Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV



SUKAN RAKYAT PERLU DISERAPKAN DALAM SUKAN KOMUNITI : SADDI

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman mahu agar program sukan rakyat yang dikendalikan oleh Kelab Sukan Komuniti Sukau Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan diangkat sebagai program sukan tahunan peringkat kawasan seluruh Dun Sukau, bermula tahun depan..

Saddi berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk mengisi program pembangunan sukan, selain bagi merapatkan hubungan antara golongan belia dan pemimpin dalam Dun Sukau bagi mengenali dan menyelami segala permasalahan kumpulan sasaran itu.

“ Banyak faedah boleh dikongsi dan diraih apabila kita dapat menyatukan hubungan baik di antara pemimpin dan belia di kawasan ini kerana mereka adalah sebahagian daripada keutamaan negara,” katanya.

Berucap merasmikan Sukan Rakyat Peringkat Kampung Tanjung Aru di sini pada Sabtu lepas, Saddi berkata, Jabatan Belia dan Sukan Sabah dan kelab itu akan berkerjasama bagi menjayakan penganjuran tersebut bagi mencapai misi dan visinya.

Katanya, pelbagai pihak yang boleh memberikan sumbangan menjayakan program itu akan juga diundang bagi mempastikan program kesukanan peringkat Dun itu mariah dan mendapat penyertaan seluruh belia di Sukau.

Kata Saddi, acara sukan tahunan kawasan itu akan diadakan secara bergilir-gilir melibatkan 42 Kampung dalam kawasan Dun Sukau.

Kata Saddi, beliau merasa simpati terhadap golongan itu di Sukau kerana sehingga kini sudah amat jarang diadakan program sukan, apalagi yang melibatkan program pembangunan sukan teras dalam usaha mencungkil bakat-bakat sukan seperti bolasepak, badminton, sepaktakraw dan banyak lagi, yang boleh ditonjolkan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Keadaan seperti itu, kata Saddi, jika berterusan boleh membawa fenomena yang tidak baik terhadap golongan muda dan belia dalam menjayakan pembangunan sukan negara, sekaligus mencetuskan hubungan yang tidak sihat dengan pimpinan kerajaan yang ada sekarang.

“ Mereka (belia) harus diberikan keutamaan. Bukan saja dalam soal pembangunan sukan, tetapi bidang pendidikan dan sosio ekonomi mereka. Kedudukan mereka sebagai aset negara bagi mengambilalih pimpinan akan datang sudah tentu lebih teratur dan cekap jika pembelaan ini sentiasa diperhebatkan,” katanya dengan menambah program sukan yang dianjurkan itu adalah salah saluran penting untuk mendekati golongan tersebut.

Saddi menambahkata, beliau sudahpun memaklumkan Menteri Belia dan Sukan Negeri yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin berhubung hasrat menganjurkan Pesta Sukan Peringkat Dun itu.

“ Menteri itu pada dasarnya menyambut baik cadangan ini dan saya percaya akan ada langkah-langkah seterusnya untuk mempastikan program ini mendapat kerjasama kementerian dan agensi-agensinya kelak,” kata Saddi.

Saddi yakin kedudukan Sukau sebagai salah satu distinasi pelancongan penting di negeri ini akan menjadikan program tersebut salah satu tarikan penting, memandangkan ianya akan menyajikan acara-acara sukan yang bersifat kebudayaan dan mampu menarik kehadiran pelancong asing.

Pada penganjuran Sabtu lepas, beberapa acara menarik diadakan sempena penganjuran itu yang antaranya melibatkan acarapadang, sukan air dan persembahan kebudayaan masyarakat kampung nelayan di Tanjung Aru.

Selesai.