Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

ADUN Sukau menyeru belia bangkit perkasakan diri demi mengekalkan kemenangan BN

Saddi menyampaikan ucapan


Saddi bergambar bersama pemain dan kakitangan UPKR serta penganjur kejohanan


Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, golongan belia di negeri ini harus bangkit memperkasakan diri ke  arah mengekalkan kekuatan dan kemenangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Tegasnya, golongan belia hari ini bukan saja harus memajukan diri di pelbagai bidang seperti bidang ekonomi, pendidikan  dan kesukanan tetapi wajar bertanggungjawabkan untuk mengekalkan kedudukan sesebuah kerajaan yang terbukti mampu menjadi sandaran serta berupaya membela rakyat.

Golongan belia yang bijak bukan saja bebas dari gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah atau sanggup berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan. Tetapi mereka mampu menentukan masa depan  anak cucu mereka.

“ Kerjasama padu dengan mana-mana pemimpin kerajaan, sudah tentu memberi jaminan agar  segala tuntutan mereka boleh diberi perhatian.  Ini mendorong  agar belia Sabah sentiasa setanding dalam pelbagai bidang  dengan pencapaian golongan belia di negeri-negeri lain di negara ini,” katanya.

Berucap semasa merasmikan Kejohanan Bolasepak Piala Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau di Padang JKR di Bukit Garam, Kinabatangan pada Ahad, Saddi berkata, pelbagai peringkat kepimpinan kerajaan di kawasan ini sentiasa memerlukan sumbangan belia sebagai satu aset berharga demi kemajuan dan kekuatan bersama.

Untuk itu, kata Saddi, beliau telah kerap kali membawa masalah dalam pembangunan belia di kawasan ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri seperti menyentuh berkaitan pengurusan belia yang diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Negeri.

“ Saya kerap bercakap dalam pelbagai aspek seperti menyediakan tuntutan kemudahan asas sukan seperti mengujudkan Mini Kompleks Sukan yang sekian lama sudah dicadangkan di kawasan Kinabatangan ini, diikuti soal menaik taraf pengurusan pejabat, keperluan logistic dan pelbagai lagi, termasuklah mencadangkan kepada kementerian terlibat agar menambah  bilangan kakitangan kementerian berkhidmat di kawasan Kinabatangan.

“ Malangnya sehingga kini belum dapat ditunaikan. Tetapi saya akan terus menyuarakan kesemuannya demi kebaikan golongan belia di kawasan Kinabatangan termasuk mewakili DUN Sukau,” katanya

Saddi mengajak golongan belia di kawasan ini supaya bersatu padu dalam memperjuangkan kepentingan belia di kawasan ini khususnya mendapatkan pelbagai kemudahan sukan bagi kemajuan mereka di bidang itu.

Beliau juga mencadangkan supaya golongan belia di daerah ini mengaktifkan semula persatuan masing-masing bagi membolehkan pihakkerajaan termasuk beliau memberikan sumbangan bagi menjalankan aktiviti mereka.

Yang sebaik-baiknya, kata Saddi, golongan ini dapat memiliki persatuan sukan yang spesifik kepada bidang sukan masing-masing seperti bolasepak bagi memajukan semula bidang itu yang suatu ketika dulu berjaya memberi imej  yang baik kepada kawasan ini.

Kira-kira 30 buah pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang julung-julung kali diadakan di kawasan ini.

Saddi kemudian menyarankan agar peringkat separuh akhir kejohanan itu diadakan di padang Bandar Sandakan bagi membolehkan peminat-peminat sukan tersebut  dapat menyaksikan kebolehan para pemain yang datangnya dari kawasan ini.