Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Rencana

“DOAKAN SAYA,” SADDI
(Di SEBALIK ILTIZAM MEMPERJUANGKAN ISU PENDIDIKAN DUN SUKAU)

“Sudah waktunya saya memberi tumpuan soal bagaimana mempertingkatkan tahap pendidikan  dalam Dun Sukau.

Ia bukan hanya mengambilkira soal memperkasakan soal memperkasakan secara fizikal berkaitan infrastruktur pendidikan kawasan ini.

“Tetapi yang pentingnya bagaimana menganjak generasi pelajar menguasai persekitaran moral dan emosi yang bernilai tinggi, memiliki prestasi pencapaian ilmu dan bidang ko-kurikulum bersifat holisitik, mampu seiring dengan gagasan transformasi pendidikan yang terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terus ditagih. Ia  membolehkan ‘anak-anak Sukau’ selesa bersaing (di peringkat global) secara progresif, kreatif, berinovasi serta berpandangan jauh.

Akhirnya, bekas-bekas pelajar cemerlang ini akan sedia memiliki kebolehpasaran untuk kembali memberikan perhidmatan dan pembelaan kepada rakyat Dun Sukau pada masa depan,” katanya.

Ini antara  iltizam murni Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman yang dimasukkannya dalam pelan pembangunan baru pada khidmat dan kepimpinannya sebagai wakil rakyat di kawasan tesebut.

Beliau menggariskan pendekatan ini secara lebih serius, terancang dan berangkai di segenap Dun Sukau. Ia selepas  beberapa tuntutan pokok meliputi hal-hal pembangunan sosioekonomi di bawah lima makmal iaitu Makmal Tanah, Makmal Kebajikan dan E Kasih, Makmal Belia dan modal insan dan pembangunan Dun Sukau, diikuti usaha penarafan kampung-kampung telah menunjukkan banyak hasil untuk terus dikembangkan di bawah khidmat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dun Sukau.

Pengerusi Korperasi Pebangunan Desa (KPD) ini pernah menyuarakan di hadapan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paris dan SMK Sukau, kemudian  badan itu mewakili sekolah-sekolah rendah, bahawa sudah waktunya untuk beliau mengakhiri ‘tempoh bertenang’ menghadapi segala isu kekurangan dan kemunduran pendidikan di kawasan ini.

Namun Saddi menegaskan, segala tumpuan itu amat memerlukan gandingan kerjasama semua pihak.

Kerana di sebalik harapan itu, ia bukan saja mensasarkan keujudan prasarana pendidikan yang moden di kawasan ini. Tetapi turut menjurus kepada pengisian nilai kecemerlangan, seiring dengan pengaplikasian ilmu lengkap dalam minda para pelajar, sebelum ia dikongsikan rakyat bagi mengujudkan sebuah bentuk masyarakat modal insan Dun Sukau berkualiti dan dihormati suatu hari nanti.

Memangpun kepada Saddi tidak akan ada komporomi dalam soal prinsip bagi memartabatkan soal pendidikan negara, termasuklah di kawasan ini.


“Namun perlu langkah-langkah besifat ‘pre-emptive action’ merangkumi pelan induk pembangunan pendidikan yang menyeluruh, demi mempastikan pendekatan baru menjayakan gerakan membangunkan sektor pendidikan itu, selain demi menyelesaikan isu pendidikan yang tertangguh di dalam Dun Sukau.

Menurut Saddi, gagasannya kali juga adalah sebahagian ‘blue print pembangunan Sukau yang telah beliau cetuskan sejak mula memberikan khidmat sebagai wakil rakyat tahun 2008.

Isu pendidikan di kawasan ini, pada Saddi, terbahagi kepada dua peringkat keperluan dan penyelesaiannya. Ia melibatkan isu dan tuntutan jangka pendek dan jangka panjang.

Menurut pemantauan kakitangan Unit Pimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dun Sukau, selain sebahagiannya bergantung kepada aduan anggota-anggota badan PIBG serta sumber guru-guru dan ibu bapa sebelum ini, antara isu yang terus mengekang kecemerlangan pendidikan di sini ialah soal kelemahan kemudahan infrastruktur pendidikan di sekolah-sekolah tumpuan.

Ia diikuti kemudahan prasarana dan rumah-rumah guru, soal kemudahan ICT dan prasarana Bilik Makmal Sains yang adakalanya tidak lengkap dan gagal berfungsi di kebanyakan sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, terdapat projek pembangunan itu yang gagal disiapkan mengikut piawaian kerajaan. Kelemahan ini turut menggariskan kedudukan tapak pembangunan segelintir sekolah yang dirasakan tidak lagi relevan, serta  menghadapi kekurangan sumber ilmu serta persekitaran persekolahan yang tidak kondusif.

Ini kerana kedudukan sekolah sudah dikelilingi kediaman penduduk, tidak memiliki kemudahan pagar serta pengawasan yang boleh menggangu perjalanan sistem pemebelajaran yang disediakan pihak sekolah.

