Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

SYARIKAT MINAT BINA PUSAT REHAT, RIADAH DI SUKAU



Saddi (tengah) mempengerusikan mesyuarat dalam satu perjumpaan dengan pihak pengurusan Sedcovest Holding Sdn Bhd.



SUKAU: Ahad, 20hb Mac 2011


Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, pihak Sedcovest Holding Sdn Bhd mempunyai minat untuk membangunkan pusat-pusat ekonomi seperti pusat rehat dan riadah (RNR) di kawasan-kawasan strategik di sini dalam usaha menjana pembangunan ekonomi golongan rakyat sasaran.
Beliau berkata, anak syarikat Sedco, sebuah daripada badan pelaburan kerajaan negeri itu telah melihat peluang ekonomi rakyat yang boleh dimajukan di kawasan ini hingga bersedia mempertimbangkan beberapa cadangan program ekonomi itu untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.


“ Saya telah menyuarakan cadangan agar diwujudkan pusat RNR misalnya di kawasan Kampung Perpaduan, selain kemudahan bangunan rumah-rumah kedai di tapak Pekan Baru Sukau.
“ Pada dasarnya, mereka sudah faham konsep pembangunan di kawasan ini dan bersedia untuk mempertimbangkan beberapa cadangan untuk tujuan pembangunan tersebut,” katanya selepas mengadakan perjumpaan khas dengan pihak Sedcovest Holding Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat, Hotel Sabah di sini petang ini.

Kata Datuk Saddi, selain beberapa kawasan strategik di dalam Dun Sukau, pihaknya telah menyediakan tapak kepada Sedco untuk kegunaan mengujudkan bangunan komersialnya di kawasan tapak Pekan Baru Sukau.

Katanya, bergantung kepada minat Sedco dan anak-anak syarikatnya yang berkaitan dalam bidang pembangunan hartanah untuk mengujudkan bangunan komersial di kawasan itu termasuk pusat-pusat penginapan untuk kemudahan para pelancong di kawasan tersebut.
Kata Saddi, terdapat kira-kira 45,000 pelancong asing setiap setahun dari merata dunia melawat ke kawasan ini, khususnya berminat dalam menyaksikan keindahan kepelbagaian bio dan kemudahan eko pelancongan di merata Sukau.

Kata Saddi, jumlah itu dijangka meningkat hingga tiga kali ganda dengan wujudnya pelbagai kemudahan termasuk pusat riadah dan bangunan-bangunan kedai di pekan itu.

“ Dalam konteks pengujudan kemudahan RNR, kemudahan ini memberi banyak ruang dan peluang kepada rakyat kepada bumiputera, jika diwujudkan di sepanjang laluan Dun Sukau ke daerah-daerah pantai Timur Sabah,” katanya.
Turut serta dalam perjumpaan itu ialah Pengurus Besar Sedcovest Holding Sdn Bhd, Razali Z. Kipli dan Timbalannya, Jusli Potoh, diikuti Pengurus Projek Chan & Sahahriman Arkitek Sdn Bhd, Lawrence Lo, selain para pegawai yang mewakili Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.
Pekan Baru Sukau telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada 24 Julai tahun lepas di kawasan 105 ekar tapak pembangunan berkenaan yang menawarkan pelbagai kemudahan asas ekonomi serta pusat pentadbiran rakyat di kawasan berkenaan bagi menjana pembangunan dalam Dun ini.


Turut dicadangkan di tapak tersebut ialah pembinaan jambatan kedua dan menaiktaraf jalan ke Temangong yang keseluruhannya bernilai lebih RM260 juta itu.
Dalam pada itu, kata Saddi, pihaknya bersedia menerima pelawaan pihak Sedcovest dan pengurusan Sedco untuk mengadakan lawatan ke tapak projek Pekan Baru Sukau dalam masa terdekat, bagi melihat lebih dekat potensi cadangan projek-projek ekonomi yang dimaksudkan di pekan baru berkenaan.

Kata Saddi, pada mesyuarat pembangunan pekan baru berkenaan, pihaknya juga akan turut mengundang pihak pengurusan Sedco dan agensi-agensi di bawahnya bagi membincangkan beberapa peluang-peluang pelaburan yang mampu disertai badan pelaburan negeri di pekan berkenaan.


Selesai.