Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Rakyat gembira dengan adanya ESSCOM - Saddi




Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, seluruh rakyat dalam 16 kampung di persisiran Pantai Dun Sukau di sini dapat berkongsi  kegembiraan  kerana  langkah kerajaan untuk menzahirkan Kawasan Keselamatan Khas di Sabah iaitu ESSCOM (Eastern Sabah Security Command) demi masa depan keselamatan mereka yang terus terpelihara.

Wakil rakyat Dun Sukau itu berkata, insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tandou Lahad Datu itu bukan saja memberikan hikmah kepada tumpuan keselamatan di negeri ini, tetapi mampu membangkitkan kesedaran dan ‘fenomena baru’ terhadap masa depan ekonomi negara di sebelah sini secara jangka panjang.

“Apabila kedudukan perairan kita selamat aktiviti maritime seperti sektor pengangkutan, perikanan, pelancongan dan banyak lagi bidang pelaburan masa depan termasuk di sini, sebahagian daripada kawasan perairan tumpuan Esscom akan bertambah lebih baik ekoran mercu tanda keselamatan tersebut dari menghalang pencerobohan pengganas di negara ini berulang,” katanya.

Berucap  merasmikan Program Menyampaikan Bantuan Beg Sekolah yang disumbangkan Koperasi Pembangunan Desa (KPD), sebuah agensi milik kerajaan negeri di sini,  diikuti program menyampaikan bantuan Sentuhan Kasih anjuran UPKR Dun Sukau, Saddi berkata, penduduk di Persisiran Pantai Dun Sukau yang terletak sebagai sebahagian kawasan tugasan Esscom akan turut mendapat limpahan besar menerusi pengawasan keselamatan itu.

Sambil menyatakan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman terhadap usaha merealisasikan cadangan itu, Saddi berkata, tumpuan keselamatan itu memberikan harapan baru kepada rakyat Sabah.

Sehubungan itu, kata  Saddi yang juga Pengerusi KPD itu, beliau akan memberi tumpuan memajukan sektor ekonomi perikanan di kawasan tersebut,  yang melibatkan kepentingan ekonomi lebih 1,000 keluarga nelayan di situ.

“Selain memberikan bantuan yang termampu bagi menjana aktiviti nelayan rakyat, saya akan meneruskan cadangan untuk merealisasikan cadangan mengujudkan sebuah Kawasan Penempatan Nelayan Moden di kawasan perairan ini,” kata Saddi.

Beliau menambah, beliau sedang membuat penelitian untuk mengujudkan kawasan tapak perkampungan tersebut yang bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan nelayan, sebelum ianya dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri dan pusat.

Untuk rekod, kawasan persisiran Pantai Dun Sukau, sebahagian daripada kawasan perairan Pantai Timur di sini melibatkan keperluan sekitar 50 batu notika, membabitkan kawasan Kampung Tundun Buhangin di perairan Lahad Datu dan Tanjung Aru, dalam perairan Sandakan, diletakkan di bawah pengawasaan pentadbiran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), diikuti kedudukan keselematannya di bawah pengawasan  Ibu pejabat Polis (IPD) Sandakan.

“Memang banyak juga bantuan yang sudah diberikan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selama ini, tetapi kita perlu ada inisiatif untuk mengadakan sebuah perkampungan nelayan yang moden dan lengkap ini demi kebaikan rakyat.

“Namun masanya cukup tepat dengan langkah kerajaan mengujudkan  Esscom di kawasan perairan PTS rentetan insiden pengganas durjana di Lahad Datu,” kata Saddi.

Menurut Saddi, pengujudan kawasan penempatan nelayan moden itu akan mampu menseimbangkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di dalam  Dun Sukau, selain wujudnya program Pekan Baru Sukau, Bandar Bio Diversity, di kawasan tanah besar yang secara strategiknya, bakal menempatkaan pusat pentadbiran kawasan itu pada masa depan.    

Kata Saddi, kedudukan pusat nelayan moden yang juga bakal menempatkan wakil badan pentadbiran dalam sektor berkenaan, sekaligus mampu menghidupkan persekitaran ekonomi masyarakat tersebut yang terjejas ekoran aktiviti lanun yang meningkat di sekitar perairan PTS sepanjang tahun 80 hingga awal 90an.

Beliau gembira kerana kerajaan ketika ini telah menaikkan taraf kehiudpan rakyat di sini termasuk kemudahan bekalan air, api letrik dan kemudahan solar serta jalan-jalan kampung yang sudah mula memberikan penduduknya keselesaan.

Dalam pada itu, Saddi menggesa masyarakat nelayan di kawasan persisiran Dun Sukau itu supaya terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan demi kejayaan pengujudan Esscom itu.