Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Hospital Kinabatangan Kekurangan Doktor


Saddi menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Dr. Isma pada Hari Keluarga Kakitangan Hospital Daerah Kinabatangan.




Saddi menyampaikan Sijil Penghargaan kepada kakitangan terbaik bulanan Hospital Daerah Kinabatangan, sambil diperhatikan oleh Dr. Isma dan Hajah Aminah.


SUKAU ::

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mengharapkan agar usaha menempatkan lebih ramai doktor pakar di Hospital Daerah Kinabatangan di sini diperhebatkan, sebagai sebahagian azam pihak hospital berkenaan meningkatkan khidmatnya kepada rakyat.

Saddi berkata, Kementerian Kesihatan perlu diberikan kefahaman yang lebih berhubung kekurangan doktor di hospital itu dan ianya perlu ditangani segera bagi menghadapi pelbagai situasi berkaitan permasalahan kesihatan rakyat termasuk kesan dari penularan wabak HINI yang sedang melanda dunia.

“ Saya terima ikrar yang diberikan Pengarah Hospital, Dr. Isma Abdul Hamid berhubung tekad pihaknya meningkatkan khidmat hospital kepada rakyat. Walaupun ini bukan suatu yang mustahil dengan kekuatan tiga orang doktor berkhidmat termasuk beliau, namun matlamat menambah doktor pakar di Kinabatangan dipandang serius.

“ Keadaan sosio ekonomi rakyat di kawasan ini yang belum begitu terurus dan jauh ketinggalan berbanding daerah-daerah lain di negara ini, memerlukan penjagaan serta pengawsan kesihatan lebih padu,” katanya.

Berucap pada Majlis Hari Keluarga dan Kualiti Bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Daerah Kinabatangan sempena Aidilfitri, Saddi berkata, rakyat di kawasan ini khususnya Dun Sukau kecewa berikutan kekurangan doktor di hospital tersebut sekian lama.

“ Kita difahamkan jumlah doktor di sini pada suatu masa dulu empat orang tapi kini berkurang menjadi tiga orang termasuk Pengarah Hospital. Keadaan ini menyukarkan rakyat pada waktu-waktu puncak perkhidmatan doktor diperlukan. Apalagi dengan penularan pelbagai wabak penyakit yang kini melanda dunia,” katanya.

Keadaan bangunan hospital daerah itu yang begitu besar, ditambah dengan kemudahan asas untuk kakitangan yang baik, agak janggal dengan jumlah doktor yang amat kecil.

Saddi yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital berkenaan berkata, peranan lembaga terlibat serta pihak pengurusan hospital tersebut perlu diaktifkan lagi sebagai sebahagian daripada pendekatan bersama menangani isu kekurangan doktor di hospital itu.

Sehubungan itu, Saddi mahu pihak urusetia lembaga itu di hospital berkenaan mengaktifkan lebih banyak mesyuarat bagi menggerakkan tugas-tugas berkaitan.

Mengenai Majlis Hari Keluarga serta usaha peningkatan kualiti kakitangan yang dianjurkan hospital itu, Saddi berkata, ianya amat baik dalam menanamkan minat kakitangan di situ berkhidmat secara lebih berkesan kepada rakyat.

“ Pada saya, khidmat ini akan lebih berkesan jika ianya seiring dengan perancangan kerajaan meningkatkan pembangunan sosio ekonomi rakyat, khususnya dalam kawasan Dun Sukau, katanya,

Dengan peningkatkan taraf kesihatan rakyat, tegasnya, ianya adalah sebahagian jaminan untuk meningkatkan lagi pelaburan ekonomi di kawasan ini khususnya berkaitan dengan industri pelancongan, perladangan dan bidang-bidang urbanisasi di kawasan Sukau.

Katanya, dengan nilai etika perkhidmatan yang tinggi di kalangan kakitangan hospital itu ianya sekaligus mencerminkan disiplin tinggi dan kecekapan bertugas yang akan memberikan keyakinan rakyat dan masyarakat luar untuk terus berada lebih lama di daerah ini.

Saddi kemudian menyampaikan Sijil Penghargaan Kualiti kepada sejumlah kakitangan tersebut bersama-sama timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat, Hajah Aminah Haji Johan, diikuti penyampaian hadiah beberapa acara sempena program tersebut.

Selesai.