Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi Puji, Kritik dan Selar Pemimpin Semasa Bahas Bajet 2010


Saddi sebelum membahas Bajet Negeri 2010


::KOTA KINABALU:: (16hb November 2009)

“ Peranan saya disibukkan hanya untuk melayani tanggungjawab pentadbiran dua pejabat daerah, tapi rakyat yang saya wakili tidak terbela sepenuhnya.”

Itu antara kata kunci Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman, ketika membahas Bajet Negeri 2010 di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini Isnin.

Beliau menyatakan demikian sebagai menuntut pengstrukturan semula pentadbiran dalam persempadanan kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau, salah satu isu yang pernah dicadangkannya kepada persidangan dewan yang lepas.

Kata Saddi, kawasan Dun Sukau yang memiliki empat kawasan mukim, sejak sekian lama sebahagian darinya ditadbir oleh Pejabat Daerah Kinabatangan dan sebahagian lagi melibatkan kawasan persisiran pantai melibatkan kawasan kampung-kampung nelayan ditabir oleh Majlis Perbadanaran Sandakan.

Katanya, bentuk pentadbiran sedemikian menjadikan bukan saja usaha untuk mengurus pembangunan rakyat di dua kawasan sukar dilakukan, tetapi peranan yang boleh dimainkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan kerap bertentangan dengan kehendak penduduk dan persekitaran sosioekonomi dan politik kawasan itu.

Walhal, kata Saddi, kedudukan pejabat daerah Kinabatangan yang terletak di kawasan Pekan Bukit Garam yang ianya juga menduduki kawasan tanah pentadbiran Pejabat Daerah Tongod, terus memberikan faedah ekonomi dan pembangunan setempat, menjadikan kawasan itu secara langsung memiliki dua pejabat pentadbiran yang menguntungkan masyarakat luar, tetapi tidak banyak memberikan kebaikan kepada kawasan Dun Sukau.

Hakikat itu sudah difahami oleh semua pihak samada kakitangan pihak berkuasa tempatan Pejabat Daerah Kinabatangan, Majlis Perbandaran Sandakan dan rakyat di kawasan itu, kata Saddi.

“ Namun semua persoalan ini perlu dikembalikan kepada kerajaan agar hak pentadbiran dan usaha membangun rakyat ini dikembalikan kepada Pejabat Daerah Kinabatangan.

“ Saya percaya semua pihak bersetuju dengan penstrukturan pentadbiran ini saja memberi tumpuan penuh membangun kawasan Dun Sukau, dapat diterjemahkan sebaik mungkin atas kredibliti gagasan Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,” katanya yang memetik slogan baru dalam perkhidmatan rakyat masa kini dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ke arah memperbetulkan semula kedudukan pentadbiran Dun Sukau, kata Saddi, isu-isu seperti pembelaan kelompok masyarakat luar bandar Sukau yang terdiri dari masyarakat miskin, golongan petani dan nelayan, isu pemilikan tanah rakyat yang belum selesai, isu-isu berlakunya kegagalan projek-projek pembangunan infrastruktur rakyat, malah menjayakan rancangan ekonomi bidang pelancongan, pertanian dan perikanan yang boleh membawa pulangan Perkapita rakyat di sini, adalah antara ‘pakej’ perkhidmatan rakyat yang menuntut komitmennya, para pemimpin berkenaan dan kerajaan BN demi kemajuan kawasan ini.

Saddi memuji keupayaan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman kerana bukan saja mampu lagi menyediakan bajet berangkaikan usaha pembangunan rakyat yang lebih baik, bernilai RM3,304.38, 18 peratus daripada Bajet 2009, tetapi dapat diagihkan lebih tinggi ke kawasan luar bandar termasuk Sukau, yang amat memerlukannya.

Sebelum itu, Saddi menyifatkan pelbagai pengiktirafan yang diberikan badan-badan professional ke atas kejayaan dalam pentadbiran pengurusan kewangan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan itu, satu penghargaan tinggi kepada rakyat negeri ini kerana terus memberikan kepercayaan kepada tokoh yang sudah mendapat gelaran “Bapa Pembangunan Sabah’ itu.

Tetapi Saddi turut tidak melepaskan peluang menyelar pemimpin tertentu di dalam BN kerana mengeluarkan cadangan agar jawatan Ketua Menteri itu digilirkan semula seperti sebelum ini, yang dianggap Adun Sukau itu sebagai satu penghinaan bukan hanya kepada parti Umno sebagai tunggak kepimpinan BN di Sabah, tetapi kalangan rakyat berbilang kaum yang telah memberikan mandat penuh kepada Musa memajukan negeri ini.

Saddi meminta agar peruntukan pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Luar bandar sebanyak lebih RM85 juta di bawah Bajet Negeri 2010 di tambah, manakala peruntukan di bawah Kementerian Pertanian iaitu RM 524.25 juta dan lebih RM112 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, diagih-agihkan secara kemas dan terancang untuk memberikan kepada dua sektor itu yang turut dimainkan rakyat di kawasan Dun Sukau.

“ Kalau boleh saya meminta dewan yang mulia ini mempertimbangkan cadangan saya agar nilai peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui wakil-wakil rakyat yang ditambah RM100,000 menjadi RM600,000 setahun pada bajet kali ini, ditambah lagi pada angka lagi agar ianya ‘viable’ (berdaya saing dalam konteks politik).

