Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

STAR tidak mampu menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN)



Saddi menyerahkan sumbangan kepada penerima

Sambil menyampaikan sumbangan Kemas, Saddi didakap oleh seorang penerima  sebagai menghargai sumbangannya kepada rakyat kawasan Dun Sukau


Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, rakyat tidak perlu  gusar tentang kewujudan parti-parti kecil pembangkang di negara ini khususnya Sabah, kerana BN semangkin kukuh dan kuat membela rakyat.

Menyifatkan parti-parti kecil pembangkang tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk jangka panjang rakyat, Saddi berkata, BN  terbukti melakukan yang terbaik demi mencapai pelbagai kemajuan yang sudah dinikmati rakyat negara ini sejak merdeka.

“Buat apa kita bercakap mengenai  parti kecil seperti STAR yang mula diwujudkan di Sarawak, tetapi tidak mampu memperolehi kemenangan bertanding di negeri itu,  apalagi memberikan pembelaan kepada rakyat Sabah.

“Kita mahu sebuah parti yang kuat seperti Barisan Nasional, bukan saja sudah berjaya membangun Sarawak, tetapi membela kepentingan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam segala kemajuan,” katanya.

Berucap merasmikan Program Gerak Kerja Tumpuan Kemas Peringkat Dun Sukau di sini, Saddi yang juga Pengerusi KPD Sabah berkata, pembabitan Dr. Jeffery sebagai pemimpin Star Sabah bukan saja membuatkan rakyat tidak merasa bimbang tetapi yakin bahawa Star satu lagi parti tunggangan baru  seorang ketua  yang tidak berpendirian politik serta kerap mengecewakan rakyat.

“Pada saya samada ada Dr. Jeffery dan beberapa orang pemimpin parti pembangkang lain tidak jauh beza perjuangan mereka. Bila merasa tidak puas hati dengan kuasa yang ada akan ‘melompat parti’. Yang menjadi mangsa adalah rakyat yang terus perlukan pembelaan.

“Di dalam BN tidak sedemikian, pemimpinnya memang datang dan pergi, tetapi rakyat terus terbela kerana tugas sedemikian adalah kualiti tanggungjawab dan berterusan,” katanya.

Saddi  mengakui kewujudan pembangkang tidak sama sekali berkesan dan mendapat perhatian rakyat di kawasan ini, hinggakan beberapa individu yang menggerakkannya tidak mampu menonjol.

Berkaitan program tersebut, Saddi berkata, adalah amat tepat bagi Kemas menjadikan programnya itu sebagai landasan memberikan penjelasan ke atas segala dasar-dasar kerajaan agar rakyat dapat memahami senario politik negara secara berkesan.

Dalam pada itu, Saddi mahu agar program seumpama itu dapat dijayakan secara seimbang di kawasan ini termasuk melibatkan kawasan di persisiran pantai Dun Sukau yang diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

“Saya dapati program Kemas julung-julung kali diadakan dalam Dun Sukau. Tetapi kali ini saya mengharapkan ianya kerap dijayakan melibatkan penyertaan kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Dun Sukau bagi menarik lebih ramai penyertaan rakyat,” kata Saddi.

Lebih 400 orang penduduk di kawasan sekitar menghadiri program itu yang turut dihadiri Penyelia Kemas Daerah, M.Roslin Rashid, diikuti Penyelia Kemas Parlimen Kinabatangan, Mejar Kehormat Dato Haji Basran,  Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Kinabatangan, Madinin Jimin dan kakitangan UPKR Sukau diketuai PKRnya, Sharin Haji Abdul Rahman.

Bercakap mengenai pembangunan di kawasan ini, Saddi berkata, rakyat wajar bersama BN ekoran kemampuan kerajaan menyediakan pelbagai pembangunan seperti penyediaan bekalan elektrik, air, jalan perhubungan dan perancangan kukuh memajukan ekonomi rakyat secara adil.

“Semenjak empat tahun berkhidmat, beliau mempastikan kawasan tanah pertanian di sepanjang Sentosa Jaya Ke Batu Putih milik rakyat dengan langkah pengukuran tanah oleh Jabatan Tanah dan Ukur bagi tujuan pengeluaran geran-geran tanah.

“Usaha  yang dilihat rakyat sebagai sejarah pembangunan ekonomi akan terus saya lakukan secara  didikasi agar jurang pembangunan  antara  kita  dan masyarakat luar yang sedia  maju dapat diimbangi ke arah kejayaan,” katanya.