Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV




ADUN SUKAU HULURKAN SUMBANGAN KEPADA PIHAK SK KG PARIS AKIBAT TERBAKAR

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman melahirkan rasa dukacitanya terhadap kejadian kebakaran salah satu dari tiga blok bangunan SK Kampung Paris di sini dengan turut memusnahkan banyak kemudahan pembelajaran termasuk makmal dan pusat sumber melibatkan kerugian RM1.7 juta.

Beliau berkata, kejadian itu bukan saja membantut sesi pembelajaran lebih 400 orang murid di sekolah berkenaan, tetapi menyukarkan tugas penyediaan ilmu kepada masyarakat pelajar di luar bandar itu.“ Saya turut sedih kerana sebuah bangunan tabika kemas berhampiran sekolah ini juga musnah akibat kejadian kebakaran yang berlaku pagi 10 Januari lepas,” katanya ketika melakukan lawatan ke sekolah itu petang kelmarin.

Bagaimanapun, kata Saddi, selaku wakil rakyat di kawasan ini beliau akan turut menyampaikan masalah bencana itu kepada pihak kerajaan negeri, termasuk Jabatan Pelajaran Sabah untuk mendapatkan beberapa bantuan dan perhatian segera.Kata Saddi, dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 pagi, 10 Januari itu, Bilik Penolong Kanan Sekolah melibatkan beberapa peralatan komputer, sistem LCD, stok penyimpanan buku sekolah, peralatan muzik serta dua buah kelas yang menempatkan banyak kemudahan ko-kurikulum dan alat komputer musnah terbakar.

Sebelum itu, Saddi menerima taklimat ringkas berhubung kejadian kebakaran itu daripada Penolong Kanan Sekolah, Salleh Sahaya dan Guru besarnya, Masiyah Hashim.

Menurut Salleh, kelewatan pasukan bomba daripada Sandakan dan Lahad Datu yang dimaklumkan berhubung kejadian itu, ekoran kedudukan jarak yang jauh, amat menyukarkan usaha memadamkan kebakaran dalam tempoh diharapkan.
“ Orang-orang kampung berhampiran, telah bersusah payah menghalang kebakaran daripada merebak sebelum tibanya pasukan bomba. Kami bersyukur tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini,” katanya yang menambah Guru Besar sekolah berkenaan sudah membuat laporan penuh berhubung kejadian itu kepada Jabatan Pelajaran Lahad Datu, Pihak Polis dan pihak berkuasa tempatan.

Saddi turut ditemani PKR Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman, Pemaju Mukim Zon Paris, Samry Sher Mohamad dan Pemaju Mukim Batu Putih, Salleh Bakri.Sebelum ini, kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Sukau sudah membuat tinjauan dan tindakan lanjut berhubung kejadian itu.

SK Paris Satu dibina lebih 30 tahun lalu untuk menampung keperluan persekolahan di kawasan itu dan kini memiliki lebih 400 orang murid dan lebih 30 orang guru. Beberapa pencapaian pendidikan dan aktiviti ko-kurikulum dicapai sekolah ini, terutama sesudah infrastrukuturnya dinaik taraf kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

Saddi yang memberi riaksi taklimat berkenaan merayu Jabatan Penidikan Daerah memperhebatkan usaha menyalurkan bantuan yang diperlukan oleh sekolah itu demi kebaikan pelajar dan guru-guru terlibat.

“ Saya sendiri akan berhubung kepada pihak Kementerian Pelajaran untuk menyampaikan masalah yang sedang dihadapi sekolah ini. Kita amat mengharapkan kemudahan bangunan sebagaimana asal dibina semula di sekolah ini untuk kebaikan anak-anak sekolah, “ katanya.

Saddi juga mengharapkan beliau dapat menyediakan beberapa keperluan menaiktaraf bangunan persekitaran sekolah, termasuk laluan berbumbung yang diperlukan untuk memudahkan pergerakan pelajar kita musim panas dan hujan.

“ Apa pun yang penting kepada saya, kanak-kanak sekolah di sini dapat memperkasakan lagi usaha meningkatkan kualiti pembelajaran mereka agar dapat bersaing dengan sekolah-sekolah berjaya di Bandar,” katanya sambil mengharapkan juga kerjasama ibu bapa dan pemimpin setempat ke arah mencapai matlamat itu.

Terdahulu, Saddi menghulurkan sumbangan 100 batang kayu beruti dan 30 keping papan lapis kepada pihak sekolah itu bagi keperluan memperbaiki kerosakan sekolah akibat kebakaran tersebut.

Selesai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan