Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kg Litang perlukan balai polis - Saddi



Litang KPD, Saddi turut diiringi para pasukan keselamatan di Litang

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mencadangkan kepada kerajaan supaya mengujudkan sebuah balai polis di Kampung Litang bagi memberikan pengawasan keselamatan kepada penduduk, para peladang dan pekebun kelapa sawit di mukim berkenaan.

Saddi berkata, keperluan sebuah balai polis di kawasan berkenaan bukan saja memberikan pengawasan keselamatan setempat, tetapi maklumat yang lebih penting termasuk kehadiran  pengganas untuk disampaikan kepada anggota pasukan keselamatan yang mengawasi Pesisiran  Pantai Timur Sabah menerusi penubuhan Perisai Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“ Saya menyedari dan memahami keresahan rakyat ekoran insiden pencerobohan Pengganas Sulu di Kampung Tondou, Lahad Datu dan Semporna.

“ Walaupun kita dilaporkan oleh pasukan keselamatan bahawa kedudukan di Sabah termasuk di Mukim Litang masih selamat, tetapi secara jangka panjangnya, kita memerlukan keujudan sebuah  Balai Polis di kawasan yang  menempatkan ribuan penduduk melibatkan beberapa kampung seperti Dagat, Kampung Tidung, Sri Ganda dan kawasan didiami ramai pemilik dan pekerja buruh perladangan di Jeroco di sini,”  kata Saddi.

Berucap merasmikan Program menyampaikan Bantuan Beg Sekolah yang disumbangkan Koperasi Pembangunan Desa (KPD), sebuah badan berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri, diikuti program Bantuan Sentuhan Kasih anjuran Unit PKR Dun Sukau,  Saddi berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu secara rasmi kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Sambil mengharapkan cadangan pengujudan Balai Polis itu dapat direalisasikan dalam masa yang tidak terlalu lama, Saddi yang juga Pengerusi KPD itu berkata, kedudukan Dun Sukau yang menyamai keeluasan sebuah  Negeri Johor itu memerlukan lebih ramai anggota polis dan pasukan keselamatan lain berbanding dengan yang ada sekarang.

Dengan menegaskan jumlah anggota keselamatan di seluruh Daerah Kinabatangan yang ada ketika ini  masih agak kecil, Saddi berkata, kehadiran lebih ramai anggota dapat menyakinkan rakyat terhadap usaha mengawal keselamatan rakyat  di sini.

“ Kalau kawasan Dun Sukau ini menyamai kawasan Negeri Johor, apalagi kedudukan Kinabatangan yang lebih besar daripada Pahang. Tetapi kita yakin kerajaan sudah menyadari keperluan anggota keselamatan di dalam Dun Sukau dan Kinabatangan untuk segera diatasi demi raqkyat,” katanya.

Sementara itu, Saddi menggesa masyarakat belia di kawasan ini supaya terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN menjelang PRU ke 13.

Katanya, golongan itu bukan saja perlu bertindak sebagai generasi penerus kepimpinan BN, tetapi bersedia untuk memperbaiki perubahan pembangunan yang  ada demi kebaikan rakyat.

Dengan kesediaan kerajaan mendengar setiap teguran dan keluhan golongan belia, kata Saddi, mereka perlu terus memberikan sokongan terhadap kerajaan yang ada demi mempastikan perancang untuk membantu rakyat berjaya di bidang ekonomi, politik dan pendidikan mencapai kejayaan diharapkan.

“ Menyokong kepada pembangkang seperti Pakatan Rakyat tidak ubah seperti kita meletakkan diri berhadapan dengan penjual ubat yang beracun yang  membahayakan kita jika menerima nasihat dan tunjuk ajar mereka terhadap masa depan politik negara ini,” kata Saddi.