Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

NKRA MENJANA PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR SABAH : YB SADDI

SUKAU : Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, penyertaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW) sebagai salah satu daripada kementerian yang disenaraikan dalam enam teras bidang Keberhasilan Utama Negara ( NKRA) sebagai amat wajar dalam menjana pembangunan infrastruktur di Sabah.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri terhadap pendekatan kerajaan pusat itu, perlu dijadikan agenda besar bagi KPLBW dalam memerangi soal kemiskinan di Sabah, yang sebahagiannya darinya menerusi langkah penyaluran projek-projek pembangunan asas rakyat.

“ Apalagi menerusi pelan tindakan ini, tahun 2012 disasarkan kepada pencapaian ke atas perlaksanaan projek-projek infrastruktur di Sabah melibatkan kemudahan bekalan api letrik dan air dan jalan utama di seluruh Sabah siap sehingga 90 peratus.

“ Sudah tentu kita di Sabah menuntut kepada tumpuan yang berkesan oleh kementerian ini agar bukan saja projek pembangunan yang disalurkan siap, tetapi berkualiti tinggi untuk dinikmati rakyat,” katanya.

Menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terhadap penubuhan NKRA yang berperanan di bawah Indeks Prestasi Utama (KPI) itu, Saddi berkata, langkah baru kerajaan itu sebahagian daripada difinasi terhadap penghususan kehendak rakyat dan pencapaian pembangunan yang diutamakan, di bawah Konsep Satu Malaysia.

Datuk Seri Najib mengumumkan penubuhan NKRA beberapa hari lepas, dengan penyertaan beberapa kementerian selain KPLBW, yang antara lain dalam usaha menjana pembangunan pendidikan, mengurangkan kadar jenayah dan rasuah, mengatasi masalah pengangkutan dan mencakupi kehendak keluarga dan masyarakat, melibatkan kementerian-kementerian terlibat.

Saddi dalam pada itu berkata, dalam konteks kawasan Sukau, tumpuan oleh KPLBW terhadap masalah yang amat diperlukan di kawasan Dewan undangan negeri itu begitu diharapkan di bawah pendekatan NKRA.

Wakil rakyat itu menambah, selain beberapa masalah yang wujud di kalangan rakyat ekoran kekurangan kemudahan seperti bekalan api letrik, bekalan air dan kemudahan jalanraya menghubungkan semua penduduk, pernilaian semula terhadap projek-projek pembangunan yang masih dalam perancangan dan dikendalikan sewajarnya diperkasakan mengikut kesesuaian.

“ Saya mengambil contoh Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Sukau yang diwujudkan di kawasan ini yang dirancang sejak Rancangan Malaysia Ke 8 masih lagi tergendala penyiapannya.

“ Pada saya program pembangunan ini memerlukan koordinasi yang kukuh di antara semua agensi yang dipertanggungjawabkan di bawah KPLBW. Maka di bawah NKRA keutamaan ke atasnya perlu diperhebatkan bagi memenuhi segala kehendak rakyat dan kawasan,” katanya.

Menyatakan terima kasih dan penghargaan ke atas pengwujudan NKRA, kata Saddi lagi, rakyat di luar bandar amat mengharapkan pencapaian program itu yang akan selari dengan aspirasi kerajaan negeri memajukan Sabah di bawah Koridor Pembangunan Sabah dan Halatuju Pembangunan Negeri yang idea penubuhannya, turut dicetuskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Selesai,