Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi desak MPS bangunkan 16 kampung di Sukau !

Bangunan Masjid Dumundung yang dibina sejak zaman Usno
Bahaya!. Inilah kemudahan jambatan yang terdapat di kampung Dumundung, sebahagian daripada kesangsaraan yang turut dialami dalam  kampung-kampung kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau
Saddi menyampaikan sumbangan kepada seorang kanak-kanak Oku,  Ramdan Bin Mahmud, 13 di Kampung Sungai Madang dalam Mukim Lubukan
Menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit,  Puan Norhani bte Karim 40an di kediamannya di Sungai Madang


Saddi turut mengagih-agihkan sumbangan peribadi beliau kepada masyarakat pesisir pantai
Saddi menyampaikan ucapan ringkas di majlis tersebut
Sumbangan turut diberikan Saddi kepada pesakit sawan kekal,  Naslan Bin Mazlan, 20an
Antara penerima sumbangan pada hari tersebut
Warga emas tidak dipinggirkan oleh YB Datuk Saddi Abd Rahman 


Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mengesahkan, 16 buah kampung  di  kawasan Persisiran Pantai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau  gagal dibangunkan  Majlis Perbandaran Sandakan (MPS)  yang sekian lama diberi kuasa penuh mentadbir  kawasan didiami ribuan masyarakat nelayan itu.

Beliau berkata, MPS bukan saja terbukti gagal membangunkan kemudahan infrastruktur rakyat, tetapi tidak mampu meningkatkan sosioekonomi rakyat yang sebahagian besarnya masih hidup di bawah garis kemiskinan dan mewarisi nelayan tradisonal sejak turun temurun.

“Pada bulan Ramadhan ini semua kampung sudah saya lawati kesemuanya mengalami kemunduran dan daif. Malah ada masyarakat Islam di Kampung Dumundung yang masih menggunakan masjid  yang diperbuat dari kayu dibina sejak zaman Kerajaan Usno.

“Beberapa buah kampung memiliki jambatan kayu yang rapuh, bila-bila masa masa boleh membawa kecelakaan kepada penduduk, kemudahan balairaya yang terus ketinggalan dan banyak lagi kekurangan yang amat memberi imej buruk kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Berucap pada majlis Ziarah Ramadhan, Tinjauan Mesra dan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Mukim Lubukan di Kampung Sepinong di sini, Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) itu mahu supaya Presiden dan Timbalan Presiden MPS ‘turun padang’ bagi melihat sendiri segala kesangsaraan rakyat serta kekurangan pembangunan yang sedang dihadapi 16 buah kampung berkenaan untuk segera diselesaikan.

Katanya, pegawai tertinggi majlis itu boleh membawa bersama ‘fokus group’ melawat semua kampung agar jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menangani soal kemiskinan di peringkat setiap daerah itu mampu bertindak secara realistic dan  mempunyai ‘keinsafan’ membela kehidupan lebih 8,000 penduduk nelayan di kawasan ini.

“Atau kalau MPS memang tidak mampu melaksanakannya, akur saja dengan cadangan yang saya kemukakan berulang kali di Dewan Undangan Negeri (DUN)  agar pentadbiran 16 buah kampung ini  dipulangkan kepada Pejabat Daerah Kinabatangan (PDK) untuk distrukturkan semula di bawah cadangan tersebut.

“Sebelum ini,  pihak kementerian menjawab  isu yang saya kemukakan (dalam DUN) bahawa apa yang saya cadangkan ini  tidak relevan. Tetapi yang jelas rakyat di 16 buah kampung menderita dan terpinggir oleh sebuah kerajaan yang sebenarnya amat kuat dan bertanggungjawab.

Tegas Saddi, segala kelemahan itu ekoran  dinafikan oleh sistem pentadbiran (dalam kawasan ini)  yang sudah tidak lagi relevan untuk digunakan dan mengelirukan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan lebih RM24,000 sumbangan zakat kepada lebih 200 penduduk Mukim Lubukan daripada pihak Baitulmal, agensi di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Balairaya Kampung Sepinong dalam mukim itu kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Amil Batu Sapi, Awang Sataria dan kakitangan kanan badan Baitulmal Sandakan, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman, Penyelia Masyarakat Puan Milda Imang dan Pemaju Mukim kawasan itu, Awang Kassim dan para pemimpin akar umbi mewakili tujuh buah kampung dalam mukim tersebut.

16 buah kampung yang dimaksudkan Saddi  itu meliputi  tiga buah mukim dalam kawasan persisiran iaitu Tanjung Aru, Mukim Mumiang dan Lubukan yang kesemuanya hampir dengan pusat pentadbiran MPS, berbanding lebih satu setengah jam melalui laluan darat ke PDK dari pusat bandar.

Kata Saddi, walaupun beliau berulang kali menyuarakan isu ‘ketirisan pentadbiran’ ini kepada pihak kerajaan, tetapi beliau risau sebahagian rakyat sukar untuk menerima alasan sedemikian dan akan menjadi impak kepada kerajaan BN menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13).

“Saya amat khuatir jika rakyat menyalahkan saya sebagai wakil rakyat. Kami diberi peruntukan  terhad. Barulah tahun ini diberikan RM1 juta. Ianya tidak cukup untuk mentadbir 42 kampung dalam kawasan Dun Sukau yang rata-ratanya masih mengalami kekurangan. Tetapi kehidupan rakyat di kawasan tanah daratan jauh lebih baik daripada 16 buah kampung ini,” katanya.

Melihat terus penderitaan rakyat diwakilinya, wakil rakyat itu berazam  untuk menemui mana-mana pemimpin dan pihak kementerian  bagi mempastikan masalah rakyat di kawasan itu  dapat ditangani.

“Saya tidak kiralah siapa. Saya akan jumpa mana-mana pemimpin yang boleh memberikan pembelaan kepada rakyat kawasan ini. Yang pasti, saya akan berusaha untuk menyampaikan perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,” katanya.

Saddi kemudian merayu rakyat di kawasan itu supaya bersabar dan memberikan keyakinan penuh kepada pihak kerajaan BN bagi menyelesaikan masalah mereka, sambil beliau akan terus sedia mengagihkan peruntukan pembaikan di bawah komitmen beliau (peruntukan Adun) yang termampu.

Beliau juga  meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah supaya mempertimbangkan semula permohonannya untuk mengujudkan jawatan Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung di Kampung Demundung yang amat daif  kehidupan penduduknya. Ianya ekoran kampung itu disatukan pengawasannya di bawah satu badan JKKK bersama-sama Kampung  Sungai Madang yang didiami oleh hampir 200 penduduk.

 “Sebenarnya segala isu pentadbiran ini masih boleh dibawah ‘berunding.’ Samada MPS dan kerajaan BN  mempunyai banyak kelebihan. Rakyat di kawasan ini juga walau dalam derita, rakyat  terus berikrar dan terbukti masih setia  kepada Umno dan BN berdasarkan prestasi pilihanraya umum lalu. Saya harap rintahan mereka kali ini didengar,” katanya yang diberi jeritan sokongan rakyat berulang kali, “ hidup Saddi’.


2 Ogos 2012