Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Jangan Berpaling Tadah!! - Saddi


Gambar Jawatankuasa Pilihanraya Dun Sukau dan Kinabatangan.

“Jangan berpaling tadah. Sebaliknya, jentera parti terus  bergerak padu dan mempastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di tiga kawasan termasuk Dun Sukau, Kuamut dan Parlimen Kinabatangan dalam Pilihanraya Umum Ke 13 ini,” kata calon BN Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman.

Beliau berkata, peluangnya bersama Datuk Bung Mokthar Radin dan Masiung Banah untuk bertanding di kawasan masing-masing pasti akan mencapai kemenangan besar sekiranya seluruh jentera bekerja bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan besar yang diharapkan.

Saddi berkata, dengan keupayaan memberikan penerangan kepada rakyat berhubung segala dasar dan pencapaiannya, khususnya dalam usaha memberikan pembelaan kepada rakyat di luar bandar, diikuti perancangan untuk melonjakkan ekonomi rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,  rakyat pastinya akan terus memberikan sokongan padu kepada BN.

“ Walaupun calon-calon pembangkang yang bertanding di tiga kawasan ini tidaklah berbisa, tetapi kita tidak harus membiarkan sebarang kesilapan berkempen dan pada hari mengundi sebagaimana pada pilihanraya umum ke 12 lepas,” katanya.

Menyatakan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Gerakan Pilihanraya kawasan Dun 48 Sukau di Hotel Sabah di sini, Saddi yang juga Pengarah Pilihanraya BN Dun Sukau menegaskan, sikap terus menghayati nilai serta halatuju Perjuangan BN mampu meletakkan semua calon BN mampu mencapai majority undi yang besar pada PRU ke 13 ini.

“ Bagi kawasan Dun Sukau dan Parlimen Kinabatangan, kita akan menggerakkan kempen secara habis-habisan bermula 24 April ini dan semua jentera perlu mematuhi arahan baik daripada pihak pusat jentera parti maupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” katanya.

Dalam pada itu, Saddi menggesa semua jentera BN mewakili pelbagai sektor seperti Pusat Daerah Mengundi (PDM) memberikan lebih tumpuan kepada mengesan kedudukan pengundi luar Dun Sukau agar mereka dapat turun mengundi pada hari pembuangan undi 5 Mei depan.

Katanya, jentera BN dan 15 kaunter PDM di kawasan ini boleh menggunakan apa saja kaedah mengesan dan berkempen bagi mempastikan mereka turun mengundi dan memberikan sokongan kepada BN dalam pilihanraya kali ini.

Sehubungan itu, Saddi juga mengarahkan semua jentera pilihanraya Dun Sukau supaya terus mematuhi peraturan yang sediakan oleh pihak Seuruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) demi kelancaran aktiviti berkempen dan pemasangan poster di semua kawasan yang dibenarkan.