Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Dun Sukau dalam genggaman BN - Saddi

Saddi bersama rakan-rakan memanjatkan doa selepas mesyuarat PDM Sokongan Dun Sukau


Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, azam, khidmat dan bakti menjadikan  Barisan Nasional (BN) kawasan Dun Sukau mampu meraih kemenangan 100 peratus dalam pilihanraya umum ke 13 (PRU13 ini.

Adun Sukau itu berkata, berasaskan kedudukan 12 buah Pusat Daerah Mengundi  (PDM) berbentuk Sokongan yang disediakan oleh Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Dun Sukau, BN telah tersedia memenangi PRU ke 13 dengan pencapaian  yang diramal lebih baik berbanding prestasi PRU ke 12.

“Insyaalah, kita tidak mendahului ketentuan Illahi.  Namun  berasaskan khidmat,  bakti dan azam yang sudah dipamirkan BN, ditambah dengan strategi serta tanggungjawab yang terus kita lakukan mendekati rakyat,  BN menang lebih besar kali ini,” katanya.

Menyatakan perkara itu pada mesyuarat PDM Sokongan diwujudkan UPKR,  di bilik mesyuarat pejabatnya di sini kelmarin, Saddi berkata, program  mendekati  seluruh rakyat serta penyediaan projek pembangunan yang bertali arus melebihi RM250 juta di kawasan ini dalam tempoh lima tahun, menjadi antara alasan kemenangan besar itu.

“Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), bantuan pelajar RM100 dan bermacam-macam lagi sebelum ini yang terus sampai kepada rakyat,  bolehlah dianggap sebagai antara sumbangan yang terbaik pernah diberikan oleh sebuah kerajaan sejak merdeka.

“Dan ini memberi penyudah awal kepada keupayaan khidmat kerajaan BN yang tidak akan mampu dilakukan oleh mana-mana parti pembangkang di negara ini,” katanya.

Keupayaan yang ada, kata Saddi, membolehkan pihaknya untuk merampas kembali kawasan PDM Kertam yang tewas pada PRU 12,  serta ‘memutihkan’ semula kedudukan sebahagian kecil sikap pengundi yang sebelum ini ‘tersembunyi’ di beberapa kawasan PDM dalam Dun Sukau.

Beliau berkata, kedudukan Bilik Gerakan PDM sokongan Dun Sukau amat berhubungan dan terus bertukar-tukar maklumat dengan Bilik Gerakan PDM Barisan Nasional  Kinabatangan, serta Bilik Gerakan Jalinan Rakyat (JR), Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan.

“Sesuai dengan kedudukan Bilik Gerakan PDM UPKR ini sebagai pusat sokongan yang sudah lengkap bagi kawasan Dun ini, namun kami terus menjalinkan kerjasama bagi mempastikan kemenangan BN di seluruh Parlimen Kinabatangan termasuk dalam Dun Kuamut,” kata Saddi yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah itu.

Bagaimanapun Saddi menggesa, seluruh jentera parti itu dan rakyat agar terus  mempertingkatkan lagi sokongan terhadap BN bagi mempastikan tidak ada lagi individu yang membolehkan segeilintir penyokong pembangkang ‘lolos’ memasuki  kawasan ini.

“Kalau sudah hampir seluruh rakyat di kawasan tanah besar Dun Sukau dan persisiran Pantai mengambil sikap ‘tutup pintu’ sebagai menolak kehadiran  kumpulan kecil yang cuba memasuki kawasan ini, kenapa mesti kita hentikan peranan kita.

“Maknanya, kita perlu sampaikan mesej ini kepada seluruh rakyat di negara ini bahawa pengundi dalam Dun Sukau tetap tidak memberi sedikitpun ruang kepada pembangkang untuk membantu BN Sabah menang besar pada PRU 13,” katanya