Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Golongan belia Kinabatangan akan terus bersama BN


Saddi bergambar kenangan dengan Jawatankuasa tertinggi Persatuan Belia Tulun Tokou selepas merasmikan program senamrobik dan Hiking anjuran badan itu di Kampung Paris 1.
Saddi menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejuaraan Pacuan 4x4 berhalangan di Kampung Paris 1
Saddi menerima cenderahati daripada Titing yang mewakili pihak penganjur


Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, proses memilih pemimpin masa depan boleh terbantut jika golongan muda yang diberi peranan itu gagal menyediakan platform berkesan dalam menentukan masa depan dan halatuju kepimpinan rakyat.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu, golongan berkenaan bukan saja perlu mempastikan ketrampilan mereka sebagai asset penting negara yang boleh membuat keputusan bijak serta dinamik.
“Tetapi menjadi generasi pelapis bernilai tinggi, sentiasa sealiran pemikiran serta harapan rakyat, sambil setiap mereka mampu berinovasi, kreatif dan bersifat ‘pembangun’ dalam membawa negara menjadi pemain global di semua bidang, seiring status negara mencapai negara maju di tahun 2020,” katanya.

Berucap merasmikan Program Senamrobik dan Hiking anjuran Persatuan Belia Tulun Tokou di Dataran Paris 1 di sini pada Sabtu, Saddi berkata, kerajaan menyediakan perancangan mudah memajukan belia, apabila setiap mereka sedia bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan segala hal.

Samada kerjasama itu berasaskan tuntutan pembangunan ilmu, sukan, ekonomi dan perpaduan, kata Saddi, semangat jiwa kental dan berdarah muda golongan belia boleh diasah dan diasuh ke arah kebangkitan sebuah masyarakat setempat yang menjadi contoh dan boleh meraih penghasilan berkesan untuk faedah bersama.

“ Pencapaian dan kemampuan belia memang dilihat masih begitu muda dan kurang di Kinabatangan. Saya kerap suarakan segala kelemahannya di sidang dewan dan mana-mana forum di kawasan ini. Banyak yang perlu diperbaiki dan diperkasakan.”

“ Saya juga amat memerlukan kelahiran golongan belia di Kinabatangan yang progresif, ada jati dirinya…bukan saja untuk memberi faedah kepada pembangunan bersama, tetapi kepada keperluan khusus serta jangka panjang golongan ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Belia Tulun Tokou, Puan Siti Farha Awang Japar, diikuti para pemimpin belia dan badan-badan Ngo mewakili kawasan Kinabatangan, Lahad Datu dan kampong berkenaan. Turut hadir dan memberikan ucapan ialah Pegawai Belia kawasan Kinabatangan, Titing Abdul Rahman, Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman, dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Dun itu, Amirudin Mohd Damit.

Dalam program anjuran belia itu kira-kira 100 orang belia menyertai program senam robik di sebelah paginya, menakala sebahagian lagi menyertai aktiviti berjalan kaki sepanjang lebih 10km berulang alik daripada Kampung Paris 1 ke Batu Tulug, sebuah muzium yang menyimpan kuburan konu penempatan masyarakat Migran kaum Cina di sini pada zaman lampau.

Turut dianjurkan serentak di tapak penganjuran itu ialah pertandingan meredah jalan berhalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda anjuran Persatuan Kenderaan 4x4 Belia Paris.

Pengerusinya, Arfhan Nur Ariffin turut hadir dan bersama wakil rakyat itu untuk menyampaikan sumbangan.

Saddi yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah itu menegaskan, beliau sedia memberikan kerjasama dalam apa saja keperluan untuk tujuan memaju dan menjayakan golongan itu.

Yang penting, katanya generasi belia sentiasa sedia untuk mengukuhkan hubungan yang padu dengan pihak kerajaan, apalagi para pemimpin akar umbi di kawasan ini.

Menurut wakil rakyat itu, kekuatan 40 peratus daripada pengundi di kawasan ini yang mewakili masyarakat belia, boleh menentukan kemenangan besar kepada kerajaan BN menjelang PRU ke 13 ini.

Daripada jaminan yang sudah diberikan masyarakat Belia kepadanya, kata Saddi, golongan itu masih sentiasa bersama kerajaan BN, berasaskan sokongan padu dan anjuran kumpulan itu dalam Dun Sukau, sejak beliau menjadi wakil rakyat.

“ Mereka sudah menyatakan kepada saya, bahawa belia terus bersama BN kerana meyakini kecekalan dan komitednya kerajaan BN dalam memberikan pembelaan kepada rakyat semua kaum,” kata Saddi.

Tambahan lagi, kata Saddi, menerusi beberapa bantuan dan keutamaaan yang diberikan BN kepada golongan ini di bawah Bajet negara 2013, ianya akan meningkatkan azam generasi berkenaan untuk bersama-sama kerajaan.

“ Saya berpendapat pemberian ini bukanlah suatu nilai kepada sokongan dan kerjasama yang sekian lama diberikan golongan belia dan rakyat. Tetapi boleh menjadi suatu bentuk kelangsungan nilai ikatan kerjasama yang kuat antara kerajaan dan rakyat.

“ Semua ini untuk mempastikan lanskap politik negara hari ini harus terus terpelihara dan stabil, terus mampu memberi khidmat, menfaat dan pembelaan kepada semua kaum.

Keupayaan sekian lama itu dapat menyediakan rangkaian kerjasama yang bijak antara rakyat dan kerajaan dalam meningkatkan daya saing ekonomi, perpaduan, malah soal keselamatan negara di mata dunia, kata Saddi.

Berbeza dengan apa yang dibuktikan pihak pembangkang, tegas Saddi, kerajaan Pakatan Rakyat yang berpeluang memerintah empat negeri sejak PRU ke 12 menghadapi banyak kegagalan dan menyusahkan kehidupan rakyat, kerana tidak mampu menunaikan segala janjinya.