Kedudukan pembelajaran yang statik bukan saja berakhir di sini, tetapi menyaksikan ketidakseimbangan penyaluran ilmu wujud di kawasan ini kerana sekian lama belum memiliki sebuah sekolah agama menengah di sini, sejak merdeka.

Saddi tidak memiliki forum yang cukup meluahkan segala isu berkaitan kelemahan pendidikan di kawasan ini, melainkan menyampaikannya pada setiap persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), untuk diketengahkan seorang anggota kabinet negeri yang diberi tanggungjawab sebagai Exco Penidikan, khusus mewakili Sabah.

Namun hujah beliau setakat di sidang ini, masalah pendidikan terus menjadi kemelut besar dalam program sosiopembangunan di kawasan ini, malah sudah di lihat sebagai retak menjadi belah dan amat memberi kerugian berpanjangan kepada rakyat.

Maka anak seorang anak bekas imam kampung yang memasuki fasa separuh panggal kedua perkhidmatannya sebagai wakil rakyat ini telah memendam keinginan menemui Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, agar beliau dapat menghurai serta merungkai segala permasalahan pendidikan yang wujud di dalam Dun Sukau, sekaligus mendapat pertimbangan terbaik pemimpin No 2 itu.

Ia termasuk membincangkan isu kelewatan pembinaan bangunan baru Sekolah Menengah Kebangsaan Sukau yang telah diluluskan beberapa tahun lalu, namun dilaporkan telah ditarik balik peruntukannya hanya beberapa bulan lalu,  tanpa sebab yang jelas dari kemennterian itu.

Sebagai rekod, terdapat hanya dua buah sekolah menengah dalam kawasan Dun Sukau. Namun lebih 10 buah sekolah rendah dibina di kawasan ini yang sebahagian darinya diwujudkan sebelum merdeka. Sebahagiannya berfungsi di persekitaran 16 buah kampung nelayan dalam Persisiran Pantai Dun Sukau yang ditadbir Jabatan Pelajaran Sandakan.

Sekolah-sekolah rendah dan menengah yang ditempatkan tanah besar Kinabatangan ditadbir terus oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kinabatangan, berpusat di Pekan Bukit Garam.

Kedudukan Dun Sukau secara geografinya hampir dengan bandar Sandakan. Itu penyebab sebahagian daripada pentadbiran kampung-kampung serta agensi-agensi kerajaan termasuk di kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau ditadbir Majlis Perbandaran Sandakan (MPS). Di tanah besar melibakan kawasan Mukim Sukau dan mengunjur ke kawasan Kampung Paris dan Litang  ditadbir Majlis Daerah Kinabatangan (MDK).

Kawasan Dun Sukau sebagai laluan utama samada ke Bandar Sandakan dan Lahad Datu ini tidak mendapat banyak manfaat pendidikan berbanding keduda-dua daerah, walaupun sekian lama memiliki infrastruktur pendidikan lebih baik,  termasuk keujudan cawangan-cawangan kolej dan universiti yang sudah dikenali berdaya saing tinggi.

Maka tidak hairan, jika limpahan pelajar setiap tahun dari kawasan Dun Sukau memasuki ke pusat kolej dan IPT di dua bandar ini amat kurang. Kerana ia banyak bergantung kepada keupayaan  pencapaian peperiksaan akhir sekolah menengah. Ia diikuti faktor ekonomi keluarga dan soal logistik.

Kurangnya usaha dan kempen bersepadu dari kalangan pemimpin setempat juga mengakibatkan pencapaian pendidikan di kawasan tumpuan pelancongan antara yang dikenali di dunia ini berada di tahap jauh lebih rendah berbanding daerah-daerah mundur di Sabah.

Memang belum ada statistik lengkap berkaitan pencapaian pendidikan di kawasan ini dari tahun ke tahun sebelum ini, namun kelemahan golongan pelajar di kawasan ini turut diakui sendiri oleh banyak pihak, tidak terkecuali kalangan guru dan kakitangan Jabatan Pelajaran itu.

Alasannya mudah, perbezaan antara sistem pembelajaran yang ditawarkan kementerian dan kemudahan pembelajaran yang dinikmati sebahagian besar sekolah rendah dan menengah di kawasan ini, tidak teratur dan masih ditakuk ‘daif’.

Dalam ketika dilaporkan usaha penduduk kampung seperti dalam Mukim Litang. Iaitu di bahagian ulu Dun Sukau yang memerlukan pembinaan sebuah sekolah menengah bagi menampung kewujudan lebih lima buah sekolah rendah di kawasan berkenaan,  kedudukan infrastruktur serta prasarana di sekolah menengah SMK Sukau dan SMK Paris masih meruncing dan belum dapat diatasi.

Pada Saddi soal perkongsian kerjasama dan pandangan yang lebih ideal di kalangan semua pihak demi menjana pembangunan ilmu di segenap kawasan ini sudah amat ditagih. 

