Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV



IBU PERLU MEMAINKAN PERANAN DALAM MELAHIRKAN ANAK CEMERLANG

SUKAU: Ibu yang baik dan berkualiti akan melahirkan generasi bangsa yang berkualiti, berguna untuk menyahut cabaran bagi memajukan anak bangsa cemerlang, gemilang dan terbilang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman.
Wakil Rakyat itu menegaskan, dalam konteks memajukan masyarakat di luar bandar dan pedalaman, peranan ibu bukan saja diperlukan bagi mendidik anak-anak bagi menunaikan misi kemajuan keluarga, masyarakat dan negara.
“ Tetapi juga mempunyai hak dan tanggungjawab menggerakkan peranan mereka secara secara strategik dan berkelompok untuk menjayakan faedah-faedah berkaitan perpaduan, pembangunan ekonomi dan modal insan, soal tuntuan kemajuan ilmu dan akhlak, serta dasar-dasar kerajaan berkaitan kepada masyarakat, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Ibu anjuran Persatuan Ibu-Ibu Kawasan Kampung Sukau yang diadakan di Balairaya Kampung Sukau, di sini Ahad lepas.
Saddi berkata, kejayaan disebalik kewujudan Jawatankuasa Sambutan Hari Ibu Kampung Sukau yang telah berjaya menganjurkan program Hari Ibu sejak tiga tahun lalu, boleh diterjemahkan menjadi sebuah badan yang bertauliah yang boleh pengiktirafan pihak kerajaan.
Katanya, badan itu kelak bukan saja boleh mendapat perhatian pihak kerajaan seperti peranan dimainkan di bawah Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, tetapi pelbagai sokongan bagi menjayakan aktiviti masyarakat setempat.
“ Apa yang amat penting kepada saya, para ibu-ibu di kawasan ini sentiasa sedia menyahut cabaran bagi matlamat memajukan kawasan Dun Sukau.
“ Saya mahu dengan wujudnya pelbagai kemajuan di kawasan ini khususnya sebuah Pekan Baru Sukau menjadi realiti, para ibu juga dapat memainkan peranan ke arah kemajuan bersama-bersama golongan muda dan belia,” katanya dengan menambah pengetahuan serta pengalaman hidup golongan membesarkan anak-anak mereka merupakan aset penting ke arah kemajuan negara.
Golongan ibu bapa, kata Saddi, bukan saja berperanan bagi menghalang penglibatan anak-anak mereka dalam gejala yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, tetapi juga memperkasakan soal akidah dan pemantapan moral yang amat penting dalam menseimbangkan pembangunan negara.
Katanya, kaum ibu boleh memulakan pelbagai pendekatan mereka memajukan diri termasuklah mempelajari bidang berkaitan ICT dan apa juga aktiviti boleh memajukan ekonomi mereka di peringkat kecil-kecilan.
Kejayaan yang lebih besar, kata Saddi, tentu boleh dicapai oleh kaum ibu yang ada pada hari ini. Ia berikutan ramai dari kalangan ibu termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar sudah dari kalangan yang berpendidikan dan ramai juga dari mereka dari kalangan siswazah.
Untuk itu, beliau mahu golongan tersebut turut mengambil peluang menerapkan minat masing-masing dalam bidang ICT, khususnya melalui Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) yang diwujudkan di dalam Sukau bagi tujuan meneroka lebih banyak pengetahuan selain mendapatkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti kerajaan..
Pada majlis itu, Saddi menyatakan rasa gembiranya kerana jawatankuasa penganjur Hari Ibu kawasan itu bukan saja mendapat kerjasama masyarakat setempat, tetapi diberikan sumbangan oleh syarikat-syarikat pelancongan di kawasan ini bagi menjayakan Hari Ibu.
Kata Saddi, penghargaan tinggi diberikannya kepada Dr. Isabelle Lackmen Ancrenaz, Pengarah Urusan Kinabatangan Orang Utan Concervation Project kerana beliau sentiasa berdamping rapat dengan seluruh masyarakat di kawasan ini, seterusnya sudi menyumbangkan derma kepada kaum ibu di kawasan ini bagi menjayakan aktiviti berkenaan.
“ Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr. Isabelle kerana beliau sudah kerap memberikan sumbangan kepada program-program kemasyarakat di kawasan ini. Ini menunjukkan hubungan baik di kalangan penduduk dan pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan (ngos) di kawasan ini,” katanya.
selesai