Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Nasib 30 buah keluarga dari Kg Sukau yang terlibat diusir Mahkamah akan terbela


Saddi menerima permohonan tanah oleh 33 keluarga terlibat yang diketuai Dolmat ambil disaksikan Ketua Anak Negeri, Pastor Haji Mansor, di pejabat wakil rakyat Dun Sukau itu
Gembira…. Dolmat menyuarakan kegembiraannya kepada Saddi di atas peluang yang diberikan  pihak kerajaan


Kesemua 30 buah keluarga yang terlibat diusir Mahkamah kerana menduduki kawasan  tanah  haram di sini sejak berpuluh tahun lalu di sini, menarik nafas lega apabila mereka ditawarkan memohon sebuah kawasan tanah kerajaan untuk tujuan pertanian semula.

Kumpulan itu yang diketuai Dolmat bin Dulamit, mengemukakan borang Permohonan tanah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman bagi membolehkan mereka disenaraikan sebagai pemohon di pejabat berkenaan di sini.

“Saya amat simpati dengan nasib mereka. Sejak diusir, ada sebahagiannya menumpang di rumah keluarga,  ramai lagi menyewa rumah di merata kawasan termasuk di sekitar Daerah Kinabatangan dan Bandar Sandakan,” katanya.

“Maka, saya  mencadangkan kumpulan ini memohon  sebuah kawasan tanah kerajaan di dalam kawasan Dun Sukau agar mereka dapat memulakan hidup baru.  Bagaimanapun kita berharap  pihak Jabatan Tanah dan Ukur mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya.
Menyatakannya selepas ditemui enam orang wakil kumpulan itu, Saddi berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan keputusan yang diambil penduduk berkenaan menimbang cadangannya.

Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah itu berkata, sekiranya permohonan penduduk tersebut berhasil, masyarakat terlibat dapat mengubah masa depan ekonomi mereka menerusi bidang perladangan kelapa sawit.

Difahamkan, isu pendudukan tanah haram itu tercetus apabila mahkamah membuat keputusan mengusir 30 keluarga terlibat,  sebaik saja pemilik tanah berkenaan mengemukakan saman kepada kumpulan itu di mahkamah beberapa tahun lalu.

Kawasan tanah sekitar 480 ekar terletak kurang 2km daripada tapak pekan baru Sukau itu, disahkan mahkamah magistret Sandakan sebagai milik pihak plaintif dan penduduk yang mendiaminya secara haram wajib meninggalkannya serta merta.

Bagaimanapun, tindakan sebahagian penduduk enggan mematuhi perintah menyebabkan sekumpulan wakil pemilik tanah yang ditemani pihak mahkamah dan polis melakukan pengusiran besar-besaran,  termasuk meroboh rumah-rumah yang sudah sekian lama didirikan di situ. Beberapa orang lagi penduduk dari kumpulan itu dikenakan tindakan penjara  kerana kesalahan menghina mahkamah.

Saddi yang beberapa kali dihubungi penduduk supaya merayu pemilik tanah terlibat melonggarkan keputusan, selain meminta campurtangan kerajaan, tidak dapat berbuat apa-apa,  kerana  mahkamah sudah membuat keputusannya.

Bagaimanapun wakil rakyat itu telah mencadangkan penduduk terlibat supaya akur dengan keputusan itu, sementara beliau berusaha mencari kawasan tanah yang sesuai untuk menempatkan semula mereka.

“Hari ini saya juga lega kerana pendekatan awal kerajaan mengatasi masalah mereka dapat dimulakan. Mereka juga sedia untuk berkerjasama dan gembira.

“Prinsip diambil mereka ini secara tidak langsung memberikan tanggapan yang baik kepada rakyat tentang bagaimana pihak kerajaan benar-benar focus menyelesaikan isu sedemikian demi kebaikan rakyat,” katanya.

Saddi turut menggesa penduduk di kawasan ini supaya sedia memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan terhadap apa juga khidmat yang mereka perlukan, khususnya berkaitan isu pemilikan tanah dan pembangunan di kawasan itu.

“Berikan maklumat yang tepat serta pandangan yang jelas agar kerajaan dapat meneliti masalah sebenar mereka untuk diselesaikan mengiut dasar kerajaan.

“Rakyat juga perlu berhati-hati untuk menduduki sebuah kawasan tanah yang belum dipastikan sebagai milik mereka. Saya harap isu yang berlaku di Kampung Sukau ini menjadi pengajaran,” katanya.