Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pemimpin akar umbi berdiri teguh bersama Calon BN N48 Sukau

Saddi bersama ketua-ketua cawangan UMNO

Para pemimpin cawangan Umno di sini tidak perlu merasa terpinggir dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 ini kerana mereka juga memiliki kelebihan tersendiri untuk meyakinkan rakyat seterusnya memberikan kemenangan kepada semua calon BN di kawasan Kinabatangan kali ini.

Calon barisan Nasional (BN) kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul rahman  berkata, ketua-ketua cawangan Umno selain memiliki barisan pimpinan di peringkat parti dan ahli-ahli di kawasan masing-masing mempunyai pengaruh yang besar dalam menggerakkan kempen bagi mempastikan kemenangan semua calon BN di Kinabatangan, termasuk beliau, Calon Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan Adun Kuamut, Masiung Banah.

“Saya menerima maklumat ada di antara segelintir pemimpin cawangan Umno sudah mengaus (merajuk) kerana peranan mereka sudah lama tidak dilibatkan, selain daripada pemilihan di peringkat bahagian dan dalam pilihanraya Umum.

“Tetapi pada saya yang lebih penting, pilihanraya adalah lebih penting dalam mendapatkan khidmat pemimpin cawangan. Mereka bukan saja perlu berkempen untuk memberikan kemenangan Barisan Nasional (BN), tetapi mempastikan kerajaan yang sekian lama berjuang untuk memberi pembelaan kepada rakyat ini dipertahankan, “ katanya.

Berucap ketika merasmikan Program Calon BN bersama pemimpin cawangan-cawangan Umno dalam kawasan Kinabatangan di sini, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah berkata, usaha BN bagi meraih majority undi yang besar dalam PRU ke 13 ini memerlukan kekuatan kerjasama khususnya dari kalangan pemimpin Umno di kawasan ini.

Saddi berkata, sokongan rakyat terhadap BN di kawasan ini boleh mempastikan kejayaan besar terhadap rancangan memajukan Blue print pembangunan di kawasan ini yang menyediakan kepelbagaian program dalam memajukan rakyat di kawasan ini.

“Sepanjang lima tahun saya memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan ini, pelbagai program berasaskan pembangunan sosial rakyat di kawasan ini telah saya rangka dan sebahagian besar darinya mendapat perhatian pihak kerajaan. Salah satu darinya, program pembangunan Pekan Baru Sukau, Bandar Bio Diversiti yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri, atuk Seri Musa Haji Aman 24 Julai, 2010, bakal memulakan program pembangunannya tahun depan.

“Semua kemudahan yang disediakan di bawah program tersebut akan memberikan kebaikan ekonomi secara jangka panjang kepada rakyat. Kita berharap keseluruhan program pembangunan pekan ini termasuk hasrat memiliki sebuah Jambatan kedua merentasi Sungai Kinabatangan di sini juga dapat diwujudkan,” kata Saddi.

Kemudahan itu katanya, akan mampu melonjakkan program ekonomi rakyat dengan menyediakan rantaian kerjasama mererka dan para pelabur bagi memperkasakan pelbagai sektor termasuk bidang pertanian, perladangan dan pelancongan yang begitu popular di kawasan Sukau.

Sebelum itu, Naib Ketua Bahagian Umno Kinabatangan, Azman Haji Mastar menegaskan, pemimpin cawangan di sini perlu memperkasakan peranan mereka bagi mempastikan semua calon BN di kawasan itu mencapai kemenangan besar.

“Berikan penjelasan kepada ahli-ahli tentang kedudukan BN yang memerlukan sokongan mereka. Demikian juga seluruh rakyat di  kawasan masing-masing, perlu diberikan kefahaman tentang peranan BN serta tindak tanduk pihak pembangkang yang terus berusaha meraih simpati dalam PRU kali ini,” kata Azman.

Semua lebih 200 pemimpin cawangan yang hadir memberikan ikrar mereka dengan menyokong Saddi mencapai kemenangan besar pada pilihanraya kali ini.