“ Jumlah yang ada ini sememangnya belum cukup. Inilah tanggungjawab dan iltizam kami sebagai wakil-wakil rakyat BN, mahu agar rakyat mendapat banyak kebaikan pembangunan ekonomi di bawah gagasan kepimpinan negara yang ada hari ini.

“ Inillah baru dikatakan menjuarai rakyat,” katanya yang memetik ucapan Perdana Menteri sebelum ini, juga ditegaskan lantang Datuk Seri Musa dalam visi dan misi bajet negeri 2010.

Memuji kepada keprihatinan BN negeri kerana memberikan elaun RM500 kepada setiap kakitangan awam negeri sebagai ganjaran terhadap komitmen dan ketulusan mereka berkhidmat kepada rakyat, Saddi berharap pemberian itu membantu menggalas usaha pembelaan terhadap rakyat di luar bandar.

Namun tiba-tiba nada suara Adun Sukau ini menjadi berubah apabila menyuarakan kepentingan masyarakat belia di negeri ini yang gagal ditangani kementerian terlibat.

Sambil memetik isi kandungan Bajet Negeri bahawa
terdapat 44 peratus atau 3.1 juta orang jumlah golongan belia di negeri ini, tetapi menggangap golongan itu telah diabaikan di Dun Sukau, Saddi mahu kementerian terlibat mengambil tindakan drastic dalam menyusun pentadbiran dan perancangan pembangunan belia di situ.

“ Apa tidaknya, sudahlah seorang kakitangan sokongan diletakkan di Kinabatangan bagi menjadikannya pegawai jabatan di sini, tetapi tidak pula diberi kemudahan logistik, tidak ada kenderaan khas, apalagi kakitangan sokongan yang boleh membantunya memajukan masyarakat belia di sini. Apa ertinya ini,” katanya.

Tidak mungkin seorang yang bertaraf pegawai berkenaan mampu menjalankan khidmatnya di sebuah kawasan yang luas di Kinabatangan, seluas negeri Pahang itu, kata Saddi, menggunakan ‘basikal’.

Tidak pernah dia sejak menjadi wakil rakyat, kata Saddi jabatan itu menganjurkan program-program kepimpinan belia serta dalam bidang-bidang pembangunan yang boleh memajukan masa depan masyarakat itu, sebagaimana dititikberatkan kerajaan dulu.

“ Demi kebaikan belia di kawasan ini dan di Sabah, saya sebagai wakil rakyat menuntut kepada menteri dan kementerian terlibat supaya mengatasinya dan melakukan perubahan,” kata Saddi sambil memuji kerangka kerja Ketua Menteri kerana memperuntukkan lebih RM80 juta kepada golongan itu termasuk membinan kompleks-kompleks sukan di beberapa daerah.



Kembali kepada keperluan pembangunan khusus di Sukau, Saddi kemudian mengulangi cadangannya agar satu lagi jambatan yang merentasi Sungai Kinabatangan di Kampung Sukau dapat dibina, bagi menggantikan perkhidmatan feri yang diuruskan pihak swasta di situ, demi faedah rakyat yang akan menjadi pemangkin pengujudan Pekan Baru Sukau.

“ Dengan adanya jambatan ini ianya ianya bukan saja menyingkatkan lagi masa perjalanan ke kampung-kampung dalam kawasan Dun Sukau yang terletak bersempadan Daerah Lahad Datu, di kawasan Ulu Sungai Segama, tetapi satu anjakan ekonomi yang boleh menjana kedudukan rakyat khususnya Pekan Baru Sukau kelak.

Dalam soal tuntutan rakyat berkaitan perkhidmatan pihak kerajaan di sini, Saddi meminta supaya jumlah doktor perubatan dapat ditambah di Hospital Daerah Kinabatangan berbanding hanya tiga orang ketika ini termasuk berjawatan Pengarah Hospital, bagi menampung keperluan lebih 70,000 penduduk Dun Sukau (banci penduduk 1999).

Beliau juga mahu pembinaan semula kelinik kesihatan Kampung Sukau yang musnah terbakar beberapa tahun lalu bagi mengimbangi perkhidmatan tersebut di kawasan yang bakal menerima pembangunan baru, khususnya Pekan Baru Sukau itu.

Saddi turut meminta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) supaya mengujudkan sebuah sekolah pendidikan agama Islam di dalam Dun Sukau, diikuti usaha menaiktarafkan bangunan sekolah rendah dan menengah Kampung Sukau yang tertangguh pembinaannya di kawasan yang dicadangkan.

“ Dua keperluan ini memang penting. Bayangkanlah walaupun kawasan pantai timur Sabah ini sudah menerima kedatangan ajaran Agama Islam sejak awal kurun ke 18, tetapi daerah ini belum ada sekolah agama sendiri.

“ Demikian juga jika usaha mencari tapak bangunan sekolah rendah dan menengah itu sukar, saya menawarkannya dilakukan di kawasan tapak Pekan Baru Sukau. Saya meminta Jabatan Pelajaran Negeri memandang serius perkara ini,”katanya.

Selesai.