Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sandakan akan muncul destinasi popular kalangan pelancong



Bandar ini yang didiami kira-kira 453,000 orang penduduk mengikut bancian penduduk pada tahun 2010 akan muncul sebagai sebuah destinasi paling popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Bukan sahaja mengambil kira kawasan pelancongannya yang menjadi tumpuan saban tahun seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok; Labuk Bay Probocis Monkey; Sungai Kinabatangan; Gua Gomantong;Taman Buaya; Mini Zoo Batu 16 dan beberapa pulau yang menggamit tumpuan pelancong.

Akan tetapi sesungguhnya Sandakan yang mendapat jolokan sebagai bandar mini ‘Hongkong’ akan bertambah maju dengan kewujudan Sandakan Harbour Square yang menempatkan sebuah hotel bertaraf lima bintang termasuk pusat membeli-belah.

Sememangnya bandar ini bertuah kerana selain dianugerahi dengan keindahan alam semula jadi yang mampu menarik orang ramai khususnya pelancong asing tetapi bila siap sepenuhnya bandar tepi laut itu tentulah merancakkan lagi industri pelancongan di negeri Sabah khasnya daerah ini.

Tidak mustahil Sandakan yang telah wujud sebagai sebuah residensi semenjak tahun 1948 akan menjadi bandar popular untuk dilawati selepas bandar raya Kota Kinabalu berdasarkan daya tarikan pelancongan yang terdapat di bandar ini. Penduduk Sandakan terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, Kadazandusun dan suku-suku lain seperti kaum Bajau, Murut, Sungai, Bugis, Suluk dan sebagainya.

Menurut sejarah lampau, lagenda Sandakan bermula beberapa tahun sebelum Pryer. Kampung German yang dijadikan oleh Kaptain William Schuck berbangsa Jerman sebagai pangkalan perniagaan merupakan penempatan pertama, walaupun pada masa tersebut sudah ada beberapa orang Sulu yang menetap di sekitar laut berdekatan.

Apabila Kaptain William Schuck mendapat sebuah pulau di kesultanan Sulu, maka Wiliam Clarke Cowie, seorang pedagang dan pelaut dari Scotland, telah mengantikannya. Penempatan ini menjadi pusat perniagaan senjata yang tidak berjaya. Beliau akhirnya mencari rakan niaga dari Kesultanan Sulu dan meninggalkan Kampung German.

Pada masa yang sama Baron de Overbeck telah berjaya mendapatkan konsesi sebahagian wilayah Sandakan setelah bertemu dengan Sultan Sulu yang bernama Sultan Jamal Ui Alam. Keluasan ini bermula dari Sungai Sibuco (Sg. Sibuga) sehinggalah wilayah Sungai Padasan kira-kira 20,000 batu persegi.

Menurut perjanjian tersebut, Baron de Overbeck akan membayar sebanyak $5,000 setiap tahun. Serentak itu juga, Baron de Overbeck diisytiharkan sebagai Dato Bendahara serta Raja Sandakan berkuatkuasa pada 1878.

Untuk mentadbir wilayah yang dimilikinya, de Overbeck telah menyerahkan pentadbiran dan pengurusan kawasan-kawasan ini kepada beberapa pegawai Inggeris yang dipercayainya. Antara orang yang dipercayainya ialah William Burgess Pryer. Bandar Sandakan mula berkembang apabila ia di tadbir oleh William B. Pryer pada 21 Jun 1879.

8 Mac 2012 NewSabahTimes Online