Ahli Dewan Undangan
Negeri Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mengalu-alukan penubuhan
Persatuan Bina Badan Daerah Sandakan (PBBDS)
ke arah memberikan galakan kepada golongan belia di daerah ini
berkecimpung serta maju dalam bidang sukan tersebut.
Beliau berkata, bidang sukan bina badan itu bukan saja memberikan
pendidikan yang lengkap terhadap diet serta kualiti kesihatan tubuh badan,
tetapi menjadikan Sandakan sebagai salah kuasa sukan bina badan di negeri ini
pada masa akan datang.
“Saya sangat mengalu-alukan jika
sukan ini boleh dikembangkan kepada kawasan Dun Sukau kerana saya mengharapkan
agar golongan muda di kawasan Dun ini terlibat dalam apa juga bidang sukan yang
mendorongkan golongan itu bebas daripada aktiviti yang tidak sihat khususnya
dalam gejala penyalahgunaan najis dadah,” katanya.
Memberikan ucapan ringkasnya pada
Majlis Kunjungan Kehormat PBBDS di pejabatnya di Bandar Labuk Jaya di Batu 7,
Sandakan, Saddi berkata, bidang sukan tersebut adalah antara acara sukan
penting yang diminati ramai kerana reputasinya yang penting terhadap
kesihatan dan tubuh badan manusia.
“ Ketika di zaman muda, saya pun
meminati bidang penjagaan badan. Ianya jika menjadi amalan rakyat bukan saja
berguna untuk kesihatan tetapi akan menjadi salah satu produk sukan yang boleh
dilahirkan masyarakat dari Sandakan dan Kinabatangan,” katanya.
Kunjungan itu diketuai oleh
Presiden PBBDS, Japar Haji Abdullah, Sumardi Paidjo (Setiausaha), Abdullah
Molok (Bendahari), Remy Rahim (Timb. Bandahari) dan Samrah Omar (AJK).
Sebelum ini PBBDS telah mencapai
beberapa kejayaan awal sebelum kelulusannya yang antaranya menjadi Juara Segala
Juara pada Kejohanan Mr Sabah peringkat kawasan Sandakan. Japar yang juga seorang anggota polis pernah
menduduki tempat ketiga pada ketegori
Bantamweight dalam Kejohanan Mr Sabah peringkat negeri yang diadakan di
Sandakan tahun lalu.
PBBDS akan turut menghantar wakil
bagi menyertai kejohanan MR Sabah peringkat negeri yang akan diadakan di Tawau
29 Jun depan.
Saddi berkata, beliau akan
memberikan perhatian terhadap beberapa cadangan yang dikemukakan persatuan itu
kepada beliau demi kebaikan badan sukan itu.
“ Kita memberikan sokongan padu terhadap
apa juga keperluan mana-mana badan sukan di kawasan ini. Tetapi kita menggalakkan
juga kepada mana-mana pemimpin badan
sukan seperti PBBDS supaya mereka juga
gigih dalam mencari tabung sendiri. Demikian juga dalam meningkatkan lagi
aktiviti serta sasaran kepada golongan muda dan para peminat sukan ini,”
katanya.
Dalam pada itu, Japar berkata,
PBBDS menyasarkan kejayaan penting dalam beberapa ketegori pada Kejohanan MRd
Sabah di Tawau demi memberikan galakan ddan keyakinan kepada ahli-ahlinya.
“Kami begitu mengalu-alukan
cadangan bagi mengembangkan sukan ini di kalangan masyarakat Luar Bandar
seperti dalam Dun Sukau. Tetapi kami
mengharapkan pihak kerajaan khususnya mengembangkan pemberian kemudahan latihan sukan ini di
kawasan seperti Kinabatangan bagi membolehkan anak-anak muda kampung berlatih
dan mengikut disiplin yang ditentukan dalam acara sukan ini,” katanya.