Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Mesyuarat Pemulaan Koperasi Pembagunan Tanah Sg Pin Batu Putih, Kinabatangan.

Imam ali menerima sijil keahlian koperasi drp Datuk Saddi
Datuk saddi secara simbolik menandatangani sijil keahlian koperasi pembangunan tanah Sg Pin Batu Putih.

Saddi berucap ketika merasmikan Mesyuarat Pemulaan Koperasi Pembangunan Tanah Sungai Pin Batu Putih, Kinabatangan.

SUKAU:
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mengingatkan pihak tertentu supaya tidak membanding-bandingkan keupayaannya mengurus soal tanah rakyat dengan pemimpin sebelum ini, walaupun isu berkenaan adalah asas kepada ukuran kecemerlangannya memberi khidmat.
Katanya, walaupun belum sampai sepanggal pilihanraya menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat, beberapa kes menyelesaikan tuntutan rakyat di kawasan Dun Sukau secara berperingkat-peringkat sudah dibuktikan bermula dengan kejayaan Jabatan Tanah dan Ukur meluluskan urusan pengukuran tanah di Kampung Sentosa Jaya di sini.
“ Peranan kita yang paling berhasil apabila mendapat persetujuan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lepas apabila soal kewajiban mendapat laporan tanah daripada Jabatan Pertanian Negeri di Kota Kinabalu, yang membawa penyebab melewatkan proses permohonan tanah rakyat luar bandar di bawah 50 ekar sekian lama, sudah dikecualikan.
“ Kedudukan ini bukan saja melibatkan kepentingan rakyat Dun Sukau, tetapi seluruh negeri yang akhirnya dipersetujui oleh semua wakil-wakil rakyat hingga kepada perkenaan menteri berkenaan, sewaktu saya membentangkannya dalam membahas Bajet Negeri 2011,” katanya.
Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Pembangunan Tanah, Sungai Pin Batu Putih di Kinabatangan di Bangunan Koperasi Kopel di Kampung Mengaris di sini, Saddi berkata, isu mengatasi soal tanah rakyat di dalam kawasan Dun Sukau adalah peranan berterusan yang diperjuangkannya dan ‘bukan isu bermusim’.
Tanpa menyentuh pihak tertentu yang dimaksudkan beliau, Saddi menegaskan, isu termasuk keperluan tanah merupakan ‘makmal’ bagi beliau sebagai mengukur indeks prestasi berkhidmat kepada rakyat dalam Dun Sukau untuk diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Untuk itu, kata Datuk Saddi, pendekatan strategik dalam menangani isu-isu berkenaan perlu ada bagi mempastikan soal keperluan tanah akan menjadi asas kesjahteraan rakyat dengan melibatkan kebijaksanaan para pegawai kerajaan, diikuti pembabitan serius para pemimpin akar umbi.
“ Ianya tidak mudah sebagaimana diucapkan di depan rakyat. Tetapi perlu diselidik dan dibincangkan secara berkesan termasuk dalam Mesyuarat Penggunaan Tanah Daerah atau LUC, sebelum kepentingan sumber ini hanya diberikan kepada rakyat tempatan yang berhak.
“ Saya tahu isu tanah amat penting kepada rakyat rakyat diluar Bandar. Memajukannya bermakna keupayaan rakyat mentranformasikan ekonomi keluarga dan setempat…Usaha ini seiring konteks pembangunan halatuju negeri dan meletakkan DUN Sukau sebagai sebahagian daerah maju akan datang,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Pengarah SKM Wilayah Sandakan, Cik Marni Sulaiman, Pegawai Kemajuan Masyarakat Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit, Pengerusi Penaja Koperasi berkenaan, Haji Imam Ali Bin Abdul dan Pengerusi JKKK Batu Putih, Sabran Hadari.
Saddi dalam ucapannya bersetuju dengan pendekatan kelompok rakyat di kawasan Batu Putih dalam menjadikan koperasi sebagai sandaran menjana ekonomi berasaskan pertanian dan perladangan, seiring dengan aspirasi dan pendekatan yang diamalkan kerajaan ketika ini dalam membangunkan rakyat secara berkelompok.
Bagaimanapun, katanya, dalam objektif mereka mahu memajukan tanah di kawasan Sungai Pin, kedudukan status tanah tersebut perlu dikemukakan kepada beliau untuk dinilai dan diberikan sokongan padu untuk dimajukan.
“ Jangan nanti kemudian hari ada pertikaian dan tuntutan berhubung status tanah Sungai Pin. Ini tidak lagi melibatkan pihak institusi kewangan dan SKM. Tetapi sebagai wakil rakyat anda, saya tidak ada halangan, jika ianya boleh dimajukan secara kolektif. Saya amat bersyukur kerana tanah merupakan sumber penting memajukan rakyat di sini,” katanya..
Sambil mengulangi ayat-ayat penting bahawa beliau berusaha memajukan seluruh rakyat di Dun Sukau termasuk di sini dalam apa cara sekalipun, Saddi berkata, pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adalah salah satu institusi penting kerajaan yang perlu didedaki rakyat luar Bandar dalam menjayakan masa depan ekonomi mereka.
Sektor penting selain perladangan, kata Datuk Saddi, program pembiakan burung Walid yang mendapat bantuan kerajaan pusat RM135 juta dalam bajet negara 2011 perlu diberikan tumpuan kerana peluangnya yang agak kompetetif kepada masyarakat luar Bandar.
Mengenai soal pembangunan rakyat di Dun Sukau akan datang, kata wakil rakyat itu, beliau akan berusaha mengagih-agihkan peruntukan RM1 juta yang disalurkan kerajaan negeri di bawah Bajet 2011 seadil-adilnya kepada rakyat di kawasan ini.
“ Yang penting jangan terpengaruh terhadap pandangan-pandangan negative pihak tertentu. Kerana saya sendiri mengesahkan bahawa jiwa dan raga saya masih saya serahkan untuk kemajuan rakyat di kawasan ini selagi saya diberikan kepercayaan dan amanah. Itu janji saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyarankan pihak koperasi seperti Koperasi Pelancongan Batu Putih (KOPEL) di sini yang sudah dikenali operasinya termasuk di dalam negara, jika terbukti mencatatkan keuntungan setiap tahun, dividennya perlu dibahagi-bahagikan bagi memberi galakan kepada semua anggotanya.

Selesai