Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi, Perjumpaan Bersama Rakyat Di Batu Putih

Sudah tertunai, Saddi menyampaikan sumbangan dua alat penghawa dingin kepada sekolah SK Batu Putih kepada salah seorang guru berkenaan, sambil disaksikan Sharin dan Sabran.



Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, sikap sedia berkorban harus tersemat di jiwa setiap rakyat di kawasan ini agar mereka mampu merealisasikan tanggungjawab memenuhi ekonomi dan pembangunan kawasan ini.


Kata pemimpin itu, jiwa yang mantap dengan kesedaran serta minat yang tinggi merubah diri, keluarga dan masyarakat menjanjikan segala kemajuan itu.


“ Maka apabila setiap individu rakyat tahu tanggungjawab mereka, ditambah dengan pemimpin akar umbi yang bijak merealisasikan amanah, saya yakin seluruh Dun Sukau dan Kinabatangan akan terus menikmati kemajuan lebih pesat dalam konteks sosioekonomi, rohani dan rangkaian pembangunan secara pantas,” katanya.


Berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat, sempena Hari Raya Korban di Dewan SK Batu Putih di sini, Sabtu lepas, Saddi berkata, jalinan persefahaman dan tanggungjawab yang semakin erat kalangan penduduk, bakal menghampiri pencapaian itu.


Saddi berkata, secara keseluruhannya, dia sudah menggariskan halatuju membangunkan Dun Sukau yang bukan saja mensasarkan kepada kemajuan prasarana rakyat di setiap zon dan mukim, tetapi limpahan ekonomi yang bakal dinikmati takyat.


Semenjak diamanahkan sebagai wakil rakyat di kawasan ini, katanya, beliau memfokuskan kepada usaha pembangunan rakyat, diikuti usaha pengujudan sebuah pekan baru Sukau yang turut menekankan kepada perlunya soal pengstrukturan semula pentadbiran kerajaan di dalam daerah Kinabatangan.


Sambil menghuraikan akan hikmah korban dengan kesediaan Nabi Ibrahim A.S. menyembelih anaknya atas perintah Allah SWT, Saddi berkata, pengorbanan yang paling dituntut ialah rakyat turut memberikan komitmen serta sokongan terhadap usaha itu.


Saddi menambah, Dun Sukau yang kini sedang di bahagikan kepada dua sistem pentadbiran iaitu di bawah pengawasan Pejabat Daerah Kinabatangan, selain Majlis Perbandaran Sandakan melibatkan kawasan persisiran pantai kawasan itu, memerlukan sebuah tadbirurus menyeluruh, sebati dengan kehendak dan aspirasi rakyat, di bawah pendekatan yang sedang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.


Kekalutan dalam sistem pengurusan pentabiran, usaha pembangunan serta sumber modal insan di segenap kawasan ini, katanya, amat perlu diperbetulkan dengan gagasan perkongsian kerjasama, idealisma (berkaitan dasar kerajaan) yang rapat di antara rakyat, para pemimpin di peringkat kawasan serta kerajaan.


“ Tuntutan inilah yang saya terus luahkan, malah diperhaulusi dan diperjelaskan pada penunaian tanggungjawab, terutama pada sesi sidang dewan undangan negeri agar kerajaan mendengar rintihan dan pandangan kita ke arah mencapai maksud pembangunan yang kita cita-citakan,” kata Saddi yang mendapat tepukan gemuruh rakyat yang hadir.


Kata Saddi, bagaimana rakyat di kawasan itu dapat menikmati agihan dan pulangan dari segi faedah pemilikan tanah berasaskan skim dan bantuan-bantuan subsidi kerajaan, menyertai program-program ekonomi setempat, apalagi dengan hasrat mnemperkasakan pelaburan ekonomi rakyat, jika soal penyelesaian sumber tanah gagal ditangani, hanya berpunca dari kekalutan dan ketidakselarasan sistem pentadbiran kerajaan di daerah ini..


“ Samada Dun Sukau mendapat peruntukan yang jauh lebih besar, apalagi sebenarnya kawasan ini menyediakan banyak sumber ekonomi, tetapi atas nama kemajuan yang sebenarnya mutlak untuk rakyat tidak akan tercapai, jika tuntutan yang ada sekarang tidak dapat dipenuhi,” katanya.


Dua ekor lembu disumbangkan wakil rakyat itu di mukim ini sempena Aidil Adha, sebelum ianya diagih-agihkan kepada para penduduk.


Sambil menegaskan, kerajaan BN hari ini adalah sebuah kerajaan yang liberal, dinamik dan proaktif bagi menyelesaikan apa juga masalah rakyat, Saddi berkata, gagasan Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan adalah ‘petunjuk’ kepada cita-cita menikmati pentadbiran kerajaan yang tersusun di kawasan ini, dengan hasil yang lebih baik boleh dinikmati rakyat.


Respon dengan beberapa permintaan pembangunan ekonomi rakyat di Mukim Batu Putih disuarakan Pengerusi JKKKnya, Sabran Adari, wakil rakyat itu berkata, beliau akan bersedia membantu berasaskan kerjasama yang padu semua penduduk di kawasan itu.


“ Selagi kita mampu menterjemahkan maksud pengorbanan, apalagi di bulan penuh makna ini, keperkasaan akidah berkerjasama dan kesedaran merubah diri yang tercetus di sanubari kita pasti menjanjikan sebuah Sukau yang berjaya menuju daerah sifar kemiskinan, setidak-tidaknya tidak jauh dari sasaran kerajaan negeri hanya pada tahun depan (2010) dan bersama-sama Sabah menjadi negeri maju pada tahun 2015,” katanya.


30hb November 2009