Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kerajaan mempertimbangkan cadangan menambah kemudahan paip air sejauh 4.5 km - Saddi

Saddi menyampaikan ucapan
Saddi menyampaikan bantuan makanan dan pakaian kepada penduduk Paris
Saddi menyampaikan bantuan di bawah projek Adun  kepada  penduduk memerlukan
Saddi menyampaikan bantuan tikar sembahyang kepada masjid Kampung Paris 3


Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menambah jarak pemasangan  kemudahan paip  air  kira-kira sejauh 4.5 km  di sini bagi mempastikan semua penduduk di sini dapat menikmati kemudahan bekalan itu  sebaik saja ianya  beroperasi tidak lama lagi.

 Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap beruapaya meluluskan cadangan tersebut bagi mempastikan kepentingan lebih 100 buah keluarga terlibat akan mendapat pembelaan.

“Kita sedia maklum kontraktor Jabatan Air  hanya mempasang paip sehingga ke bahagian hadapan rumah-rumah kedai di Kampung Paris 3 daripada loji bekalan ini di Kampung Menggaris.  Maka berasaskan rayuan penduduk, maka kita sedia memanjangkannya kepada pihak kerajaan  demi kebaikan rakyat.

Berucap menyampaikan bantuan kepada fakir-fakir miskin di Masjid Paris 3, Sempena Ziarah Ramadhan, Kunjungan Mesra dan Berbuka Puasa di sini,  Saddi berkata, kerajaan BN tidak akan sekali-kali mengabaikan hak dan kepentingan rakyat yang sudah sekian lama memberikan sokongan padu kepada BN.
Kata Pengerusi Korporasi Pembangunan Sabah (KPD) itu menegaskan, sebagai golongan rakyat yang terbukti menyokong kerajaan itu, masyarakat Kampung Paris tidak terkecuali daripada aspirasi pembelaan dan khidmat  pemodenan.

“Malah saya sudah diberi makluman terperinci bahawa kawasan rumah-rumah kedai di kawasan ini bakal akan dinaiktarafkan oleh kerajaan sebagai kawasan pekan baru. Pelan pembangunan mengenainya sudahpun dimulakan,” katanya.

Kata Saddi, cadangan pihak kerajaan menaiktaraf kemajuan di kawasan itu memang tepat kerana kedudukan rumah-rumah kedai di Kampung Paris itu amat strategic yang menjadi laluan pengguna jalan di antara bandar-bandar penting menuju ke Lahad Datu, Pekan Semporna dan Tawau.

Kata Saddi lagi, usaha akan mampu menambah penjanaan ekonomi rakyat yang turut bergantung kepada sektor perladangan itu.

“Maka sudah tentulah, penyediaan bekalan air yang cukup amat berperanan merancakkan lagi sosioekonomi rakyat di kawasan ini yang sekaligus memberikan galakan kepada peniaga daripada luar untuk melabur ke kawasan yang berpesempadan dengan Bandar Lahad Datu itu,” kata Saddi.

Saddi kemudian mengajak rakyat di kawasan ini supaya bersatu untuk mempastikan BN terus menjadi ‘juara; dalam memimpin rakyat di negara ini menjelang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13).

Beliau mahu kerjasama rakyat yang sekian lama wujud di sini dapat diterjemahkan dengan memberikan sokongan padu setiap program pembangunan yang dirancang kerajaan terhadap mereka.

“Pada saya ketika ini yang kurang hanyalah bendera BN.Dari dulu sokongan rakyat memang sudah sebati dengan pihak kerajaan   Maka datanglah ke pejabat saya agar setiap kediaman menaikkan bendera  mewakili kerajaan yang tentunya sekian lama berjasa kepada anda,” katanya.