Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Selamat bertugas di tempat baru...


Saddi menyampaikan ucapan
Saddi menyampaikan sijil kepada para peserta orientasi
Saddi menerima cenderhati daripada Nur Amalina, sambil diperhatikan Arisin dan Mohd Abzani 
Saddi menyanyikan lagu ‘Madu’ para peserta orintasi dan Amalina berpocho-pocho

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi berkata, hubungan rakyat dan kakitangan kerajaan di negara ini adalah umpama ‘aur dengan tebing’ yang sentiasa memerlukan bagi mencapai agenda pembangunan negara.

Beliau berkata, hubungan baik di antara keduanya bukan saja mampu mencorakkan pembangunan yang terus dituntut oleh rakyat tetapi mempastikan, rakyat dan kakitangan terlibat sedar akan peranan masing-masing bagi menentukan keutuhan sebuah kerajaan yang kuat untuk terus memerintah seperti Barisan Nasional (BN).

“Banyak pihak dan golongan cuba untuk memecahbelahkan perpaduan dan hubungan rakyat dan pihak kerajaan. Namun saya percaya dan yakin bahawa rakyat negara ini semakin hari semakin matang, mudah untuk mengenal yang mana intan dan yang mana kaca,” katanya.

Saddi berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Mesra Budaya Sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil  Peserta Orientasi Pegawai-Pegawai Persekutuan Yang baru bertugas di Sabah Bil 1/2012 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Kampung Perpaduan di sini Sabtu.

Katanya, kehadiran para pegawai yang didatangkan daripada seluruh Semenanjung Malaysia untuk berkhidmat di negeri ini bukan saja memahami hakikat tanggungjawab mereka kepada rakyat, tetapi wajar menjadikan persekitaran baru yang memiliki pelbagai keunikan budaya serta kekurangan dalam soal pembangunan, sebagai antara ruang memperkukuhkan perpaduan serta kerjasama kedua pihak.

“Saya mengambil contoh di kawasan Dun Sukau, masih ada kekurangan yang dialami rakyat. Tetapi saya berpendapat kesempatan ini perlu diambil oleh setiap anggota kerajaan yang berkhidmat di sini untuk mengatasi kelemahan yang ada dengan pelbagai pendekatan.

“Rakyat juga perlu terus diberikan penjelasan akan kaedah mereka mengatasi masalah. Jika semua ini mampu digerakkan berkesan, masalah pembangunan kampung secara menyeluruh mampu ditangani secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah, Puan Nur Amalina Samsudin, Pengarah Hal Ehwal Korporat jabatan itu, Mohd Abzani Jabal, Pegawai Daerah Kinabatangan, Arisin Haji Aripin dan Anuar Bin Abu Bakar yang bertindak sebagai Penghulu kepada 75 orang peserta orintasi  termasuk empat darinya dari Putra Jaya.

Saddi turut mengambil contoh, masalah bekalan air yang sedang dialami oleh sebahagian besar kakitangan kerajaan yang menyertai  orentasi lima malam enam hari di Kampung Perpaduan itu hampir selesai dalam masa terdekat. Ini ekoran kerja-kerja pemasangan paip di kampung sudahpun berjalan dua tahun selepas pembinaan sebuah loji bekalan tersebut siap di Kampung Manggaris.

Sambil memberikan pujian kepada Jabatan Perpaduan Negara kerana memberikan peluang kepada penduduk Kampung Perpaduan sebagai keluarga angkat kepada program julung-julung kali di kawasan ini, Saddi berkata, tempoh tersebut sememangnya amat singkat untuk menjayakan hubungan kekeluargaan di antara peserta terlibat.

“Saya sesungguhnya mengalu-alukan program ini yang bukan saja baik kepada kakitangane kerajaan dan rakyat, tetapi inilah antara pengisian yang penting dan praktikal ke arah menjayakan pembangunan sesebuah negara.

“Sekiranya Dun Sukau diberikan peluang seperti ini, saya akan mencadangkan mereka untuk tinggal lebih lama sehingga dua minggu dan didedahkan di dalam kawasan pelancongan Dun Sukau seperti yang terdapat di Kampung Sukau,” kata Saddi yang turut menjelaskan pelbagai keistimewaan yang menjadi tarikan pelancong asing di kawasan ini.

Sambil memohon maaf kepada kekurangan yang dialami penduduk di kampung itu, Saddi berkata, hubungan silatulrahim yang berjaya dipupuk antara peserta dan keluarga angkat mereka akan menjadi suatu pengalaman manis dalam meningkatkan lagi nilai perkhidmatan mereka kepada rakyat di negeri ini.

“Saya amat berharap matlamat program ini tidak berakhir di sini. Para peserta terlibat samada semua peserta orientasi dan penduduk kampung perlu tingkatkan jalinan hubungan yang ada demi mencapai agenda kerajaan dalam memperkukuhkan integrasi antara kaum dan wilayah di negara ini.

“Itu sebab pendekatan seperti ini dianjurkan Islam kerana sesama kita adalah bersaudara dan ianya amat sesuai untuk diterjemahkan kepada maksud pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu dari itu, Nur Amalina ketika menyampaikan ucapannya turut menimbang cadangan penghulu program itu untuk menambah beberapa hari lagi berbanding tempoh seminggu yang diperuntukkan kepada peserta orientasi.

“Maksud peserta adalah baik. Namun kita mengambilkira soal kesibukan keluarga angkat yang terlibat dalam program ini dan kita khuatir ini akan menyusahkan pihak keluarga angkat itu sendiri,” katanya mengakui kepelbagaian yang unik termasuk soal budaya, keramahan penduduk, persekitaran, makanan dan sebagainya adalah  antara tarikan penting kepada peserta orientasi berkenaan menuntut waktu lebih lama berada di kawasan ini.

Anuar dalam ucapannya mengakui tempoh singkat lima malam enam hari tidak cukup untuknya mengenali dan  ‘menyelami’ Kampung Perpaduan, Orang Sungai dan Kinabatangan yang disifatkannya ‘macam-macam ada’.

“Tempat ini menyeronokkan. Semalam saya ke Batu Tulug. Saya berpeluang menyusur Sungai Kinabatangan dengan bot.  Masa amat singkat.  saya sudah mula sedih untuk tinggalkan kedua ibubapa angkat saya. Saya berjanji bila balik nanti saya akan masak tiga empat jenis yang sudah saya pelajari di sini. Saya juga akan bawa balik isteri dan anak-anak saya untuk jenguk ‘ibu ayah saya’ di sini,” katanya.