Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kawasan Keselamatan Khas beri manfaat besar kepada penduduk Sabah - Saddi

Saddi menyampaikan mock check RM5,000 kepada DSP Martin sambil disaksikan Arisin, Ustaz Awang Sulung, Sharin dan Amirudin
Saddi bersama-sama penduduk mendoakan keselamatan pasukan keselamatan pada majlis tahlil dan sembahyang hajat di Masjid Daerah Kinabatangan, Bukit Garam
Imam Awang Sulung menyampaikan sumbangan jamaah Majid Daerah Kinabatangan kepada Tabung wira Lahad Datu menerusi DSP Martin



“Saya berani mengatakan apapun bentuk ancaman serta aktiviti penyeludupan akan berakhir dengan wujudnya Kawasan Keselamatan Khas (KKK) dalam perairan Sabah di sini yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Tidak akan ada rakyat yang membantah  keputusan ini.  Sebaliknya ia menggambarkan salah satu kemampuan besar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mempastikan soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sabah terus terjamin, “ kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi haji Abdul Rahman.

Menyatakan perkara ini ketika menyampaikan sumbangan peribadi RM5,000 untuk Tabung Wira Lahad Datu serta Majlis Tahlil dan Bersembahyang  Hajat di Masjid Daerah Kinabatangan di Pekan Bukit Garam di sini, Saddi berkata, rakyat mendiami sepanjang perairan Kudat hingga ke Tawau merasa selamat dengan wujudnya Kawasan Keselamatan Khas itu.

Kata Saddi, penduduk dalam kawasan perairan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dalam kawasan Parlimen Kinabatangan yang turut berhadapan Perairan Sulu,  mendapat limpahan besar daripada langkah keselamatan di ambil kerajaan itu.

“Di kawasan Mukim Persisiran Pantai Dun Sukau, terdapat ribuan penduduk dalam 16 kawasan perkampungan nelayan di sini  juga  merasa terancam ekoran kehadiran Pencoroboh di Kampung Tandou, Lahad Datu sejak lebih tiga minggu lalu.

“Semua penduduk memang amat yakin dengan kekuatan pasukan keselamatan kita. Tetapi sebelum ini,   kawasan perairan  ini juga menjadi sebahagian daripada ‘pintu masuk’ para penyeludup pelbagai bahan larangan, diikuti rakyat asing yang dapat menyusup masuk secara haram ke negara ini,” katanya.

Sebaliknya, kata Saddi,  aktiviti  perikanan di kawasan perairan terlibat termasuk dalam Dun Sukau akan kembali pulih dan mantap dengan penambahan lima batilion pasukan tentera dan polis di bawah pengujudan Kawasan Keselamatan Khas itu.

Sumbangan itu disampaikan Saddi kepada Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Martin Lugu yang turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Arisin Haji Aripin, Imam Daerah Kinabatangan, Awang Sulung Haji Atim  dan Ustaz Sufaih Wagiran yang sebelum itu mengetuai Majlis Tahlil dan Sembahyang Hajat.

Saddi menegaskan, keputusan kerajaan untuk menambah kekuatan pasukan keselamatan tentera dan polis di kawasan terlibat bukanlah suatu yang ‘retorik’.

“Kepada saya, ia jelas menggambarkan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan dalam  memantapkan keselamatan negara dari segala ruang dan ancaman, sebagaimana digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), di bawah Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” ujarnya.

Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa Sabah itu berkata, keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman untuk sedia memperuntukkan kawasan-kawasan tanah yang sesuai  bagi membolehkan penyediaan pusat-pusat keselamatan berkenaan, suatu tindakan yang responsive, sepakat dan  jangka panjang.

“Saya juga menyambut baik keputusan kerajaan yang mengumumkan sumbangan antara RM50 ribu dan RM100 ribu kepada anggota yang cedera dan terkorban di dalam insiden pencabulan hak pengganas di Lahad Datu dan Semporna.

“Segala keputusan kerajaan Sabah ini, jelas menggambarkan bahawa seluruh rakyat dan kerajaan Sabah amat menghargai pengorbanan seluruh anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan kedaulatan tanahair,” katanya.

Saddi kemudian mengajak rakyat di negeri ini khususnya dalam kawasan Dun Sukau supaya sama-sama menghulurkan sumbangan bagi menjayakan kutipan Tabung Wira Lahad Datu, sebagai menghargai sumbangan semua anggota pasukan keselamatan mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

“Tidak ada lain yang boleh kita sumbangkan ialah memberikan sedikit yang termampu ke atas tabung ini, selain kita semua sama-sama berdoa agar semua perwira kita termasuk yang bertugas di daerah ini terus terselamat dari ancaman,” katanya.

Sebanyak lebih RM6,000 dapat dikutip dalam program itu yang selebihnya disumbangkan oleh Masjid Daerah Kinabatangan, Unit PKR Dun Sukau dan sunbangan peribadi Pegawai Daerah Kinabatangan, Arisin Haji Aripin.