Awal Febuari lepas, Saddi menerusi satu program bantuan di bawah khidmat korporat sosial Korperasi Pembangunan Desa (KPD) telah mengajak semua guru-guru samada menerusi kesatuan perkhidmatan berkenaan atau PIBG sekolah masing-masing supaya mengemukakan sebarang pandangan dan cadangan kepadanya berkaitan  masalah-masalah yang sekian lama mereka hadapi dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan DUN itu untuk diatasi.

Dengan bersimapati kepada nasib guru-guru yang  adakalanya terpaksa berulang alik daripada kediaman mereka di bandar, atau sanggup meradah laut yang kadang-kadang bergelora untuk bertugas, Saddi berpendapat perbincangan terbuka antara beberapa pihak akan mampu memberi alternatif berkesan menyelesaikan berkaitan isu-isu kediaman dan prasarana pendidik di kawasan itu.

“Saya ingin sebenarnya menerima pandangan dan cadangan secara langsung daripada guru-guru dan pihak PIBG tentang apa saja demi kebaikan pendidikan di kawasan ini.

“Kalaupun cadangan-cadangan itu melibatkan peruntukan besar di luar kemampuan saya, apalagi nilai peruntukan seorang Adun yang agak terhad, maka saya akan berusaha dan mencari jalan mengetengahkannya ke peringkat atasan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Saddi berkata, pembelaan ke atas profesion perguruan di negara ini bukan hanya sekadar mengambilkira tangga gaji mereka.

“Tetapi keselesaan memberikan perkhidmatan, ‘menurunkan segala ilmu’ demi kecemerlangan masa depan negara bangsa yang terus bersaing di peringkat global,”

Saya seringkali memberi ingatan bahawa agar para pelajar tidak sekadar kaya dengan perolehan ilmu akedemiknya. Tetapi harus menguasai kesimbangan ilmu bagi kekuatan jasmani,  rohani dan spiritual yang berpegang teguh kepada ajaran serta syariat Islam.

“Penguasaan ini adalah bagi membentuk sebuah sahsiah pelajar dan masyarakat madani,  yang bukan saja  cemerlang di dunia tetapi berjaya di akhirat, kerana menjadikan imu yang dimilikinya untuk kebaikan semua,” katanya.

Merujuk beberapa ucapan Saddi sebelum ini, wakil rakyat berwawasan ini mahukan agar golongan pelajar itu jika berjaya menamatkan pelajaran mereka kelak mampu meneruskan agenda pembangunan di kawasan Dun Sukau yang antara lain dicetuskannya seperti kewujudan projek pembangunan Pekan Baharu Sukau, Bandar Bio-Diversiti yang merangkumi matlamat menstrukturkan semula sistem pentadbiran daerah dalam kawasan itu (Dun Sukau).

Ia diikuti matlamat mengujudkan Kawasan Penempatan Nelayan Moden di Persisiran Pantai Dun Sukau yang kini dalam peringkat cadangan, bertujuan melonjakkan pembangunan ekonomi rakyat seiring dengan pencapaian negara maju.

Sukau kata Saddi turut memiliki banyak keistimewaan ekonomi terrmasuk kedudukannya sebagai pusat tumpuan pelancongan bertaraf dunia, penghasilan pelbagai sumber asli dan banyak lagi yang terus menanti kehadiran kalangan modal insan ke sini yang sedia bersaing di peringkat global.

Harapan Saddi untuk ‘melihat’ kehadiran generasi berilmu itu kelak dapat dilihat pada ketika beliau meluluskan cadangan seorang Pengetua SMK Paris, Saudara Tanggavelu minggu lalu yang berhasrat mengujudkan sebuah pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah itu dengan menelan kos RM24,000.

Ketika mengumumkannya Saddi berkata, “Walaupun saya tidak tahu bagaimana mencari peruntukan untuk permohonan yang dipohon ini, tetapi saya mengambil keputusan meluluskan permohonan ini.

Perkara ini wajib saya lakukan, walaupun sebenarnya beliau tidak tahu di mana mencari peruntukan sebanyak itu, pada ketika peruntukan tahunan diterimanya dari kerajaan  amat terhad.

“Tetapi apa dapat saya gambarkan, para pelajar ini sedang mengharungi kepayahan dan kesukaran untuk mencari dan menelaah ilmu demi mendapat kelulusan cemerlang.

“Mereka juga sebenarya sedang bersaing dengan para pelajar di luar daerah ini yang memiliki prasarana pendidikan mereka yang jauh lebih baik dan moden,” kata Saddi.

Oleh itu wakil rakyat ini sentiasa mengarapkan doa dan restu rakyat agar beliau berjaya menyesaikan semua isu pendidikan itu.

“Saya juga mengharapkan agar diberi peluang menemui Menteri Pendidikan dalam masa terdekat ini agar saya dapat  menyampaikan beberapa perkara penting demi memperjuangkan isu pendidikan di kawasan ini,” katanya.