Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pemimpin peringkat akar umbi perlu kreatif dalam membantu rakyat

SUKAU, KINABATANGAN: Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, pembelaan menyeluruh ke atas usaha pembangunan dan sosioekonomi rakyat di kawasan ini akan turut bergantung kepada kesedaran dan peranan para pemimpin akar umbi di kawasan kampung masing-masing..

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu berkata, kesediaan para pemimpin akar umbi terlibat ‘turun padang’ serta sedia mendengar segala luahan dan rintihan rakyat akan membolehkan pemimpin akar umbi mampu menghayati tanggungjawab serta melakukan tugas dengan lebih konsisten dan mapan.

“Untuk menjadikan para pemimpin akar umbi termasuk Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung ini memiliki sikap berinovatif serta kreatif dalam menjalankan tanggungjawab, tugas utama mereka ialah sedia mendengar rintihan serta memberikan maklumat terkini kepada rakyat tentang peranan yang dimainkan pihak kerajaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika memberikan ucapan ringkas pada majlis Tahlil sempena bulan Sahban di kediaman ayahanda beliau di Kampung Perpaduan Batu Puteh di sini malam Rabu.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung sekitar Mukim Batu Putih, Mukim Paris berserta penduduk di sekitar kampung berkenaan.

Turut hadir ialah kakitangan Unit Pembangunan Masyarakat Dun Sukau yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan itu, Amirudin Mohd Damit dan Pegawai Pembangunan Masyarakatnya, Dasran Haji Dahlan.  Majlis tahlil dipimpin oleh Ustaz Sufian Baharin.

Sehubungan itu, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) berkata, beliau akan mengiatkan usaha menjayakan pembangunan dan sosioekonomi rakyat di kawasan ini, seiring dengan tuntutan rakyat serta manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Apa yang penting, kerjasama di antara sesama kita dan seluruh rakyat terus terjalin erat dan menghasilkan kerjasama yang padu demi kebaikan kawasan ini.

“Sudah terbukti bahawa kerjasama antara kita serta rakyat telah menghasilkan banyak kebaikan. Antaranya usaha-saha pembangunan dan ekonomi rakyat dan kawasan sejak saya memberi khidmat hingga kini telah mencatatkan banyak kejayaan.

“Akhirnya ‘gandingan kerjasama semua’ ini telah turut membuah hasil pada pilihanraya umum lepas dengan majoriti sokongan rakyat kepada kerajaan BN meningkat dua kali ganda, “ katanya.

Saddi yakin dan percaya sokongan rakyat di seluruh kawasan itu akan terus meningkat demi mempastikan peranan dan tanggungjawab memberi pembelaan kepada rakyat di kawasan itu boleh dilakukan.

Saddi turut mengajak agar program tahlil yang diadakan di kampung serta mukim masing-masing dapat mengingati jasa dan pengorbanan para pemimpin yang telah tiada namun berjaya mewarnai dan membawa kemajuan rakyat di kawasan ini.


“Ramai orang-orang yang berjaya memajukan kawasan Dun Sukau ini telahpun kembali ke rahmatullah namun jasa dan pengorbanan mereka terus akan dikenang rakyat sampai bila-bila” katanya.