hadir.

Sehubungan itu, Saddi menggesa, para pengerusi JKKK yang sudah memperolehi perlantikan mereka bukan saja memberikan khidmat dengan penuh amanah, tetapi mengandakan usaha yang boleh memberikan pulangan ekonomi kepada rakyat.

Katanya, seseorang pemimpin JKKK yang baik itu bukan saja mampu memahami keperluan persekitarannya, tetapi melaksanakan tanggungjawab yang selari dengan kehendak kerajaan, khususnya Barisan Nasional (BN) di negara ini.

Pemimpin JKKK itu, katanya, bukan saja bersifat sebagai ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan dan rakyat. Tetapi sentiasa akses dan terbuka dengan perkembangan pembangunan dan ekonomi negara serta keperluan global, demi kebaikan rakyat setempat.

Saddi juga tidak mahu para pemimpin itu hanya menghabiskan tempoh perkhidmatan mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti merugikan, sehingga ada kalanya terikut-ikut dengan tindak tanduk pihak tertentu memburuk-burukkan pemimpin dan kerajaan, sekaligus membawa kerugian kepada keperluan rakyat yang dipertanggungjawabkan.

Beliau mengulangi gesaan, agar pemimpin akar umbi yang mendapat kepercayaannya itu memperhebatkan lagi usaha memajukan kawasan Dun Sukau, kawasan yang secara keseluruhannya memiliki serba serbi dalam bentuk sumber ekonomi tetapi masih gagal dimanfaatkan rakyat atas sebab-sebab tertentu.

Beliau turut memberi amaran, pemimpin yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka secara berkesan sudah tentu dikaji semula perkhidmatan mereka demi kebaikan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan