Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kerajaan BN terus gigih majukan rakyat - Saddi


Menyampaikan bantuan kerusi roda kepadapemuda yang lumpuh Damit Amit 
Sumbangan turut diberikan kepada persatuan belia Kg Paris
Para penerima bantuan beg sekolah dari sekitar Kg Paris

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, rasa syukur dan penghargaan  yang  ditunjukkan rakyat terhadap kerajaan akan membolehkan segala program pembangunan dan pembelaan rakyat terus dilipatgandakan termasuk kawasan luar  bandar di sini.

Katanya, kerajaan bukan saja dapat memberikan tumpuan terhadap usaha-usaha pembangunan masih diperlukan rakyat, tetapi mencari jalan serta kepelbagaian bagi mempastikan mereka berjaya memajukan bidang ekonomi setempat ke arah menuju sebuah rakyat maju.

“ Malah Barisan Nasional (BN) berusaha memperkasakan usaha-usaha yang boleh  mempastikan mereka mencapai taraf pendidikan yang berkualiti tinggi dan dibanggakan negara dan yang terbaru memperkasakan keselamatan negara demi kesejahteraan dan kehamonian mereka,” katanya.

Berucap merasmikan Program Penyampaian Bantuan Beg Sekolah yang disumbangkan oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD) dan Program Bantuan Sentuhan Kasih di Dewan Sekolah SK. Paris 3, di sini pada Rabu, Saddi berkata, kerjasama dan perpaduan di kalangan rakyat dan kerajaan membolehkan bantuan seperti itu dapat dijayakan.

“ Program Sosial Korporat (CSR) dikelolakan syarikat badan berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri seperti KPD ini sudah tentu menggambarkan keperihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“ Walaupun sebahagian bantuan ini kecil ia begitu bermakna kerana dapat dilaksanakan berterusan membabitkan kepentingan semua rakyat dalam kawasan Dun Sukau,” katanya.

Sebaliknya, tegas Saddi, pihak kerajaan dan agensi-agensinya tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawabnya, apalagi bergerak lancar memberikan bantuan jika hubungan rakyat dan pimpinan kerajaan berada dalam keadaan kucar-kacir.

Kata Saddi, walaupun penduduk di kawasan Paris 3, sebahagian darinya berkemampuan kerana dari kalangan pekebun-pekebun kelapa sawit tetapi mereka juga menerima bantuan dalam program penyampaian beg sekolah dan bantuan Sentuhan Kasih dikelolakan kerajaan negeri itu.

Program sedemikian, kata Pengerusi KPD Sabah itu, menunjukkan bahawa kerajaan BN bersikap adil dan tidak akan mengenepikan kepentingan mana-mana pihak yang sewajarnya menerima perhatian dan sumbangan.

Berbeza dengan pihak pembangkang, kata wakil rakyat itu, para pemimpinnya hanya tahu membuat apa saja janji tetapi sukar untuk mengotakannya walaupun sudah mencecah Pilihanraya Umum (PRU) 13.

“ Tetapi sikap ini bukan kepada kerajaan BN. Kita berjanji, janji kita ditepati. Kita bukan saja saja mahu mempastikan rakyat di negara ini terbela, tetapi mencapai segala kemajuan yang mampu direalisasikan oleh sebuah kerajaan yang adil dan bertanggungjawab,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengurus Besar KPD Sabah, Haji Awang Salleh Awang Labai,  Guru besar Sekolah SK Paris 3, pemimpin masyarakat kawasan itu yang diketuai Pemaju Mukimnya, Samry Syer Mohamad dan Pengerusi JKKK kawasan itu, Husin Lahaya.

Dalam pada itu, Saddi mengingatkan rakyat supaya meneruskan aktiviti harian mereka termasuk memajukan  ekonomi dengan gigih tanpa perlu mempertikaikan soal keselamatan yang diberikan tumpuan kerajaan.

“ Saya sudah diberikan taklimat pasukan keselamatan  bahawa daerah Kinabatangan masih selamat untuk kita melipatgandakan aktiviti ekonomi…jadi berikan terus tumpuan ke arah kesejahteraan ekonomi bersama,” katanya.

Saddi juga melahirkan rasa bangganya kerana masyarakat Kampung Paris selama ini terus memberikan kerjasama yang padu kerajaan BN dan membuktikan sokongan mereka sehingga PRU ke 12 lepas.

“ Saya tidak ragu-ragu kepada masyarakat pengundi Dun Sukau ini termasuk di perkampungan Paris ini kerana mereka memang setia kepada BN selama ini. Saya yakin dan percaya PRU 13, sokongan seluruh rakyat ini akan lebih jitu,” katanya.