Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN WANG EHSAN KEPADA MANGSA BANJIR







1.Saddi menyampaikan bantuan wang ehsan kepada salah seorang penerima, sambil disaksikan Ibrahim, Mejar Mohd Sukri Ismail, Tahir dan Jamal.
2. Saddi menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
3. Saddi bersama kakitangan UPKR Dun Sukau melawat projek Adun di Kampung Mumiang, dekat Kampung Abai.



SUKAU :
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, tranformasi pembangunan hanya akan bermula apabila kumpulan rakyat khususnya pemimpin di peringkat akar umbi menyedari keperluan dan kekurangan di sekitar mereka dan bersedia untuk menganjak perubahan secara agresif demi kemajuan berkerjasama.
Katanya, masyarakat di luar Bandar tidak semata-mata untuk mengharapkan pemimpin turun padang untuk membuat teguran dan perubahan, tetapi mekanisma dalam menyediakan asas berfikir dan bertindak secara sepakat mampu mengerakkan pimpinan serta kerajaan mengatasi pelbagai keperluan, selain merancang dan menyediakan sesuatu yang baru untuk kemajuan rakyat.
“ Saya mengambil contoh di Kampung Abai ini, jika penduduknya bersedia untuk menjadi peneroka ladang kelapa sawit di kawasan lebih 1,000 ekar yang sekian lama disediakan untuk pertanian, mereka akan lebih maju.
“ Yang penting penduduknya tidak ‘mengabaikan’ kampung Abai lama untuk menjadi sebagai kampung tradisi yang boleh dikembangkan sebagai pusat pelancongan dan bidang perikanan’” katanya.
Berucap di hadapan penduduk Kampung Abai pada satu majlis menyampaikan Bantuan Wang Ehsan kepada mangsa-mangsa banjir di kampung itu, diikuti majlis Kesyukuran penduduk bagi menghargai gelaran ‘Datuk’ yang diterima wakil rakyat itu sempena Harijadi Yang Dipertua Negeri yang lepas, Saddi berkata, keseluruhan masyarakat di dalam Dun Sukau perlu mempunyai iltizam tinggi untuk kemajuan mereka.
Katanya, hanya dengan kesediaan pemimpin akar umbi di dalam Dun ini menjalankan tanggungjawab diamanahkan, mengabungkan peranan wakil rakyat serta kerajaan, membolehkan rakyat menikmati faedah kemajuan daripada intipati slogan di bawah Konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saddi merasa bersenang hati dengan penjelasan Pengerusi JKKK Kampung Abai, Tahir Haji Mastar bahawa kampung berkenaan menerima peruntukan pembangunan hampir setengah juta ringgit daripada kerajaan BN dalam tempoh lebih dua tahun, melalui komitmen beliau dan Ahli Parlimen kawasan itu.
Kata Saddi bantuan kerajaan yang merangkumi kemudahan asas serta menggalakkan ekonomi penduduk tersebut, membuktikan kerajaan BN Negeri dan pusat ikhlas dalam menunaikan pembelaan kepada rakyat di luar Bandar, walaupun di kampung Abai yang penduduknya sebahagiannya berhijrah di kawasan Bandar.
Bagaimanapun, tegas Saddi, masyarakat tersebut akan kembali ke kampung jika langkah memajukan ekonomi berasaskan perladangan di kawasan baru dalam Kampung Abai dapat dimulakan.
“Saya akan memberi focus terhadap program penempatan semula penduduk di kawasan ini pada mesyuarat Pembangunan Tanah Daerah (LUC) akan datang. Saya mahu masyarakat Abai yang tinggal dibandar atas alas an-alasan ekonomi kembali ke kawasan ini untuk memulakan hidup baru,” katanya.
Katanya lagi, beliau akan turut memberikan tumpuan kepada kawasan ini dalam program pembangunan Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) yang bermula tahun depan termasuk mempastikan kemudahan jalan Sukau-Abai yang sudah diluluskan kerajaan dapat dilaksanakan.
Pembangunan itu, kata Datuk Saddi, tidak termasuk langkah-langkah pembangunan ekonomi yang boleh memperkasakan Kampung Abai sebagai sebahagian daripada kampung-kampung di persisir pantai Dun Sukau agar mendapat peranan penting dalam program pembangunan Pekan Baru Sukau yang hanya setengah perjalanan darat ke pekan tersebut jika ianya disiapkan.
“ Saya juga akan pastikan Kampung Abai ini tampil sebagai Kampung Tradisi Orang Sungai, apalagi ini sebahagian daripada tempat saya dibesarkan di peringkat sekolah rendah. Sudah tentu saya tidak ‘abaikan’. Itu janji Saya,” katanya.
Beliau juga berikrar untuk mencari jalan agar usaha mengujudkan sebuah tembok besar menghadang hakisan tanah terutama ketika musim banjir, yang menyebabkan kedudukan Kampung Abai hampir terbentuk sebuah pulau dipajangkan kepada kerajaan pusat untuk mendapat bantuan mengatasinya.
Tahir dalam ucapannya mencadangkan agar projek itu, diikuti beberapa projek meningkatkan perikanan penduduk kampung disegerakan demi kebaikan penduduk Kampung Abai.
Tahir menambah, ketika ini Kampung Abai semakin dikenali pelancong asing kerana kedudukannya di muara Sungai Kinabatangan yang hampir dengan Bandar Sandakan, selain keistimewaannya sebagai pengeluar udang galah dan pelbagai jenis ikan sungai yang bermutu tinggi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Wakil Pegawai Daerah Kinabatangan, Ibrahim Samsi, Pegawai Majlis Keselamatan Negara Negeri, Mejar Mohd Sukri Ismail, Pegawai Kemajuan Masyarakat Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit dan Ketua Kampung Jamal Enggau.
Saddi berkata, gelaran Datuk yang diperolehinya merupakan pengiktirafan kepada kerjasama dan sokongan rakyat kepada beliau sepanjang hanya lebih dua tahun perkhidmatannya.
“ Saya memang tidak menduga diberi gelaran besar ini. Tetapi saya mengerti ianya berasaskan kepada sokongan kekuatan rakyat. Saya mengharapkan agar gelaran ini dapat diterjemahkan sebagai kekuatan kerja berpasukan agar kerajaan BN terus dapat memberikan perkhidmatan dan pembelaan, manakala rakyat keseluruhannya di Dun Sukau dapat menikmatinya dalam konteks memnuhi tuntutan negara,” katanya.
Selesai