Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Isu tanah Koyah selesai!

Osman Jamal memberi penjelasan kepada sebahagian daripada 400 pemohon Skim Pekebun Kecil Koyah A Sukau yang hadir
Saddi menyatakan sesuatu kepada Datuk Bung Moktar

Isu Berkaitan tuntutan tanah oleh 400 orang pemohon Skim Pekebun Kecil Koyah A di sini hampir 20 tahun lalu berakhir apabila kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan rakyat agar tanah tersebut dibangunkan oleh sebuah syarikat yang dilantik kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal berkata, keputusan itu akan dibuat selepas peguam yang mewakili pemohon dan peguam syarikat terlibat memuktamadkan kandungan perjanjian mereka berhubung hasrat pembangunan tanah tersebut.

“ Kita hanya perlu menunggu keputusan perjanjian ini. Berapa cepat kedua pihak menyediakannya, maka kita akan membuat kelulusan termasuk mengeluarkan geran tanah terlibat,” katanya.

Datuk Osman berkata demikian pada majlis perjumpaan para pemohon tanah Skim Pekebun Kecil Koyah A di Dewan Sri Lamag Bukit Garam, di sini pagi Isnin.

Menyatakan pendirian kerajaan terhadap isu tersebut, Datuk Osman berkata,  kerajaan negeri sedia mematuhi semua syarat-syarat yang akan dikeluarkan mewakili kepentingan pemilik tanah dan pemaju berkenaan dalam perjanjian .

Bagaimanapun bagi mewakili kepentingan rakyat dan kerajaan di bawah dasar pembahagian tanah berkenaan, beliau perlu meneliti kandungan perjanjian tersebut demi kebaikan bersama secara jangka panjang.

Datuk Osman Jamal mengakui tumpuan kerajaan terhadap isu itu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman berulang kali mengeluarkan desakan di Sidang Dewan Undangan Negeri termasuk pada pembentangan Bajet Negeri 2013.

Dengan desakan wakil rakyat itu, beliau telah diarah oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman supaya memberikan tumpuan terhadap isu tersebut yang diperjuangkan wakil rakyat itu dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin serta desakan rakyat di peringkat akar umbi.

Saddi dan Bung Moktar, diikuti penasihat undang-undang  mewakili kumpulan pemohon berkenaan, Omar Baki yang mewakili Razak Associate hadir dalam perjumpaan yang berlangsung dengan suasana agak ‘panas’ lebih tiga jam itu.

Sebelum itu, Datuk Osman mengakui beliau telah dizalimi pihak yang tidak bertanggungjawab yang kononnya beliau mempunyai kepentingan melewat-lewatkan kelulusan pengeluaran geran tanah tersebut.

“ Selama berkhidmat lebih 35 tahun dengan kerajaan, tahun inilah agak berbeza dengan saya kerana saya kononnya mempunyai kepentingan dengan Skim Tanah Koyah. “ Sedangkan pada dasarnya, skim tanah tersebut belum dimiliki oleh mana-mana individu rakyat mengikuti prosuder permohonan tanah, belum juga mendapat perakuan kerajaan di bawah skim itu serta menghadapi  banyak lagi kelemahan dalam konteks pemilikan dan pembangunan tanah  mengikut  peruntukan undang-undang.”

Ada pihak yang mendakwa mewakili pemohon mengugut  kerajaan untuk beria-ia membawa perkara ini ke mahkamah tetapi hingga kini tindakan tersebut belum dilakukan, melainkan melalui kenyataan-kenyataan media pro pembangkang, kerana mengetahui tindakan  mereka masih tidak berasas.

Osman turut terkejut apabila pada majlis perjumpaan itu kelmarin muncul seorang yang diketegorikan  sebagai waris pemohon skim itu mendakwa Osman cuba geran tanah berkenaan kerana akan bertanding  sebagai calon pilihanraya di kawasan Kinabatangan pada PRU 13.

“ Demi Allah. Ini semua dakwaan liar. Pasal calon ini. Inipun keterlaluan.  Mana mungkin saya ditawarkan bertanding di kawasan ini. Kalau tawaran itu di Tawau boleh saya terima. Kerana ini tempat kelahiran saya. Di Kinabatangan ini untuk rakyat kawasan ini,”  kata Osman.

Datuk Osman menegaskan, tindakan dibuat kerajaan ketika ini adalah atas arahan Ketua Menteri berhubung kepentingan penduduk Kinabatangan yang terlibat dalam isu itu.

Jabatan Tanah dan Ukur, kata Osman, kini meletakkan nilai pasaran tanah berkenaan sudah mencecah RM10,000 setiap seekar yang bakal menjadi  nilai saham setiap pemohon dalam pelaburan usahasama itu.

Tuntutan isu koyah adalah satu daripada isu tanah yang dimasukkan dalam Pelan Penyelesaian Jawatankuasa Makmal Tanah, Unit PKR Dun Sukau di bawah kepimpinan Saddi. Namun  sebahagian daripada tuntutan tanah rakyat di sini sudah  diselesaikan sejak Saddi memulakan tugas lima tahun lalu.

Datuk Bung Moktar kemudiannya meminta pemohon terlibat supaya berhati-hati dan meneliti kelayakan mereka sebelum menuduh kerajaan dan mana-mana pihak yang sebenarnya berniat baik membantu mereka selama ini.

“ Jangan tuduh seberangan. Mujur juga Datuk Osman dan mereka yang dituduh ini tidak membawa mereka yang terlibat ke mahkamah. Kerana  sedar, pihak yang menuntut ini adalah rakyat yang sebenarnya memerlukan pembelaan. Saya harap semua dakwaan jahat ini telah berakhir,” katanya.

Bercakap mengenai perkara itu dengan para wartawan kemudiannya, Osman berkata, pihaknya akan menilai kemampuan menyeluruh  syarikat yang dilantik kerajaan itu dari bentuk program pembangunannya dan kewangannya sepanjang usahasama kedua pihak itu berjalan.

“ Namun pada dasarnya, kerajaan yakin bahawa syarikat yang membangunkan tanah berkenaan adalah berkelayakan. Kerana ia adalah anak syarikat besar yang kini disenaraikan di papan Utama Bursha Saham Kuala Lumpur.

“ Namun secara keseluruhannya, saya menunggu perjanjian usahasama kedua pihak demi faedah dan masa depan rakyat kawasan ini,” kata Osman, menyifatkan peranan  pihaknya membela rakyat sampai bila-bila selagi Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini.