Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pembohongan ketara NGO




Jika diamati pelan pembangunan Jambatan Ke 2 Kinabatangan, dengan konsep dan reka bentuk mesra alam semula jadi dirangka berasaskan pemerhatian secara empirikal dan kajian menyeluruh yang menepati semua keperluan masa kini dan masa hadapan. Apa yang menjadi tanda tanya di setiap minda rakyat, mengapa NGO-NGO asing ini bermati-matian membantah pembinaannya. Mungkinkah faktor berikut penyebab kepada tindakan di luar kotak pertimbangan mereka.

KEPENTINGAN KEWANGAN, memacu kepentingan peribadi melebihi kepentingan umum dengan meletakkan kepentingan konservasi sebagai agenda utama bagi mengaburi serta mengalihkan pandangan serta minda masyarakat antarabangsa amnya, rakyat tempatan dan kerajaan khasnya. Hasrat untuk menguasai sektor penyelidikan, konservasi dan pelancongan ini bermula sejak 2 dekad lalu apabila mereka mula meneroka kekayaan biodiversity hilir Kinabatangan yang dilihat berpotensi besar jika dieksploitasikan dengan sebaik mungkin bagi tujuan meraih keuntungan.

Melihat kepada potensi ini mereka mula mengatur langkah serta perancangan rapi, bermula dengan mewujudkan rantaian hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan. Ini termasuklah meyakinkan agensi-agensi kerajaan berkaitan sehingga termetrai pelbagai MOU sebagai sekuriti kepada aktiviti yang bakal dijalankan. Menyatukan environtalis dan saintis tempatan serta pengusaha-pengusaha industri pelancongan yang berperanan selaku penyokong (back up), dan pihak ke tiga ialah: penderma (funder) dari kalangan pencinta-pencinta alam flora dan fauna (alam semula jadi) untuk mendapatkan sumber dana.

Pada peringkat awal cadangan pembinaan jambatan, para NGO, naturalis, environtalis, konservasionis dan sebagainya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau bantahan walaupun perancangannya telah disebar-luas melalui ucapan wakil rakyat dan media-media sejak beberapa tahun lalu. Tiada juga sebarang usaha dari pihak mereka kearah mewujudkan persefahaman atau sebagainya melalui perbicangan meja bulat bersama wakil rakyat kawasan. Bantahan hanya bermula apabila kerajaan telah meluluskan projek jambatan ke 2 tahun lalu (2016) dan memulakan pembinaannya awal tahun ini. Berkemungkinan mereka melihat pembinaan jambatan ini akan menjejaskan aliran dana daripada penyumbang dan penderma, sedangkan mereka hanya perlu menjelaskan fakta sebenar prinsip dan konsep pembinaan di lapangan.

Sebagai langkah sokongan bagi menguatkan bantahan mereka, pelbagai dakyah yang bersifat indoktrinasi, penipuan, mengelirukan dan kontroversial telah dengan sengaja disebar-luas di portal-portal media online dan di akhbar-akhbar tempatan, tujuannya adalah: mengajak serta meraih sokongan masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada kerajaan. Langkah ini dilihat berjaya memacu minda masyarakat antarabangsa melihat pembinaan jambatan ke 2 dari sudut negative. Hal ini dapat dibuktikan dengan penyertaan masyarakat antarabangsa dalam petisyen bantahan yang ditujukan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan YAB Ketua Menteri Sabah yang dianjurkan oleh sebuah portal media online.

Antara kenyataan NGO berbentuk pembohongan yang direkodkan, dikongsikan seperti berikut; surat bantahan yang ditujukan kepada YAB Ketua Menteri Sabah menyatakan “lebuh raya akan dibina merentangi hutan simpan kulamba”, “berakhirnya Kinabatangan dengan bermulanya pembinaan jambatan ke 2”, “jambatan ke 2 adalah bala bencana (catastrophe)”, “hidupan liar akan pupus”, “alam sekitar akan musnah”, “penduduk tempatan akan kehilangan perkerjaan”, “industri pelancongan bakal tutup” dan berbagai lagi. Gambaran serta dakwaan mereka tidak berasas sama sekali jika dilihat daripada pelan induk pembinaan jambatan ke 2 dan realiti di lapangan. Ironinya, mereka tidak menyentuh sedikitpun tentang impak positif yang bakal dinikmati serta dimanafaatkan oleh manusia sejagat dan haiwan hasil daripada pembinaan jambatan ke 2 tersebut. Disifatkan bantahan NGO yang didalangi Goossens merupakan tentangan dan memperlekehkan keputusan kerajaan yang telah meluluskan projek pembinaan jambatan ke 2 kinabatangan. Seolah-olah kerajaan tidak berwibawa dalam mengambil keputusan.

Saya berpendapat, masyarakat luar perlu diberitahu atau diperjelaskan dengan keadaan sebenar apa yang berlaku di lapangan khususnya di sekitar Kg Sukau dan lokasi tapak pembinaan jambatan dan viaduct. Bantahan sebenar adalah pembinaan jambatan merentasi sungai Kinabatangan (fasa 1) dan bukannya viaduct yang bakal dibina merentasi lot 3 hutan santuari (fasa 2) sejauh 1.3 km. Faktor ini berasaskan kepada jalan ladang yang telah tersedia merentasi lot 3 hutan santuari tersebut sejak puluhan tahun lalu, yang mana jalan tersebut telah menghalang pergerakan haiwan di sepanjang fragmen hutan santuari. Dan pembinaan viaduct, akan memberi keselesaan kepada pergerakan haiwan yang lalu di bawah viaduct dengan selamat tanpa gangguan lalu lintas. Skop serta spesifikasi binaan viaduct yang berkonsepkan ‘environment and wild life friendly’ ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kepentingan konservasi.

Manakala, pembinaan jambatan merentasi sungai Kinabatangan dianggap sebagai batu penghalang kepada misi penguasaan mereka. Matalamat untuk mencapai misi ini ialah dengan penghutanan semula tebing-tebing sungai Kinabatangan sama ada kawasan kampung ataupun bukan yang akan dijadikan laluan kepada hidupan liar. Kenyataan ini disokong oleh pembelian tanah-tanah pinggir sungai milik penduduk melalui agen yang dilantik (kalangan penduduk tempatan) dengan tawaran harga lumayan.

Kampung-kampung tradisi suku kaum sungai selaku ‘indigenous’ di tebing-tebing sungai Kinabatangan telah wujud sejak ratusan tahun lalu. Dengan pergantungan kepada hasil sungai sebagai sumber pendapatan utama suatu ketika kampung-kampung ini merupakan salah satu produk pelancongan di Kinabatangan. Kini kampung-kampung tradisi ini akan terhakis dengan program penghutanan semula tebing sungai yang dilaksanakan, sebarang penebangan tumbuhan oleh penduduk kampung dihalaman mereka akan menghadapi risiko tindakan undang=undang hingga ke peringkat mahkamah.

Ironinya, beberapa syarikat ladang kelapa sawit di sini (Sukau) telah menceroboh hutan simpan santuari dengan pembinaan jalan ladang, pembinaan parit-parit besar yang telah menyebabkan kematian hidupan liar, penanaman pokok sawit dan pemasangan pagar elektrik hingga ke tebing sungai yang menghalang laluan gajah terutamanya, pencemaran yang berleluasa menyebab kepupusan hasil sungai di paras kritikal, tidak dilapor dan tidak diambil tindakan sewajarnya.

Kenyataan-kenyataan di atas berasaskan sumber maklumat dan fakta yang kukuh.