Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sekitar ziarah ramadan Mukim Litang 2012

Saddi menyampaikan ucapan
Saddi menyampaikan sumbangan Zakat  kepada penduduk Litang sambil diperhatikan Khoo. Halim Mohd dan Ow di Bukit Mas, Ladang Hap Seng
Saddi berbuka puasa dengan penduduk Litang dengan ditemani pihak pengurusan kanan Ladang Hap Seng



Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata,  Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mempelbagaikan pendekatannya  bagi mempastikan peranan dan khidmat pembelaannya sentiasa  sebati dengan tuntutan  rakyat.

Katanya,  rakyat di luar bandar tidak terkecuali dari perhatian itu  memandangkan masyarakat itu turut meraih banyak kemajuan semenjak negara merdeka dan mampu untuk  memberikan teguran dan nasihat membina kepada kerajaan, demi kebaikan bersama.

“ Maka kerajaan tidak sewenang-menangnya membuat apa juga keputusan, melainkan turut mendengar denyut nadi rakyat.  Banyak perkara yang menyentuh kepentingan dan hak negara ini terus diperbaiki khususnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan gagasan ini sebahagian daripada tuntutan tranformasi menjayakan kemajuan rakyat di negara ini,” katanya.

Berucap pada majlis menyampaikan bantuan kepada penduduk di Mukim Litang sempena Program Ziarah Ramadhan, Kunjungan Mesra dan Majlis Berbuka Puasa di Bukit Mas,  Ladang Hap Seng di sini, Saddi berkata,  kerajaan BN serius untuk menyelesaikan apa juga keperluan rakyat di luar bandar khususnya berkaitan dengan keperluan pembangunan mereka.
Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) itu berkata,  beliau akan menyelesaikan masalah keperluan pembangunan khususnya kemudahan jalan ke Kampung Litang yang sedang mengalami kerosakan, diikuti kemudahan perumahan PPR dan keperluan asas di kawasan tersebut.

“ Bagaimanapun saya mengingatkan rakyat di kawasan ini supaya terus bersatu padu dan mengelakkan samasekali soal pertikaian di antara mereka. Ini bagi membolehkan kerajaan menangani segala masalah mereka dengan baik dan teratur.

“ Sebarang pertikaian samada di antara pemimpin di peringkat akar umbi dan rakyat hanya akan merugikan mereka kerana kerajaan tidak dapat mendengar keperluan mereka dengan jelas,” katanya.

Mukim Litang yang mengabungkan empat kampung terpencil seperti Dagat, Kg. Tidung,  Tundun Buhangin, Sri Ganda dan Kg. Litang didiami lebih 500 orang penduduk terletak lebih 150km daripada Pekan Bukit Garam  atau 190km daripada Bandar Sandakan yang boleh dihubungi dengan kenderaan pacuan empat roda mengambil masa lebih 2 setengah jam.

Dengan turut menasihatkan para pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar sentiasa bersikap adil membuat keputusan dan mengutamakan dulu kepentingan rakyat yang memerlukan pembelaan, wakil rakyat itu mahu supaya ‘momentum perpaduan’ dikalangan mereka menjadi kunci kejayaan kepada kerajaan BN menghadapi pilihanraya umum Ke 13 ini.

Saddi turut merujuk kepada isu pembahagian rumah PPR kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan Litang yang sebelum ini disediakan oleh  pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar menghadapi sedikit percanggahan pendapat kerana keperluan itu turut ditagih oleh penghuni bukan mangsa banjir dan masyarakat Litang yang tinggal di luar kawasan itu.

“ Saya menyarankan biarlah perkara ini  kembali kepada tuntutan  hingga wujudnya penyediaan PPR ini yang ianya perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Jika ada lebih, barulah ianya boleh dipertimbangkan kepada penduduk yang lain.  Maka tidak perlu lagi ada percanggahan pendapat di antara penduduk dan pemimpin akar umbi di kawasan ini,” katanya.

Saddi kemudian menyarankan masyarakat Litang yang tinggal di laur kampung itu supaya kembali ke kampung halaman mereka bagi menjayakan program pembangunan sosio ekonomi di situ.

“ Ketika ini juga pihak Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam proses mengukur tanah penduduk kampung ini  bagi tujuan pengeluaran geran tanah. Maka ada baiknya penduduk bersedia kembali ke kampung halaman demi kebaikan penduduk,” katanya.

Saddi turut menyampaikan penghargaan beliau kepada pihak pengurusan Ladang Hap Seng kerana telah memberikan banyak sumbangan ‘korporat sosial’ kepada masyarakat tempatan di Mukim  Litang, selain bersedia menjadi tuan rumah bagi menjayakan majlis berbuka puasa anjuran UPKR Dun Sukau.

Turut sama-sama pada majlis berbuka puasa dan penyiapan bantuan kepada penduduk itu ialah Pengurus Besar Kanan Ladang berkenaan, Khoo Lian Hung, Pengurus Besar Ladang,  Halim Mohd. Djuda, Pengurus Bahagian Pentadbiran dan Kakitangan, Ow Eng Chai.