Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sedia pertimbangkan segala keperluan rakyat Mukim Litang - Saddi


Bergambar dengan para penduduk Kg Litang
Saddi menyampaikan bantuan beg sekolah kepada anak-anak kampung Litang
Bantuan peralatan sukan kepada golongan belia

 Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, api kebencian rakyat negeri ini kepada pihak pembangkang Pakatan Rakyat sedang  ‘menular’ ekoran ada petunjuk mengaitkan pemimpin pembangkang di negara ini dan konco-konconya bermain sebagai dalang sebenar kepada insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo Lahad Datu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu berkata, insiden pencabulan hak oleh pengganas termasuk melibatkan Kampung Simunul Semporna, mengorbankan sepuluh anggota pasukan keselamatan negara  dan lebih 60 orang di pihak pengganas itu sudah mula memperlihatkan  tanda-tanda muslihat terancang pembangkang  untuk mengujudkan suasana kekacauan di Sabah sebelum PRU 13.

Daripada siasatan awal menunjukkan,  kata Saddi, ada ‘clue’ yang mengaitkan bahawa pihak pembangkang berniat mengucar-kacirkan keamanan di Sabah  agar  negeri ini diletakkan di bawah ‘pemerintahan darurat oleh kerajaan dan mengelakkannya  terlibat menyertai PRU ke 13.

Strategi itu bagi membolehkan Pakatan Rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS di Semenanjung Malaysia serta Sarawak mendapat kemenangan selesa pada pilihanraya kali ini ketika kedudukan pihak pembangkang itu 50-50 dengan BN, tanpa melibatkan Sabah yang  menghadapi huru hara oleh gangguan pihak pengganas.

“ Jika apa yang dllaporkan media di Filipina terhadap andaian itu benar, ditambah gambar  diterbitkan Akhbar Utusan Malaysia melaporkan pemimpin pembangkang negara ini mengadakan pertemuan dengan seorang  pemimpin Angkatan Pembebasan Bangsa Moro (MNLF) Nur Misuari tahun lepas yang boleh dikaitkan dengan niat jahat beliau membawa kehadiran kumpulan pengganas di Lahad Datu, kerajaan boleh mensabitkan dia (Anwar) sebagai petualang no 1 dalam sejarah keujudan golongan pelampau di negara ini,” kata Saddi.

“ Jika pertemuan dua pihak itu wujud, sudah tentu membolehkan pihak pembangkang menjanjikan sebarang ganjaran terhadap kumpulan kumpulan pengganas terbabit, termasuk membolehkan pihak Kesultanan Sulu meneruskan tuntutan secara rasmi ke atas Sabah,” ujar Saddi yang memetik dakwaan sedemikian sudah menular di negara ini.
.
Rakyat Sabah, tegas wakil rakyat itu, sudah menzahirkan rasa marah terhaadap peristiwa pencerobohan pengganas itu yang turut menjejaskan ekonomi negeri ini, tidak terkecauli tindak tanduk yang dimainkan pihak pembangkang sebelum ini yang bukan saja terbukti sanggup menghalalkan segala cara untuk menagih pengaruh dan kuasa politik.

“ Tetapi pembangkang sebelum ini dilihat sanggup merelakan kepentingan rakyat dan negara tergadai semata-mata untuk memuaskan perjuangan politiknya,” kata Saddi.

Berucap pada program Menyampaikan Bantuan  Beg Sekolah yang disumbangkan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, diikuti program bantuan Sentuhan Kasih Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Kampung Litang, sebuah kawasan perladangan kelapa sawit bersempadan  Sukau dan Lahad Datu di sini pada Isnin, Saddi menegaskan, lagu digubah dan dinyanyikan Anwar ‘Tanya Sama Pokok’ yang kini kerapkan ditayangkan TV swasta dan kerajaan,  dapat menggambarkan niat sebenar pihak pembangkang terhadap isu ancaman keselamatan yang sedang berlaku  di Sabah.

Sambil menyanyikan semula lagu itu, Saddi berkata, senikata lagu berkenaan yang berbunyi,  Sabah akan hilang dan BN akan tumbang’ menyimpulkan bahawa Sabah tidak akan mampu menyumbangkan kemenangan kepada BN pada PRU 13 kerana akan ‘hilang’ tanpa alasan yang jelas.

Bagaimanapun, kata Saddi, pencerobohan pengganas di Lahad Datu itu akhirnya berlaku sesudah beberapa bulan satu pertemuan dengan Nur Misuari serta selepas beberapa bulan munculnya lagu Tanya Sama Pokok, lagu asal yang dicipta Seniman Agong Tan Sri P. Ramlee itu.

“ Yang menghairankan mana mungkin ada pihak yang sanggup membiayai  perbelanjaan yang besar terhadap penghantaran pasukan pengganas ke Lahad Datu serta pembelian senjata untuk melancarkan perang kepada pasukan keselamatan negara yang sudah mencecah hampir sebulan itu.

“ Tetapi sebagaimana yang dilaporkan Wikilieaks, pihak pengganas termasuk pemimpin pembangkang di negara ini boleh mengambil kesempatan terhadap dakwaan Nur Misuari untuk menawan Sabah selama dua jam berasaskan  keujudan pasukan gerila MNLF serta tuntutan pihak Kesulatanan Sulu ke atas Sabah, demi kepentingan politik pihak tertentu termasuk pembangkang di negara ini,” kata Saddi.  

Turut menyertai lawatan Saddi ke mukim itu ialah Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Kinabatangan, Sapariah Radin, Pemaju Mukim Litang, Bahari Haji Omarmaya, Guru Besar SK Litang, Saudara Gusmit yang juga Pengerusi Zon Umno Litang dan kakitangan UPKR Dun Sukau.

Saddi menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tunduk terhadap sebarang ancaman keselamatan dan provokasi politik yang boleh dilakukan individu seperti Anwar yang sudah berulang kali mengkucark-kacirkan perpaduan rakyat di negara ini, menerusi Perhimpunan Bersih dan sebagainya.

Kerajaan BN, kata Saddi, sudah mengetahui tanggungjawab dan peranannya untuk terus  mempastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat khusunya di Sabah berikan keutamaan.

Saddi yakin, kerajaan BN akan menjalankan siasatan rapi terhadap Anwar berkaitan isu berkenaan walaupun yakin Ketua pembangkang itu akan melakukan pelbagai dalih dan ‘lakonan’ dalam mengelakkannya, serta mengheretnya  ke mahkamah jika pihak berkuasa memiliki bukti yang cukup.

“ Yang penting, kita termasuk masyarakat pengundi dalam Zon Litang harus membulatkan sokongan padu terhadap kerajaaan BN pada PRU ke 13 dan mencapai kemenangan 100 peratus,” katanya.

Kata Saddi, beliau akan sedia mempertimbangkan segala keperluan rakyat di Mukim Litang melibatkan Kampung Dagat, Sariganda, Kampung Tidung dan Tundun Buhangi, membabitkan beberapa keperluan seperti isu tanah, isu perlantikan iman, kemudahan api letrik dan pembangunan sebagaimana yang sudah diatasinya hampir di setiap kampung dalam Dun Sukau sebelum ini.

“ Samada program penyelesaian itu bersifat jangka pendek dan jangka panjang, saya akan mencari jalan dalam tempoh singkat, Kerana kita mahu pastikan rakyat mendapat pembelaan secukupnya sebelum PRU ke 13,” katanya.