Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sebahagian projek solar hybrid gagal

LUBUKAN, KINABATANGAN:  Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, penyediaan projek solar hybrid di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia di beberapa kawasan dewan undangan negeri itu boleh disifatkan sebagai ‘gagal’.

Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) itu berkata, ini memandangkan hampir  kesemua peralatan yang digunakan untuk menyalurkan bekalan elektrik kepada para penduduk kampung terlibat sudah tidak berfungsi, malahan terus mengeluarkan perbelanjaan besar untuk meneruskan operasinya.

Katanya, walaupun kemudahan itu dijanjikan mampu memberikan bekalan elektrik 24 jam kepada penduduk selepas beroperasi, namun ianya terbukti tidak membawa kebaikan kepada rakyat, seterusnya memberikan kesukaran untuk memaju dan membangunkan ekonomi penduduk.

“Apa yang berlaku hari ini kemudahan solar hybrid yang diwujudkan di Kampung Lubukan sudah tidak mampu melaksanakan perkhidmatannya.


 “Sebaliknya, sudah lama penduduk di sini bergelap jika pergantungan terus kepada  bekalan elektrik solar hybrid. Tetapi kemudahan generator yang mulanya bertindak sebagai bekalan sokongan kepada projek solar hybrid itu kini sudah digunakan sepenuhnya untuk memberi bekalan elektrik,” katanya.

Saddi menyatakan demikian ketika melakukan tinjauan ke bangunan Solar Hybrid di Kampung Lubukan di sini pada pagi Rabu dengan ditemani oleh sekumpulan pegawai Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) yang dilaporkan berhubung masalah tersebut.

Katanya, sebelum penyediaan projek itu bermula beberapa pertikaian berkaitan tapak bagi penyediaan projek berkenaan. Ia diikuti oleh beberapa janji oleh pihak kontraktor untuk kononnya mengawasi pengendalian projek tersebut yang dianggarkan mampu membekalkan elektrik kepada rakyat melebihi 10 tahun.

Namun kata Saddi, selepas hanya lebih setahun penyediaan kemudahan itu ianya telah dilaporkan menghadapi pelbagai masalah untuk beroperasi, termasuklah penyaluran bekalan elektrik sudah tidak lagi bergantung kepada peralatan tersebut, tetapi generator sokongannya.

Saddi menegaskan, pelbagai rintangan besar dihadapi dalam perlaksanaan projek mega itu wajar difikirkan semula oleh kementerian terlibat demi mempastikan projek yang bernilai berjuta-juta ringgit itu di kawasan luar bandar di bawah projek itu benar-benar memberikan keuntungan kepada rakyat.

Ini juga termasuk penyaluran kemudahan solar Hybrid yang turut diperuntukkan kepada kemudahan sekolah-sekolah di kawasan itu oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia..

“Ini kerana kemudahan ini bukan saja telah menyusahkan penduduk, tetapi turut menjejaskan peranan pihak sekolah dan pelajar di kawasan Dun Sukau yang menghrapkan kebaikan daripada projek tersebut.

“Banyak laporan beberapa kemudahan solar hybrid yang diwujudkan di sekolah-sekolah rendah di sini sudah tidak berfungsi atas alasan tidak dikawalrapi oleh pihak kontraktor penyediaan bekalan itu.

“Akibatnya beberapa kerosakan melibatkan peralatan seperti komputer, kemudahan pandang dengar untuk para pelajar dan banyak lagi berlaku dan menghalang pembelajaran pelajar,” katanya.

Memandangkan projek solar hybrid yang diwujudkan kementerian itu tidak menguntungkan rakyat, tegas Saddi, sudah sampai waktunya pihak kerajaan memikirkan semula penyediaan kemudahan solar hybrid demi terus mengelakkan pembaziran wang rakyat.

“Saya bersetuju dengan cadangan pihak SESB agar perkhidmatan menyalur bekalan elektrik di luar bandar khususnya di kawasan persisiran pantai Dun Sukau ini hanya menggunakan peralatan generator elektrik.

“Ia serendah-rendahnya berkuasa 100 kw demi kebaikan masyarakat kampung nelayan ini,” katanya.

Berdasarkan masalah yang sama juga, tambah Saddi, ada baiknya jika penyediaan kemudahan solar hybrid yang sudah dan akan dirancang di beberapa kawasan negeri ini turut dumansuhkan.

“Kalau sudah didapati projek ini tidak lagi praktikal dan membazir wang rakyat, maka ianya tidak perlu diteruskan demi kebaikan kerajaan dan rakyat,” katanya.

Sebelum itu Jurutera Elektrik SESB Zon Timur Sandakan, Christo Domingo Lobang ketika memberikan taklimat ringkas kepada Saddi berkata, masalah yang kerap dihadapi oleh kemudahan solar hybrid di kampung itu ialah berkaitan kerosakan sejumlah beteri yang digunakan untuk menjana sumber elektrik itu.

Katanya, kegunaan beteri bagi menjana bekalan solar hybrid di kampung itu berjumlah sebanyak 70 unit dan ianya berharga antara RM 7 ribu hingga RM12 ribu seunit.

Namun kata Christo, penggunaan generator yang kosnya lebih rendah bagi menyalurkan bekalan elektrik ke kampung tersebut lebih praktikal berbanding kemudahan solar berkenaan.

Cristo juga berjanji masalah kerosakan kecil yang sedang dihadapi oleh peralatan generator elektrik sokongan di Lubukan dijangka dapat diselesaikan hari ini.


Namun beliau mencadangkan agar pihak kerajaan pusat memperuntukkan peralatan generator elektrik yang lebih besar demi kegunaan rakyat di kawasan ini.